oleh: zizi hashim
Dalam landskap gemilang Anugerah Televisyen Asia ke-29, 2 permata Rocketfuel Entertainment Malaysia - Hael Husaini dan Nadeera Zaini - melangkah gah bak penyair, mengukir momen bersejarah dengan mengalirkan muzik yang merentasi sempadan jiwa. Dari pentas Jakarta, menjadi saksi keajaiban pada tanggal 29 dan 30 November 2024, di mana setiap nada mereka bagai melukis cerita di atas kanvas seni antarabangsa. Persembahan yang bukan sekadar muzik, bahkan mencipta simfoni melalui diplomasi melodi, merentasi sempadan negara yang membelai jutaan hati. Begitu terpesonanya Indosiar dan penganjur Asian TV Awards, mereka menuntut untuk satu lagi pertemuan tambahan pada malam ke-2, dek kerana belum mencukupi untuk memuaskan dahaga penonton.
Rencana asalnya, Hael Husaini dan Nadeera hanya perlu menyanyikan 2 buah lagu di Asian TV Awards yang ke-29, namun setelah melihat persembahan memukau mereka pada hari pertama, pihak Indosiar dan Asian TV Awards telah menemui pihak Rocketfuel Entertainment dan memohon agar Hael Husaini dan Nadeera melakukan persembahan tambahan pada malam anugerah utama 30 November 2024. Pihak Rocketfuel Entertainment serta Hael Husaini & Nadeera akhirnya bersetuju dengan permintaan itu lantas memilih lagu "Kelentang Kelentong" dan "Bukan Cinta Biasa" selaku lagu tambahan yang ketiga. Ini sekaligus membuktikan keupayaan Hael Husaini dan Nadeera sebagai duta seni yang membawa nama Malaysia ke puncak kegemilangan, mencipta sejarah dalam setiap ayunan melodi.
Pada malam pertama, "Jampi" mengalir dari jiwa Hael Husaini, membelah keheningan dengan energi yang menembus layar memukau ribuan hati dan berlanjutan di malam kedua, "Diam" dan "Kelentang Kelentong" adalah episod sebuah kisah muzikal yang tak terungkap. Karisma Hael bukan biasa biasa, mencetus revolusi, menewaskan jarak antara pentas dan penonton. Melalui saluran Indosiar secara langsung dan aplikasi Vidio, vokal Hael merentasi benua, dianggarkan menyentuh 500 juta jiwa. Nadeera pula datang dengan lontaran vokal yang lembut bagaikan air mengalir mengalunkan "Nirmala" dan "Bukan Cinta Biasa". Sementara lagu hitsnya "Bukan Lagi Kita" kini menjadi nadi drama melalui runut bunyi drama popular "Curang Tanpa Niat" mencuri perhatian penonton serantau.
“Saya amat bersyukur dan terharu dengan penghormatan ini. Pada asalnya, kami hanya dijadualkan untuk membawakan 2 lagu, tetapi apabila diminta untuk membuat persembahan tambahan, ia adalah sesuatu yang sangat luarbiasa. Kami sangat berbangga dapat mewakili Malaysia di acara berprestij ini. Ini adalah peluang besar untuk kami berkongsi budaya dan muzik Malaysia dengan dunia.” kata Hael Husaini selepas persembahan. Sorakan gemuruh dari penonton menyaksikan 2 permata Malaysia memancarkan cahaya kesenian. Ia adalah pengiktirafan akan kuasa muzik yang meleburkan perbezaan dalam simfoni yang sama. Hael dan Nadeera menjadi duta seni yang membuka jendela keharmonian melalui melodi universal.
“Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna. Saya tidak menyangka sambutan yang begitu hebat daripada penonton di sini. Dapat kembali ke pentas pada malam kedua dengan lagu tambahan atas permintaan penganjur adalah satu penghormatan yang tidak ternilai dan ini adalah pengalaman yang luar biasa. Sokongan peminat dari Malaysia dan juga luar negara memberikan kami semangat untuk terus berkarya dan membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.” tutur Hael lagi penuh terharu.
Dalam lautan 500 juta pasang mata, Hael Husaini dan Nadeera melaung sejarah, melakar manifesto seni Malaysia yang membara. Anugerah Televisyen Asia adalah pentas di mana bintang-bintang benua berkumpul seperti Luna Maya, Raffi Ahmad, Tony Gapa, Robby Purba, Louise Hesse, Lesti Kejora, Wulan Guritno, Rina Nose, dan Putri Ariani menjadi saksi transformasi muzikal. Lebih dari sekadar pengiktirafan, ia adalah pertemuan peradaban menerusi seni, merentasi 20 negara. Hael dan Nadeera mengukir nama Malaysia pada kanvas kegemilangan Asia dalam melodi yang membisik pada masa hadapan cerah.