Nadeera Pilih Rocketfuel Dan Lancar 'Bukan Lagi Kita'

oleh: zizi hashim

"Bagaikan sebuah mimpi menjadi kenyataan apabila saya diundang oleh Hael Husaini untuk menyanyikan lagunya." ujar Nadeera penuh teruja. "Hael adalah komposer yang saya impikan selama ini, malahan saya akui saya merupakan peminat tegar lagu Peluang Kedua dan Diam. Sudah tentu saya tidak teragak-agak lagi untuk menerima tawaran ini apabila Hael mengemukakan karya terbarunya yang sesuai untuk saya. Pucuk dicita ulam mendatang."

Memanjat rasa syukur yang tidak terhingga kerana Hael memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang proses rakaman, Nadeera meletakkan harapan yang tinggi agar perjalanan seninya semakin berkembang dan bakatnya dapat dipentaskan di platform yang lebih besar. "In shaa Allah, kerjasama bersama Rocketfuel Entertainment bakal membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk saya dalam arena seni suara tanahair. Saya sangat gembira dan berterima kasih banyak kepada Rocketfuel Entertainment kerana mereka adalah antara yang mempercayai bakat saya, terutama selepas kemenangan saya di program Big Stage. Semoga kerjasama ini terus kukuh di masa hadapan."

Dengan penuh rasa bangga, Rocketfuel mengumumkan penyertaan Nadeera ke dalam keluarga besar mereka dan sebagai permulaan kepada perjalanan seni yang baru ini, Nadeera telah melancarkan single dan muzik video paling latest berjudul "Bukan Lagi Kita" pada hari yang sama. Single ini merupakan hasil kolaborasi mantap di antara Nadeera dengan komposer tersohor Hael Husaini beserta Iqie Hugh, seorang lagi komposer yang semakin meningkat naik. Memperlihatkan kematangan vokal sebenar Nadeera, "Bukan Lagi Kita" diadun oleh sentuhan magis kedua-dua komposer berbakat besar ini.

Berkongsi pandangan mengenai kolaborasi ini, Hael Husaini berkata, "Saya ada bertanya kepada rakan-rakan industri pada tahun lepas berkenaan siapa yang bakal menjadi bintang seterusnya. Ramai yang mencadangkan nama Nadeera kepada saya. Setelah hampir 4 tahun tidak menghasilkan apa-apa gubahan lagu terbaru, yang terakhir adalah Peluang Kedua, saya kira sudah sampai masanya tahun ini saya kembali menggubah lagu untuk beberapa artis termasuklah Nadeera. Saya tak sangka begitu mudah untuk bekerjasama dengan Nadeera, dan saya terus hasilkan demo bersama Iqie Hugh. Maka terhasillah lagu ini "Bukan Lagi Kita" yang saya rasakan serasi dengan vokal Nadeera." Hael juga menggambarkan harapan agar para peminat akan terus memberi sokongan kepada lagu nyanyian Nadeera ini.

Wee Sher Leen selaku Ketua Rocketfuel Entertainment pula berkata, "Satu langkah yang tepat di ambil oleh Rocketfuel dengan pemilihan Nadeera untuk menyertai kami. Sejak kemenangan beliau di program Big Stage, disokong kuat oleh kekuatan vokal yang dimiliki nya serta sikap mudah berkerjasama menjadikan Nadeera antara artis terbaik naungan Rocketfuel Entertaintment. Dengan terlancarnya lagu terbaru ini, kami berharap ianya mampu menawan hati para peminat yang telah lama menantikan kehadiran karya mutakhir daripada Nadeera."

Para peminat kini boleh menstrim lagu "Bukan Lagi Kita" di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music. Selain itu, peminat juga boleh menghasilkan kandungan video di TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini. Muzik video eksklusif "Bukan Lagi Kita" juga kini boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.