oleh: zizi hashim
Gempak bersama Goodday akan memperkenalkan format baharu dalam industri kandungan Malaysia melalui program "Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton", sebuah program realiti drama masakan pertama di negara ini yang mengintegrasikan pengalaman tontonan dan pembelian. Program inovatif ini akan disiarkan di saluran Astro Ria setiap hari sepanjang Ramadan, bermula 1 Mac pada jam 5.30 petang, serta tersedia di platform On Demand dan Astro GO.
Konsep unik "Tengok Hari Ini, Esok Boleh Beli" membolehkan penonton untuk tidak hanya menyaksikan penyediaan hidangan di televisyen, tetapi juga berpeluang membeli makanan yang sama di gerai bazaar Ramadan di Stadium Shah Alam. Inisiatif ini akan bermula pada 2 Mac dan berlangsung hingga 29 Mac, menawarkan pengalaman sebenar kepada penonton untuk merasai hidangan yang ditayangkan dalam program tersebut.
Setiap resipi dalam program ini dibangunkan secara strategik dengan menggunakan susu Goodday sebagai bahan utama, bertujuan menambah kelazatan dan kekayaan rasa. Menu yang akan disediakan merangkumi pelbagai hidangan popular Ramadan seperti nasi hujan panas, roti john, bread and butter pudding, kari ikan bawal, ayam percik dan banyak lagi juadah tempatan.
Di booth bazaar Ramadan Stadium Shah Alam, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan 'fortune wheel', sesi beramah mesra bersama pelakon-pelakon program dan peluang memenangi hadiah istimewa daripada Astro Shaw dan Goodday. Selain itu, pengunjung boleh mengimbas kod QR yang disediakan untuk mendapatkan resipi hidangan hari tersebut secara digital..
Program ini menampilkan watak-watak popular daripada drama Ramadhan tahun lalu, "Khun:sa", termasuk Che Ton yang dilakonkan oleh Sherry Alhadad, Sarimah oleh Zarina Zainoordin, dan Tuyah oleh Ezu Hashim. Naratif program ini menyambung cerita dari drama sebelumnya, di mana watak Sarimah dan Tuyah kembali ke bumi selepas diculik oleh UFO. Bahagian drama program ini berpusat pada misi yang diberikan kepada Sarimah dan Tuyah oleh seorang lelaki misteri - mereka perlu melakukan kebaikan selama 29 hari untuk layak tinggal di bumi selamanya.
Setiap episod turut menampilkan tetamu jemputan istimewa daripada produksi popular Malaysia, termasuk Zizan Razak (Polis Evo), Datuk Rosyam Noor (Kala Malam Bulan Mengambang), Scha Al-Yahya (Awan Dania), Naim Daniel (Project: High Council), Joey Daud (Kampung Pisang Bersiri-Siri), Tony Eusoff (P. Ramlee) dan banyak lagi selebriti tanah air.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, "Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton bukan sekadar program realiti drama masakan, tetapi satu inovasi dalam pengalaman kandungan yang menghubungkan dunia hiburan dengan realiti. Buat pertama kalinya, penonton bukan hanya menonton kulinari dan belajar resipi di kaca televisyen, tetapi kita bawakan secara dekat kepada penonton untuk merasai sendiri hidangan yang disaksikan dengan membelinya di bazaar Ramadan."
Beliau menambah bahawa pelakon-pelakon program ini juga akan membuat penampilan khas di bazaar pada hujung minggu sepanjang Ramadan untuk menjual dan beramah mesra bersama peminat dan pembeli. "Ini membuka peluang baharu dalam industri kandungan, menggabungkan hiburan, pengalaman pengguna, dan nilai komersial yang lebih luas. Kami rasa berbesar hati usaha ini mendapat kerjasama strategik susu Goodday dan mengharapkan dapat memberi nilai tambah baru kepada kandungan tanah air serta pengalaman baru kepada penonton." ujarnya.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Astro dan Goodday, bertujuan untuk memperkaya pengalaman penonton semasa bulan Ramadan sambil memperkenalkan pendekatan inovatif dalam pembangunan kandungan tempatan. Inisiatif ini mencerminkan evolusi berterusan dalam cara kandungan hiburan dipersembahkan dan dikomersialkan di Malaysia.
Penonton boleh mengikuti perkembangan program ini melalui hashtag #DapurGoodday, #MisiSarimahTuyahVSCheTon, dan #GempakOriginalSeries di media sosial, serta melayari akaun rasmi Gempak di Instagram, TikTok, X, dan Facebook untuk maklumat terkini. 'Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton' akan mula disiarkan pada 1 Mac 2025, jam 5.30 petang di saluran Astro Ria, dan juga boleh ditonton melalui platform On Demand dan aplikasi Astro GO sepanjang bulan Ramadan.