oleh: zizi hashim
Industri muzik Nusantara akan menyaksikan peristiwa bersejarah apabila 2 nama besar yang telah mewarnai kancah muzik sejak era 90-an akan bergabung di atas satu pentas. Exists dan Slam, dua kumpulan rok legenda yang telah menghiasi corong-corong radio selama lebih 2 dekad, akhirnya akan berkongsi pentas dalam konsert eksklusif yang dinanti-nantikan. "Exists X Slam Live In Singapore" - konsert gabungan pertama yang akan berlangsung di The Star Theatre pada 29 November 2025 ini dijangka akan mencipta fenomena tersendiri dalam kalendar acara hiburan Singapura tahun ini. Shiraz Projects selaku penganjur acara ini telah mengumumkan kerjasama istimewa ini dengan keyakinan bahawa konsert ini akan menjadi titik pertemuan emosi dan nostalgia bagi peminat kedua-dua kumpulan legenda tersebut.
"Ada yang bertanya kenapa Exists X Slam? Kenapa tidak?" kata Shiraz, Pengarah Urusan Shiraz Projects semasa sidang media pengumuman konsert ini. Beliau menegaskan bahawa keputusan untuk menggabungkan kedua-dua kumpulan ini bukanlah kerana mereka tidak mampu menarik penonton secara berasingan. Bukan kerana setiap kumpulan ini tidak boleh berdiri sendiri atau menarik penonton masing-masing memenuhkan The Star Theatre. Bukan juga kerana selaku penganjur, Shiraz Projects tidak percaya bahawa Exists atau Slam akan membuat konsert ini sukses," tambahnya. Sebaliknya, Shiraz menyifatkan konsert ini sebagai satu penghargaan kepada legasi muzik yang telah dibina oleh kedua-dua kumpulan rok ini. "Shiraz Projects mahu menghargai Exists dan Slam menerusi penganjuran konsert yang disifatkan sangat istimewa ini kerana melihat karya-karya mereka tetap digemari dan berpengaruh kepada peminat walaupun mereka sudah lebih dua dekad dalam industri."
Meskipun kedua-dua kumpulan telah mengalami beberapa pertukaran anggota sepanjang perjalanan mereka, termasuk pertukaran vokalis, keupayaan mereka untuk kekal relevan dalam industri muzik yang sentiasa berubah adalah bukti kekuatan bakat dan dedikasi mereka. Shiraz menekankan keunikan acara ini, "Rugi jika kami melepaskan peluang ini selepas kedua-duanya bersetuju, kerana Exists dan Slam terlalu istimewa dengan sejarah mereka masing-masing." Antara faktor yang membuat konsert ini lebih bermakna adalah bagaimana kedua-dua kumpulan telah 'berperang' dalam belantika muzik sejak awal 90-an dan masih kekal berjaya sehingga kini. Walaupun beberapa kali bertukar anggota, reputasi mereka tetap terpelihara berkat sokongan peminat yang tidak pernah luntur.
Bagi peminat-peminat setia Exists dan Slam, konsert ini menawarkan peluang untuk mendengar secara langsung lagu-lagu ikonik yang selama ini hanya didengar melalui radio. "Dan siapa yang tidak kenal dengan lagu seperti Mengintai Dari Tirai Kamar atau Gerimis Mengundang? Sekali dengar peminat tahu lagu-lagu ini dengan suara dan ciri khas muzik adalah milik Exists misalnya atau Slam," ujar Shiraz. Exists dengan vokalis Ezad akan membawa peminat mengimbau kembali hits popular seperti "Oh Ibu", "Jesnita" dan "Julia". Sementara itu, Slam dengan suara merdu Zamani akan memukau penonton dengan lagu-lagu seperti "Tak Mungkin Berpaling", "Kembali Terjalin" dan "Rindiani".
Along, yang mewakili kedua-dua kumpulan dalam sidang media, menekankan bahawa matlamat utama konsert ini bukanlah untuk menjanjikan sesuatu yang mustahil, tetapi untuk memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh peminat. "Kerana yang penting buat kami sebagai penghibur adalah melihat peminat berpuas hati, menyanyi bersama dan pulang dengan kenangan terbaik yang mereka dapatkan dari Exists X Slam di The Star Theatre pada 29 November 2025 ini," jelasnya.
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 26 Mac 2025 dengan pelbagai kategori:
Pembelian tiket boleh dilakukan melalui laman web www.sistic.com.sg atau menghubungi talian hotline di +65 6348 5555.Maklumat lanjut mengenai konsert ini boleh diikuti melalui saluran media sosial Shiraz Projects di Facebook (shirazprojects) dan Instagram (shirazprojects.sg), atau laman web rasmi www.shirazprojects.com. Bagi peminat-peminat Exists dan Slam, konsert ini merupakan peluang keemasan untuk menyaksikan 2 kumpulan legenda yang telah mewarnai industri muzik Nusantara, bergabung untuk mencipta sejarah baru di Singapura. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk mendapatkan tiket!