Terbaru Dari Antonim Part I: Hael Husaini Pertaruhkan "Kejora"

oleh: zizi hashim

Artis terkenal di bawah naungan label Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dengan bangganya mempersembahkan single ke-3 terbaru dari album Antonim Part 1 berjudul "Kejora". Lagu ciptaan Hael Husaini bersama 2 komposer berbakat besar Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi ini turut menampilkan garapan video muzik eksklusif dan telah pun ditayangkan bermula 9 Ogos 2024 jam 9 malam di saluran YouTube rasmi Hael Husaini.

Bergandingan bersama Qasrina Karim, yang juga merupakan pasangan Hael Husaini dalam drama popular My Famous Ex-Boyfriend, keduanya telah menjalani proses penggambaran intensif selama satu hari di Shah Alam. Video muzik produksi Rocketfuel Studios ini cemerlang sukses menghasilkan visual memukau dan penuh emosi, dalam masa yang sama memberi cerminan jalan cerita yang menyentuh hati.

Konsep dan arahan kreatif yang ditonjolkan melalui video muzik "Kejora" adalah kelainan yang memaparkan Qasrina Karim dari sisi berbeza. Jauh berbeza dengan karektornya dalam drama dan penampilan di media sosial, Qasrina mempamerkan kemahiran menari yang jarang dilihat oleh para peminatnya. Koreografi yang dihasilkan istimewa untuk video muzik ini memperlihatkan kebolehan Qasrina menari, sekaligus menambahkan dimensi baru kepada portfolio lakonannya.

Sementara itu, Hael Husaini memainkan peranan sebagai penyanyi menerusi video muzik ini dimana Qasrina Karim menjadi penunggu setia yang mendambakan cinta sejatinya. Refleksi senikata dan melodi lagu "Kejora" cuba diterjemahkan ke dalam video muzik ini yang menceritakan tentang kesetiaan seorang pecinta terhadap kekasihnya. Dengan kemerduan melodi dan tafsir lirik mendalam, Hael Husaini mempersembahkan keupayaan vokal luarbiasa, sekaligus membuktikan kepakarannya dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi.

Untuk makluman, album Antonim Part 1 telah dilancarkan pada Januari 2024 dan boleh distrim di semua platform penstriman digital. Setakat ini, album Hael Husaini ini telah mendapat sambutan luarbiasa sehingga mencatat lebih daripada 3 juta penstriman di Spotify. Setiap nada irama di dalam album ini mencerminkan variasi emosi dalam penceritaan pengalaman hidup, menjadikannya sebagai sebuah karya seni lengkap yang memuaskan.

Saksikan sendiri keindahan video muzik "Kejora" di saluran YouTube Hael Husaini, pada masa yang sama peminat juga boleh terus strim lagu "Kejora" dan lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album Antonim Part 1 di semua digital platform seperti Apple Music, Spotifu, Deezer, KKBox dan YouTube Music disamping berpeluang menghasilkan konten video pada TikTok dan Instagram reels menguna-pakai lagu ini.