oleh: zizi hashim
Bukan sahaja melalui jalan cerita yang menarik, drama bersiri terkini TV3 berjudul 'Keluarga Itu' kini semakin memikat penonton dengan lagu tema yang menusuk kalbu. Lagu 'Tangisan Seorang Pendosa' yang dinyanyikan oleh Marsha Milan telah mencetus fenomena tersendiri, melengkapkan penghayatan penonton terhadap perjuangan watak Dhamiah yang dibawakan oleh Puteri Balqis. Tercipta hasil kolaborasi dua jiwa kreatif, lagu ini menggabungkan bakat melodi Marsha Milan dengan kehalusan lirik Hazama.
"Ketika menulis lirik ini, saya membayangkan pergolakan jiwa seorang wanita yang terpaksa berhadapan dengan kesengsaraan yang ditimbulkan oleh orang yang sepatutnya melindunginya," jelas Hazama dalam satu temu bual eksklusif. Proses penghasilan lagu ini turut diwarnai cabaran tersendiri. Marsha Milan mendedahkan bahawa beliau mengambil masa 2 hari untuk menyelesaikan sesi rakaman, sesuatu yang jarang berlaku dalam kerjayanya. "Setiap baris lirik membawa beban emosi yang berat. Saya mahu memastikan setiap nada yang saya nyanyikan benar-benar melambangkan keperitan yang dialami watak Dhamiah," ujar beliau.
Lirik 'Tangisan Seorang Pendosa' menyingkap perjalanan seorang individu yang dikepung bayangan kelam masa lalu. Watak ini bergelut dengan perasaan bersalah dan penyesalan, namun pada masa yang sama berusaha untuk mencari jalan keluar dari lingkaran derita. Lagu ini menonjolkan tema pengampunan diri dan penebusan — tema yang turut menjadi tulang belakang kisah 'Keluarga Itu'.
Penerbit eksekutif drama 'Keluarga Itu', Datuk Ahmad Puad Onah, memuji kesepadanan lagu tersebut dengan naratif drama. "Kami beruntung kerana Marsha dan Hazama dapat menangkap inti pati drama ini dengan begitu tepat. Apabila penonton mendengar lagu ini semasa menonton babak-babak penting dalam drama, mereka dapat merasai kedalaman emosi yang kami cuba sampaikan."
'Keluarga Itu' yang dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, dan Puteri Balqis, mengisahkan tentang kehidupan keluarga yang dihantui rahsia gelap. Watak Dhamiah yang dibawakan oleh Puteri Balqis menjadi fokus utama lagu tema ini, dengan penderitaan dan ketabahannya memberi inspirasi kepada penciptaan 'Tangisan Seorang Pendosa'. Pihak Alternate Records & Talents, syarikat pengurusan Marsha Milan, menyatakan bahawa sambutan terhadap lagu ini sangat menggalakkan. "Dalam masa seminggu sahaja sejak dilancarkan, 'Tangisan Seorang Pendosa' telah mencapai lebih 500,000 strim di pelbagai platform muzik. Ini membuktikan bahawa penonton 'Keluarga Itu' turut terkesan dengan lagu ini," kata Prakesh Swaminathan, Pengurus Pemasaran Alternate Records & Talents.
Muzik video rasmi lagu ini menampilkan beberapa klip penting dari drama tersebut bersama dengan penampilan khas Marsha Milan dan Puteri Balqis. Penonton boleh menikmati drama 'Keluarga Itu' setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3, atau 24 jam lebih awal di platform penstriman Tonton. Lagu 'Tangisan Seorang Pendosa' pula boleh didengari di semua platform muzik digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Untuk maklumat lanjut tentang 'Tangisan Seorang Pendosa' dan aktiviti Marsha Milan, ikuti akaun rasmi Alternate Records & Talents di Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.