Langkah P. Radhi Bersama 'Gadis Chantek' Karya M. Nasir

oleh: zizi hashim

Gugusan elemen klasik moden yang bersesuaian dengan identiti P. Radhi, menghasilkan rentak lagu yang rancak menerusi langkah seterusnya dari P. Radhi bersama single terbaru karya ciptaan Dato' M. Nasir berjudul 'Gadis Chantek'. Mengisahkan tentang seorang gadis yang telah menawan hati seorang lelaki yang ingin memilikinya sungguh-sungguh dek kerana tidak dapat tidur lena setelah terpikat dengan keayuan wajahnya. 

Luncai Emas selaku label rakaman telah merebut peluang dari cetusan idea Dato' M. Nasir bagi memproduksikan sebuah lagu baru setelah tular dengan populariti 2 buah lagu terdahulu iaitu "Suatu Masa" dan "Tiara". Lagu yang juga merupakan ciptaan Dato' M. Nasir itu telah dirakam dan dinyanyikan oleh P. Radhi dalam penyampaian versi tersendiri pada 2022.

"Saya tidak pernah terfikir akan dapat menimba satu pengalaman bekerjasama dengan seorang lagenda yang hebat. Setinggi ucapan terima kasih saya ucapkan kepada Luncai Emas dan Dato' M. Nasir atas usaha ini. Saya hanya terima sahaja apa yang diberikan oleh Dato' M. Nasir kepada saya." ujar P. Radhi membuka bicara tentang lagu terbaru yang dipetaruhkannya.

Kemunculan P. Radhi dalam industri muzik tanahair disifatkan sebagai mencuit hati oleh seniman Dato' M. Nasir. Kreativiti yang menaikkan namanya dengan menyanyikan semula lagu "Tiara" dalam versi klasik ala-ala P. Ramlee telah mendapat sambutan hangat dan disenangi ramai. Apatah lagi 'lampu' hijau yang diberikan dari pencipta lagu itu sendiri, dengan keizinan merakamkan semula dalam versi klasik menjadikan namanya viral dan semakin dikenali.

"Taruhannya adalah satu keberanian yang boleh dipuji. Sudah tentu dia adalah peminat tegar P. Ramlee dan dengan rakaman ini dia telah dapat mengekspresikan sanjungan terhadap lagenda besar itu. Meskipun saya adalah pengarang lagu 'Gadis Chantek', ia saya ciptakan khas untuk P. Radhi. Harapan besar saya semoga lagu ini diterima oleh peminat muzik tanahair dengan hati yang terbuka. Tahniah saya ucapkan pada Radhi." ujar Dato' M. Nasir.

Terdahulu, kemunculan P. Radhi dalam bidang nyanyian menarik perhatian ramai dalam aplikasi TikTok disebabkan memiliki vokal suara yang unik dan mirip Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Lebih menarik lagi, kini P. Radhi mengorak langkah dengan sebuah lagu baru yang juga merupakan sentuhan komposer lagu paling dikaguminya. "Saya bersyukur dan rasa sangat beruntung kerana telah dapat sebuah lagu nyanyian saya sendiri. Bonus pula ianya ciptaan bukan calang-calang komposer. Pada awalnya Dato' M. Nasir ingin menghasilkan sebuah lagu balada untuk saya nyanyikan, namun telah diubah kepada sebuah lagu yang lebih rancak selepas kami berbincang."

Video muzik 'Gadis Chantek' kini boleh ditonton di YouTube Luncai Emas dan boleh juga didapati di semua platform penstriman digital bermula pada 23 Ogos 2024. Jangan lepaskan peluang anda untuk menikmati karya terkini dari P. Radhi yang pasti akan memukau hati dan jiwa anda.