'Sesal Tak Bermakna' Cenderahati Jaclyn Victor Menjelang Konsert

oleh: zizi hashim

Menjelang tibanya hari bersejarah julung kali yang direncanakan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert penyanyi berprolifik tinggi 'Jaclyn Victor First Solo Concert' yang cuma tinggal kurang dari 2 bulan lagi, ada cenderahati istimewa yang ingin dihadiahkan oleh Jac. Dihasilkan oleh Gerald Sellan dan diterbitkan oleh Mux Ryzor, 'Sesal Tak Bermakna' adalah cenderahati istimewa yang tidak sabar untuk diperdengarkan oleh Jac kepada semua peminat dan pemerhati muzik tempatan. Gabungan idea Adrian Puan bersama Gerald sebagai komposer telah 'bertemu' dengan peminat sejak 23 Ogos 2024 lagi.

Secara kasarnya, meski mengangkat judul 'Sesal Tak Bermakna' yang akan dikaitkan relevan dengan penyesalan terhadap perbuatan lampau, Jaclyn Victor yang terkenal mencapai notasi tinggi dalam nyanyiannya ini bagaimanapun melihat ia daripada sisi berbeza. Mahu peminat melihat sisi lain dalam dirinya selepas lebih 2 dekad berlayar dan mengharungi gelombang arus muzik menerusi 'Sesal Tak Bermakna' yang bernuansa kegelapan berbanding hits miliknya sebelum ini seperti 'Gemilang' atau 'Kejutkan Aku'.

"Mungkin 'Sesal Tak Bermakna' berbunyi seperti satu penyesalan terhadap perbuatan yang telah terlanjur dilakukan namun 'Sesal Tak Bermakna' versi single kedua saya ini adalah lebih cenderung kepada interpretasi bagaimana seseorang belajar di sebalik sesuatu yang berlaku dan berusaha memperbaiki diri dengan menjadi lebih baik pada masa hadapan,” ujar Jac, bercerita tentang lagu terbarunya yang dibalut dalam genre balada pop ditemani melankolis dentingan piano. Jac mendefinisikan 'Sesal Tak Bermakna' sebagai semangat yang perlu ada dalam diri setiap individu setelah sesuatu perkara kurang baik berlaku.

Ironi kata Jac lagi, 'Sesal Tak Bermakna' yang menjadi single kedua selepas kejayaan 'Kejutkan Aku' itu mengisahkan kebangkitan seseorang selepas cinta yang disemai tidak berbuah manis. “Sesal Tak Bermakna adalah sebuah lagu cinta. Ia mengajar kita meneroka dan mengatasi penyesalan serta memaafkan diri sendiri. Saya juga berpegang kepada peribahasa ‘apa yang tidak membunuhmu, menjadikanmu lebih kuat.’ Dan itulah roh yang ada dalam lagu 'Sesal Tak Bermakna' ini.” tambah Jac lagi.

Seiring lahirnya 'Sesal Tak Bermakna' di pasaran, Jac juga teruja menyambut ribuan peminat untuk merayakan ulang tahun ke-20 dirinya sebagai anak seni di 'Jaclyn Victor First Solo Concert' yang dibawa oleh Rag Doll Records dan disokong oleh CUCKOO dan KAIMIRRA. Di pentas Zepp KL pada 12 Oktober 2024 nanti, sudah tentu 'Sesal Tak Bermakna' akan berada dalam senarai playlist yang bakal disampaikan bersama lagu-lagu lain yang telah mengharumkan nama Jac bukan sekadar ‘gadis pemenang program realiti televisyen’ sebaliknya permata seni yang patut dibanggakan. 

“Saya sangat tidak sabar menanti hari besar nan bersejarah iaitu konsert perdana saya. Konsert solo ini akan menjadi medan pertemuan intim antara saya dan peminat sebagai tanda cinta serta apresiasi saya kepada mereka yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni saya sejak 2 dekad lalu.” kata Jac dengan nada penuh teruja. Bukan calang-calang, konsert tersebut akan diketuai oleh karyawan seni terkenal, Genervie Kam diberi tangungjawab sebagai Pengarah Muzik 'Jaclyn Victor First Solo Concert bersama barisan pemuzik handalan tanah air.

Menariknya juga untuk muzik video lagu 'Sesal Tak Bermakna' ini, Jac kembali mempamerkan bakat lakonannya dengan menjadi pemeran utama untuk video tersebut. Sebelum ini Jac pernah berlakon dalam filem 'Talentime' pada tahun 2009.

Untuk menyaksikan 'Jaclyn Victor First Solo Concert' pada 12 Oktober 2024 ini di Zepp KL, jangan terlepas mendapatkan tiket berharga RM258 sehingga RM888 sudah mula dijual di www.livepass.asia.