oleh: zizi hashim
"Malam ini merupakan episod terakhir, kalian semua tolong tengok-tengokkan Suri. Jangan bagi dia seorang diri, temanlah dia di episod terakhir ini..." bisik Falah, seolah-olah tahu takdirnya yang bakal tertulis. Air mata mengalir deras di seluruh pelosok negara tatkala Malaysia menyaksikan detik-detik terakhir Falah dalam drama yang menggoncang jiwa, 'Andai Tiada Dia'. Karektor yang dilakonkan dengan penuh jiwa oleh Zahiril Adzim ini meninggalkan pesanan terakhir yang mengusik kalbu.
Dalam episod yang menghancurkan hati setiap penonton, Falah disahkan mati otak, nafasnya kini bergantung pada mesin semata-mata. Sosok yang diharapkan menjadi pelabuhan hati Suri kini terbaring kaku, meninggalkan sejuta tanda tanya dalam benak peminatnya. Kepergiannya bukan sahaja menggugat penonton setia, malah turut menggoyah para selebriti tanah air. Nabil, yang selama ini tidak pernah ketinggalan mengikuti drama arahan Riza ini, turut mencurahkan kesedihan yang tidak terbendung.
Namun, di sebalik kesedihan ini, misteri masih menyelubungi nasib Falah. Adakah ini benar-benar penamat bagi kisahnya? Atau mungkinkah ada mukjizat yang tersembunyi? Dan bagaimana pula dengan Intan - akankah karma akhirnya mengetuk pintunya? Wasiat terakhir Falah bergema: "Saya percaya Suri akan buat keputusan yang betul dan bijak. Kalau tidak percaya, tengok malam ni." Kata-kata yang meninggalkan ribuan tanda tanya, menunggu untuk dijawab dalam episod terakhir yang bakal menentukan segalanya.
Malam ini, 19 Disember 2024, tepat jam 10 malam di Astro Ria, tirai akan dilabuhkan buat kali terakhir untuk 'Andai Tiada Dia'. Sediakan tisu dan hati yang kukuh, kerana episod ini dijangka akan membawa penonton melalui rollercoaster emosi yang tidak terduga. Jangan abaikan pesanan terakhir Falah - marilah kita temani Suri dalam perjalanan terakhirnya mencari kebenaran dan keadilan.