Nikmati Sensasi Sinestesia Bersama Efek Rumah Kaca

oleh: zizi hashim

Sempat berkongsi panggung bersama Payung Teduh X Pusakata dalam Konsert Senandung Malam pada 30 November 2022 yang laris terjual hanya dalam masa 50 minit jualan tiket dibuka. Kali ini band asal Jakarta ini hadir kembali ke Malaysia untuk menggelar konsert secara solo yang diberi nama 'Di Udara Kuala Lumpur Live at Zepp KL' yang dijadualkan bertamu pada 25 Oktober 2024 nanti, bertempat di lokasi yang sama. Shezco Sdn Bhd selaku penganjur konsert dengan senang hati membawakan sekali lagi Efek Rumah Kaca ke ibukota Kuala Lumpur berdasarkan rekod sold out yang dicatatkan pada 2 tahun lalu.

Kewujudan Efek Rumah Kaca dalam belantika muzik masih kekal relevan disebabkan cerita kehidupan yang dibalut sempurna dalam melodi beragam mengasyikkan. Itulah faktor utama yang menjadikan mereka antara band senior yang sukses menyentuh hati peminat sejak memulakan perjalanan seni mereka sejak tahun 2001 sehingga kini. Sesuai dengan nama band mereka sendiri, ia benar-benar memberi efek yang berwarna-warni buat pendengar. Perjuangan Efek Rumah Kaca dibarisi oleh pengendali instrument serius iaitu Cholil Mahmud (vokal utama, gitar), Poppie Airil (vokal latar belakang, dan Akbar Bagus Sudibyo (drum, vokal latar belakang). 

Meski boleh dikatakan mereka kurang melakukan persembahan panggung lantaran lebih memberi keutamaan terhadap hal lain sekaligus juga disebabkan tumbuhnya banyak band generasi baharu, Efek Rumah Kaca bukanlah band sebarang yang mudah dilupakan. Kali ini Efek Rumah Kaca datang bertandang lagi ke Malaysia secara solo. Sinonim dengan akronim ERK, kembalinya mereka adalah semata-mata demi  memenuhi permintaan peminat yang tidak pernah puas menikmati efek-efek muzik mereka, yang dikatakan hanya bertebaran terlalu sedikit saat jerayawara 2 tahun silam.

Menurut Shezco Sdn Bhd, judul konsert sengaja dinamakan Di Udara sempena mengambil nama salah satu lagu popular mereka yang dilahirkan pada tahun 2007 menerusi album sulung mereka, Efek Rumah Kaca. "Secara simboliknya kami menamakan persembahan panggung ini sebagai 'Di Udara Kuala Lumpur Live At Zepp KL' sempena pertama kali setelah sekian lama ERK tidak beramah mesra dengan peminat mereka di Malaysia.“Jadi muzik dan kasih sayang di antara ERK bersama peminat akan bertebaran di udara sepanjang malam 25 Oktober 2024 di ruang Zepp KL kelak.” ujar Kamarul Hafizad @IJAD dari Shezco Sdn Bhd. 

Buat Cholil tidak ada yang lebih bahagia saat dia dan rakan ERK diberi penghormatan menemui peminat dan akan mendendangkan banyak lagu-lagu hits mereka dengan senang hati. “Kami berasa senang untuk kembali ke Malaysia dan kali ini lewat DI UDARA KUALALUMPUR LIVE AT ZEPP KL, ERK akan lebih intim berpesta dengan peminat kami. Sampai ketemu semua tanggal 25 Oktober ini. Semoga kita menikmati sinestesia bersama nanti,” ujar Cholil begitu bersemangat.

Untuk menikmati indahnya karya ERK dari "Kamar Gelap", "Jatuh Cinta Itu Biasa Saja", "Balerina", "Cinta Melulu" dan banyak lagi, jangan terlepas dapatkan tiket anda di ILASSOTICKETS.COM atau hubungi talian 03-48168029.

Apa yang lebih menarik lagi, pihak penganjur dengan berbesar hati memberikan potongan harga sebanyak 15% kepada 50 pembeli tiket awal. Diskaun tersebut berlangsung mulai 22 Ogos sehingga 31 Ogos sempena bulan kemerdekaan Malaysia. Dengan pembelian 2 tiket berdiri (standing) pembeli akan mendapat potongan harga sebanyak 15%. Tiket-tiket berharga RM188 (CAT 1 / FREE STANDING), RM218 (NORMAL STANDING),RM268 (CAT 2 / PREMIUM SEATING), RM448 (ROYAL BOX), RM3,500 (PACKAGE 8 PAX /MEET & GREET) menanti anda semua!