Mahu Watak Dominan, Siti Saleha Jelmakan Chempaka Humaira Dalam 'Dia Imamku'

oleh: zizi hashim

Membawa watak yang mencabar emosi penonton, Siti Saleha kembali ke kaca televisyen dalam drama terbaru arahan Siti Rosmizah, 'Dia Imamku'. Menerusi watak Chempaka Humairah, pelakon berusia 34 tahun ini menjanjikan persembahan yang akan menaikkan darah penonton dengan sikap angkuh dan biadap karakternya yang mencetuskan kontroversi. Sudah lama tidak beraksi di kaca televisyen, kemunculan Siti Saleha kali ini memberikan tekanan 'emosi' dan menaikkan darah penonton melalui balutan karakter Chempaka Humairah yang dominan dan tidak mudah diperlakukan. 

Drama yang digarap oleh penulis terkenal ini menyajikan satu sisi 'merah' yang akan membuatkan para penonton setia drama mengecam perangai dan kebiadapan Chempaka. Drama yang mula ditayangkan di Astro Ria sejak 17 Februari 2025 ini menampilkan gandingan Siti Saleha bersama Kamal Adli sekali lagi dalam sebuah karya khas buat penonton sepanjang bulan Ramadan. Projek ini merupakan hasil karya hebat Siti Rosmizah yang telah berjaya menghasilkan pelbagai drama popular sebelum ini.

"Saya bersyukur mendapat tawaran daripada Kak Siti Rosmizah selepas karya yang terdahulu. Untuk saya, citarasa dan pemilihan watak sangat penting. Saya kalau boleh mahu memainkan watak wanita yang dominan, bukan watak wanita yang dipukul dan lemah," jelas Siti Saleha ketika ditemui di majlis promosi drama tersebut baru-baru ini. Pelakon ini menambah, "Saya tidak mahu mainkan watak wanita dipukul dan lemah. Jadi bila dapat tawaran untuk watak Chempaka, saya tahu novel ini ada pengikutnya dan jalan cerita sangat kuat sebab ia merupakan karya Kak Siti Rosmizah. Saya percayakan karyanya dan tidak teragak-agak untuk menerima tawaran ini walaupun mungkin akan mendapat kecaman dari penonton."

Siti Saleha mengakui bahawa dia tahu watak Chempaka Humairah bakal dikecam penonton, namun mengharapkan kecaman itu ditujukan kepada karektor dan bukan dirinya sebagai pelakon. "Ada sebab mengapa Chempaka Humairah menjadi begitu biadap dan kurang ajar. Saya mengambil ini sebagai salah satu cabaran untuk diri saya," tambahnya dengan penuh keyakinan. "Tema pengorbanan, cinta dan keluarga membuatkan saya menerima tawaran drama ini selain sudah lama tidak muncul di kaca tv. Saya juga gembira mendapat tawaran untuk bekerjasama sekali lagi dengan Kamal Adli yang memegang watak Amiruddin atau lebih dikenali sebagai Budin," ujar Saleha dengan nada gembira.

Dalam drama ini, Kamal Adli memegang watak Amiruddin atau Budin, seorang tukang kebun dan pemandu yang merupakan adik lelaki Amar. Watak Budin digambarkan sebagai seorang pemuda kampung yang sedar diri, rajin, dan penyayang sehingga Nek Bunga menjadi taksub untuk menjadikannya sebagai 'imam' untuk cucunya. Budin juga pakar dalam seni mempertahankan diri dan memiliki pegangan agama yang kuat. Selain bergandingan dengan Kamal Adli, Siti Saleha turut menzahirkan kegembiraannya dapat bekerjasama dengan Haneesya Hanee yang membawakan watak Dahlia. "Watak Dahlia yang dibawakan oleh Haneesya memang lucu. Saya sentiasa ternanti-nantikan adegan pergaduhan kami. Kadang-kala saya terbawa-bawa hingga ke luar set kerana saya dan Haneesya mempunyai 'chemistry' yang baik," ujarnya dengan senyuman.

"Watak Dahlia merupakan cucu yatim piatu Nek Bunga yang tinggal bersamanya di kampung. Dahlia terkenal dengan mulut celupar seperti Humairah, dan mereka sering bertikam lidah dan bergaduh. Rasa cemburu membakar hubungan mereka, menjadikan setiap adegan pergaduhan antara kami sangat menarik untuk ditonton," tambah Siti Saleha. "Dia Imamku" mengisahkan tentang Chempaka Humairah, seorang gadis sombong dan berlidah tajam yang baru sahaja pulang dari London selepas menamatkan pengajiannya. Kini, dia bekerja sebagai pengurus besar di syarikat keluarganya. Di sebalik sikap angkuhnya, Humairah sebenarnya berasa tidak yakin dan dahagakan perhatian kerana ibu bapanya, Dato' Malik dan Datin Orkid, lebih mengutamakan kakaknya, Lily Hamra.

"Chempaka Humairah membenci sesiapa sahaja yang berjaya menarik perhatian ibu bapa dan neneknya. Pertemuan pertamanya dengan Amir atau Budin di rumah Nek Bunga menanam bibit kebencian dalam dirinya. Pada pandangannya, Amir hanyalah pemuda kampung yang tidak mempunyai hala tuju dalam hidup," jelas Siti Saleha mengenai watak yang dibawakannya. Drama ini diarahkan oleh Feroz Kader dengan jajaran pelakon hebat seperti Zara Zya, Khatijah Tan, Imam Shah, Fikhree Bakar, Haneesya Hanee, Fazlina Ahmad Daud, Wan Nor Azlin, dan Farhan Asri. Dengan gabungan bakat-bakat terkenal ini, "Dia Imamku" berjaya menghasilkan drama yang penuh pengajaran tentang pengorbanan, cinta, dan keluarga. 

Penulis skrip drama ini, Siti Rosmizah, telah berjaya mengadaptasi novel popular beliau ke skrin televisyen dengan mengekalkan intipati cerita asal yang menyentuh hati. Dalam novel dan drama ini, penonton akan menyaksikan bagaimana Humairah mula menyedari keikhlasan hati Amir selepas satu insiden. Sayangnya, segalanya sudah terlambat kerana hati Amir telah tertutup buat Humairah, walaupun sebanyak mana pun dia merayu dan memohon kemaafan. Siti Saleha berharap penonton dapat menggali pelbagai pengajaran daripada drama ini. "Banyak pengajaran yang saya sendiri dapati dari drama ini. Salah satunya mengapa Chempaka Humairah menjadi seorang yang cukup pendendam. Saya belajar, apa pun yang kita lakukan, jika Allah sudah memberi petunjuk kepada jalan yang betul, jangan keras kepala dan melawan cakap ibu bapa. Kerana keluarga serta ibu bapa adalah kunci kebahagiaan kita," luahnya setelah meneliti watak Chempaka.

"Jangan tunjukkan sikap angkuh dan sombong kerana pada akhirnya ia tidak berbaloi. Ini merupakan antara pengajaran penting yang boleh dipetik daripada watak Chempaka Humairah," tambah Siti Saleha lagi dengan penuh penghayatan. Drama "Dia Imamku" ini merupakan adaptasi daripada novel karya Siti Rosmizah dan boleh ditonton di Astro Ria pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 9 malam. Drama ini dijangka akan menjadi salah satu drama popular sepanjang bulan Ramadhan tahun ini dengan jalan cerita yang menarik dan pelakon yang berbakat.

Para peminat Siti Saleha yang sudah lama menantikan kemunculannya di kaca televisyen pasti tidak akan kecewa dengan persembahan beliau dalam memegang watak antagonis Chempaka Humairah yang penuh dengan emosi dan konflik dalaman. Jangan lepaskan peluang untuk menonton drama "Dia Imamku" ini dan saksikan bagaimana seorang wanita sombong yang menghina dan mengkhianati suaminya berusaha mendapatkan keampunannya sebelum segalanya terlambat.