oleh: zizi hashim
Nama KRU itu sendiri sudah cukup gah dan sinonim dengan setiap kejutan menggemparkan apabila karya kreatif mereka tercipta, pasti ramai yang ternanti-nanti bagaimanakah pula bunyi yang terhasil, apakah kelainan atau pembaharuan yang dibawa kali ini dan segala macam persoalan terwujud dari rasa teruja. Tipulah kalau setiap komposisi ciptaan 3 beradik Norman, Yusry dan Edry ini biasa-biasa sahaja. Bukan KRU seandainya lagu terbaru mereka tidak kedengaran gempak atau menggegar industri muzik tanahair. Mereka lebih rela 'bertapa' bertahun-tahun lamanya sehingga menemukan kreativiti berbaloi sesuai penantian yang sempat menimbulkan tanggapan kononnya KRU sudah bubar.
Kekal dalam nuansa signatur DNA muzik asal KRU, lagu rancak 'Voodoo' dipilih sebagai single pertama daripada sejumlah 10 buah lagu yang dimuatkan dalam album KASET, yang diumumkan pada bulan lalu. Saat pertama kali ritma intro 'Voodoo' menerjah telinga pada riff catchy yang terhasil, serta-merta auto gambaran 3 sosok individu yang menamakan diri mereka KRU terbayang. Sememangnya diakui sangat kental trademark muzik 'Dance Beat' KRU yang merangkumi Pop, Dance, Hip Hop dan R&B, masih kekal sama hanya dengan sekali dengar. Itulah dia KRU! Tidak tercabar, tidak terbanding dan terbukti seawal single pertama lagi, terus rasanya tidak sabar lagi untuk mendengar 9 buah lagu lain kerana teaser yang satu ini benar-benar mempunyai kuasa daya tarik yang sangat mengujakan.
"Daripada 10 lagu, 'Voodoo' dipilih kerana DNA KRU sememangnya bermula dengan lagu rancak dahulu. Sudah tentu kami ada lagu balada yang kuat tetapi apa yang kami cuba lakukan disini ialah untuk mewujudkan suasana teruja dengan pelbagai rencana yang sudah disusun cantik dengan membina momentum dari sini." Norman membuka bicara pada petang 27 November 2024 di sidang media pelancaran single dan video muzik yang bertempat di Courtyard by Marriott baru-baru ini. "Ini adalah masa yang tepat kerana Edry telah memutuskan untuk membuat pengorbanan besar demi menghidupkan semula KRU. Kami bersara sekejap kerana Edry berhiijrah, itu bukan gimik, itu yang benar-benar terjadi. Dan kini kami kembali adalah kerana Edry bersedia membuat pengorbanan, maka lengkaplah line up asal KRU dengan adanya Edry bersama."
Menurut Norman lagi, comeback ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, ianya telah melalui proses diskusi dimana mereka bertiga akan all-out dan tidak boleh separuh hati. Kata-kata itu dipersetujui oleh adik-adiknya Yusry dan Edry dengan anggukan kepala dan senyuman meyakinkan. Sementara itu Yusry yang memainkan peranan besar dalam merekacipta kembar digital (Digital Twin) dengan memanfaatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sekaligus menjadikan KRU sebagai artis tempatan pertama yang berbuat sedemikian dalam video muzik. Uniknya, video muzik 'Voodoo' memperlihatkan inovasi dan kreativiti yang terus menjadi identiti KRU sebagai trendsetter dalam industri hiburan tanahair.
'Voodoo' lagu ciptaan Norman, Yusry dan Edry menyerlahkan kematangan vokal KRU, penciptaaan lagu sofistikated serta kecanggihan dalam penerbitan muzik. Mengisahkan tentang keterujaan, kekeliruan dan perasaan seorang lelaki yang terperangkap dalam tarikan mempersona seseorang wanita yang luarbiasa. “Setelah 6 tahun hiatus, 'Voodoo' amat istimewa bagi kami bukan saja sebagai lagu baru, ianya juga membuka lembaran baru industri muzik tempatan bagi penerbitan video muzik sejajar dengan perkembangan teknologi AI. KRU sentiasa yakin dan menyokong dengan arus teknologi moden yang ketara boleh dilihat dari video muzik lengkap dengan efek CGI, facial tracking, macam-macam semua campak masuk." cerita Yusry penuh bersemangat.
Edry mencelah dengan berkata "Dengan kecanggihan teknologi masakini, kita tidak perlu takut dengan konsep AI ini, kita embrace dan guna sebaik mungkin. Jadikan ia sebagai senjata kita, isytihar hak mutlak kita dari awal sebelum orang lain mempergunakannya." Berkongsi pengalaman menarik sepanjang proses penghasilan video muzik yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan, lokasi bertempat di hospital lama yang terbiar di Pulau Carey menerbitkan suasana seram dan creepy sememangnya dirasai, menyumbang ke arah nuansa kegelapan yang diperlihatkan menerusi video muzik 'Voodoo' sesuai dengan judul lagu. "Kami dinasihatkan untuk tidak menjalani penggambaran pada waktu malam. Pastinya ada sebab kenapa dan tempat itu memang 'keras' dan buat kami semua meremang bulu roma tapi itulah yang kami mahu." ujar Edry sambil ketawa kecil.
Menariknya, video muzik 'Voodoo' ini menggambarkan pre-kuel fiksyen bagi kerjaya Norman, Yusry dan Edry di era awal 90an sebelum pelancaran album pertama KRU pada tahun 1992. Tercetusnya idea ini berdasarkan latarbelakang Yusry dalam dunia perfileman untuk mencipta storyline yang lebih besar dari lagu itu sendiri, untuk menarik perhatian dan minat generasi baru disamping membuka mata mereka untuk mengenali KRU dan pada masa yang sama mengimbau nostalgia bagi peminat KRU yang setia dari dahulu sehingga kini. Video muzik 'Voodoo' ini terlihat agak mirip dengan video muzik dari band antarabangsa KORN berjudul "Make Me Bad" terhasil pada tahun 2000 yang turut menampilkan jalan cerita yang hampir serupa.
"Kami kembali kerana adanya demand dan fans mahukan KRU yang asal, jadi kami gunakan peluang yang ada dan inilah masanya. Semoga lagu ini mendapat tempat di kalangan peminat muzik masa kini dan menjadi salah satu tarikan untuk peminat membuat reunion bersama kami di konsert KASET pada tahun akan datang.” ujar KRU menutup bicara. Lagu 'Voodoo' kini berada di kesemua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube Music dan diproduksikan oleh KRU Music Sdn. Bhd, Universal Music Publishing, dan DD Music Sdn. Bhd, dijangka bakal memperkukuhkan lagi kedudukan KRU sebagai salah satu kumpulan muzik paling berpengaruh di Malaysia.