Nabila Huda Jiwai Watak Ibu Paling Kejam Dalam Drama 'Dari Rahim Yang Sama'

oleh: zizi hashim

Sebuah drama yang penuh pengajaran berjudul 'Dari Rahim Yang Sama' bakal menyentuh hati penonton dengan kisah perjuangan seorang kakak dan adik-adiknya yang hidup tanpa dokumen pengenalan. Drama ini memaparkan realiti pahit yang dihadapi segelintir masyarakat yang dinafikan hak asasi mereka. Drama ini akan mula bersiaran menerusi slot Samarinda bermula esok, 14 April 2025 setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam. Di bawah arahan Amor Rizan dan skrip nukilan Naza Manas, Dari Rahim Yang Sama keluaran Anomali Media ini diharap dapat membuka mata masyarakat mengenai isu sosial yang sering terpinggir. Drama ini menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Nabila Huda, Mhia Firdaus, Rykarl Iskandar, Rafique Iskandar, Angeline Tan dan Kahoe Hon yang menjanjikan persembahan yang menyentuh perasaan.

Kisah berpusar di sekitar Balqis (Mhia Firdaus), remaja perempuan yang terpaksa memikul tanggungjawab besar membesarkan dua adik lelakinya, Aqil (Rykarl Iskandar) dan Afiq (Rafique Iskandar) di Kuala Lumpur. Mereka bertiga merupakan adik-beradik seibu berlainan bapa yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Hidup tanpa sijil kelahiran menghadkan peluang mereka untuk bersekolah dan menjalani kehidupan normal seperti remaja lain. Ibu mereka, Suraya (Nabila Huda), seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai GRO, gagal menunaikan tanggungjawabnya dengan sempurna. Beliau lebih mengutamakan kehidupan peribadinya, menyebabkan Balqis terpaksa mengambil alih peranan sebagai "ibu" kepada adik-adiknya, menguruskan rumah dan keperluan harian mereka sementara Suraya sibuk dengan urusan peribadinya.

Konflik bertambah rumit apabila Balqis berusaha mendapatkan dokumen pengenalan untuk mereka, namun usahanya sentiasa dihalang oleh Suraya. Drama ini mencapai kemuncaknya apabila Suraya akhirnya mengakui bahawa dia sengaja tidak mendaftarkan kelahiran anak-anaknya kerana bimbang Balqis akan meninggalkannya jika memiliki identiti sendiri. Adakah Balqis akan berjaya dalam perjuangannya memberi kehidupan yang lebih baik untuk diri dan adik-adiknya?

'Dari Rahim Yang Sama' merupakan suara bagi mereka yang tidak bersuara dalam masyarakat. Drama ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga medan untuk meningkatkan kesedaran tentang nasib anak-anak tanpa dokumen dan masalah keluarga bermasalah. Ia membuka ruang perbincangan tentang isu sosial yang jarang diketengahkan seperti anak tidak sah taraf, dan kecuaian ibu bapa dalam mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama ini menerusi slot Samarinda bermula esok, 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam. Penonton juga boleh menikmati tayangan awal 24 jam lebih awal secara eksklusif hanya di platform Tonton.