Hari Rock Negara 2024: Semarak Api Kreativiti Belia Dan Roh Jiwa Merdeka

oleh: zizi hashim

Bersempena dengan kegemilangan 'Fiesta Belia Merdeka 2024' yang direncanakan bakal berlangsung di bawah kibaran Jalur Gemilang pada 8 September 2024 berlokasi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, sebuah jerayawara klasik dari barisan artis-artis veteran muzik rock tanahair yang diberi nama 'Hari Rock Negara 2024' merupakan salah satu dari daya tarikan yang diselitkan dalam antara lain aktiviti beragam yang disediakan. Berada dibawah anjuran dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan NGO termasuklah International Youth Centre (IYC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KL Care dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) merupakan acara perdana yang julung kali diadakan.

Berbekalkan nawaitu untuk memperkukuhkan semangat cintakan negara di kalangan belia masakini, dalam masa yang sama cuba memupuk kepimpinan dan kesedaran sosial dalam Gen Z dan seangkatan dengannya, agenda ini dilihat sebagai satu platform terbaik bagi belia untuk memperagakan bakat dan kemahiran transitif mereka melalui variasi aktiviti dan program yang telah disusun sepanjang hari tersebut. Hari Rock Negara 2024 yang merupakan kesinambungan dari kejayaan terdahulu bermula pada tahun-tahun sebelumnya iaitu 2022 dan 2023 telah diadakan di Malakat Mall, Cyberjaya akhirnya berjaya mendapat pengiktirafan untuk dijadikan acara tahunan yang mendedikasikan inisiatif positif di kalangan masyarakat Malaysia khususnya.

Ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Pelancaran 'Fiesta Belia Merdeka 2024' baru-baru ini, Kombatt selaku Pengasas 'Hari Rock Negara' berkata, "Pemilihan artis-artis veteran muzik rock tanahair adalah berdasarkan pengaruh dan inspirasi yang diberikan secara tidak langsung kepada kalangan belia dengan pembawaan muzik rock yang sekian lama bertapak di hati generasi demi generasi. Ianya sedikit sebanyak memainkan peranan signifikan dalam mengisi masa lapang dengan aktiviti positif melalui muzik rock yang sering menyampaikan pesan dan mesej bernas, teliti dan afirmatif buat anak-anak muda yang mudah terpesong kepada aktiviti negatif."

Kombatt yang ditemani oleh Pengurus KL Care pada petang itu, Shafiq Saharudin turut menambah "Acara yang diadakan ini bukan sahaja menjadi wadah ilmu dalam membina negara yang lebih baik, namun turut membuka ruang dan peluang membantu para belia meneroka peluang kerjaya dan latihan dalam perancangan masa hadapan mereka sendiri tanpa paksaan." Difahamkan, Hari Rock Negara 2024 akan berlangsung pada sebelah malam bermula dari jam 7 malam sehingga selesai acara. Antara barisan artis-artis veteran muzik rock yang akan menggegarkan pentas 'Hari Rock Negara' nanti adalah kumpulan Headwind, Gerhana Ska Cinta, Kugiran D' Tepi Pantai, Penunggu, Pramaya, Rockabelly, SYJ dan ramai lagi.

Untuk makluman, 'Hari Rock Negara' merupakan sebuah Karnival Rock yang berkolaborasi bersama Belia Negara dengan objektif untuk memartabatkan artis-artis dan band-band rock tanahair yang telah mewarnai industri muzik Malaysia sejak dari zaman 60an lagi. Karnival yang dilihat sebagai medan perhimpunan kembali artis-artis senior dan junior dalam usaha merapatkan  lagi ukhwah di samping menggalakkan artis-artis ini berniaga dan juga membuat persembahan sambil mempromosikan barangan jualan mereka. Dalam masa yang sama turut membuat perkongsian idea dalam mengetengahkan halatuju muzik rock negara kepada golongan belia dan membuka peluang kepada peminat-peminat rock tanahair untuk bersua-muka dengan idola-idola mereka.

Sementara itu, turut diadakan Forum Ilmiah yang bertajuk ROCK & ISLAM menjadi salah satu pengisian pada hari tersebut yang akan diketengahkan iaitu Tuan Haji Zulkif Headwind dan Saudara Amir SYJ, manakala moderator untuk pengisian ini adalah Bob Ringgo dari Suria FM. Meski pertama kali berkolaborasi bersama KL Care menganjurkan karnival berskala besar seperti ini, kedua-dua mereka optimis menjanjikan pelbagai aktiviti menarik yang bukan sahaja mendidik tetapi yang lebih penting ialah menghiburkan. Antara lain yang akan berlangsung termasuklah Fitness Dance Marathon iaitu tarian kecergasan yang menggabungkan elemen seni dan kesihatan, Karnival Kerjaya PERKESO membawa bersama peluang latihan dan penjelajahan kerjaya bagi belia, Bike Show demi usaha inovasi menarik minat belia permotoran, Forum Belia Berisiko, Pertandingan Filem Pendek dan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Fiesta yang mendapat sokongan sepenuhnya dari tokoh-tokoh pemimpin negara termasuklah Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Datuk Azman Hj Abidin, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri ini menjanjikan satu karnival yang sihat, dan diharapkan dapat mencapai objektif dalam memupuk roh jiwa merdeka dan menyemarakkan lagi api kreativiti belia dalam pembentukan kepimpinan belia yang berwawasan. Kehadiran tokoh-tokoh pemimpin bersama pelbagai menteri dan agensi kerajaan diharap akan memperkukuhkan lagi mesej kesatuan dan perpaduan yang ingin disampaikan melalui acara ini.

Dengan harapan untuk mengumpulkan 10,000 pengunjung di kalangan belia datang dari pelbagai latar belakang, kegigihan usaha untuk menyemai semangat cinta negara dikalangan anak muda terutama dalam bidang permotoran merupakan fokus dan matlamat utama program 'Fiesta Belia Merdeka 2024'. Jom sama-sama kita meriahkan Dataran Merdeka pada 8 September ini. Sambil berhibur kita sokong usaha murni yang mensasarkan 7 kategori belia untuk berkumpul, bertukar idea dan menimba pengalaman menyeronokkan yang bakal merawat jiwakacau dan gelora galau generasi masakini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Fiesta Belia Merdeka 2024, sila layari laman web dan platform media sosial rasmi di https://www.facebook.com/FiestaBelia