Intimasi 'Sentuhan Nadi' Jo Branko Bersama Yonnyboii Rai Peminat Bertuah

oleh: zizi hashim

Seramai 20 peminat bertuah menjadi tetamu eksklusif terpilih daripada peraduan cover lagu "Nadi" yang diadakan dari tanggal 6 Ogos hingga 28 Ogos lalu. Berlangsung di lokasi ikonik, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 3 September 2024 yang lalu, peminat bertuah yang dihimpunkan dalam satu acara itu berpeluang meluangkan masa bersama Jo Branko dan Yonnyboii selama 3 jam. Semestinya momen penuh intimasi itu meninggalkan bekas mendalam di hati 20 orang peminat bertuah sebagai kenangan penuh makna. Sentuhan Nadi tidak lain bertujuan menghargai peminat serta penyokong karier muzik Jo Branko dan Yonnyboii selama ini.

Peraduan cover lagu "Nadi" itu merupakan kesinambungan daripada kerjasama menerusi lagu tersebut. Pemain gitar legenda, Jo Branko dan komposer serta penyanyi serba boleh, Yonnyboii, mengadakan sesi pertemuan eksklusif bersama peminat di acara Sentuhan Nadi. Peraduan berkenaan dilakukan menerusi media sosial di mana peserta perlu memuat naik cover terbaik "Nadi" dengan versi mereka yang tersendiri. Mereka juga perlu meletakkan #SentuhanNadi dan #NadiSongCover dalam hantaran video masing-masing.

Acara kemuncak yang menjadi penentuan untuk menobatkan siapakah di antara 20 peminat itu akan membawa pulang sebuah gitar istimewa yang siap ditandatangani oleh Jo Branko dan Yonnyboii. Gitar tajaan istimewa Music Bliss Malaysia bersama ERA. Selepas masing-masing mempamerkan bakat mereka, dapat membawa pulang gitar keramat itu menjadi pulangan paling berbaloi. Apalagi hadiah itu disampaikan sendiri idola mereka secara bertentang mata.

Sentuhan Nadi juga menjadi detik manis buat Jo Branko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, dan Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 26, mendekati peminat setia mereka. Jika selama ini mereka cuma mampu melihat peminat dari atas pentas, pertemuan sebegini sememangnya satu peluang keemasan cukup bermakna. Sentuhan Nadi jadi ruang intim untuk berkongsi rasa dengan peminat. 

Demikian juga peminat yang benar-benar ingin bersemuka dan mengenali mereka lebih mendalam. Pertemuan ini membuka ruang untuk mereka merungkai persoalan yang sekian lama ingin ditanyakan selain menimba ilmu dari Jo Branko dan Yonnyboii.

Acara ini juga tidak lengkap rasanya tanpa hiburan persembahan eksklusif buat semua yang hadir. Bukan sekadar Jo Branko dan Yonnyboii, mereka juga ditemani penyanyi yang tidak kurang hebatnya, Asyraf Nasir untuk ‘memanaskan’ pentas dengan beberapa buah lagu. Yonnyboii mempersembahkan lagu solonya "Salahku", kemudiannya berduet dengan Asyraf menerusi lagu "Tak Sangka" serta berpadu tenaga bersama Jo Branko dan kugirannya untuk lagu kolaborasi istimewa mereka iaitu "Nadi"

Kombinasi orang lama dan artis muda yang luar biasa. Terdahulu, Yonnyboii menampilkan Jo Branko menerusi lagunya "Nadi" yang dilancarkan pada sekitar hujung bulan Jun lalu. Kombinasi 2 generasi berbeza yang menarik, mengambilkira latar belakang perbezaan usia dan genre muziknya. Selepas lebih dua bulan dilancarkan, muzik video (MV) rasmi "Nadi" di YouTube berjaya meraih lebih 211,000 tontonan. Manakala di platform-platform penstriman muzik, jumlah pendengarnya semakin meningkat hari demi hari.

Cetusan ilham daripada perasaan peribadi, Yonnyboii percaya lagu dicipta bersama komposer  Amy Bong itu mampu menyentuh hati ramai. Dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam single itu juga memberinya satu kelegaan peribadi baginya.