oleh: zizi hashim
Manifestasi 'Perjalanan' artistik seorang Soma atau nama asalnya Rosmah S.Sengari yang merentasi masa, menghubungkan 2 generasi komposer tersohor tanahair dipersembahkan dalam bentuk mini album memuatkan 5 buah lagu baru dan mesra telinga. Bukan sekadar koleksi lagu, album yang diberi judul 'Perjalanan' ini adalah jambatan antara legasi dan inovasi, menghubungkan karya terakhir legenda Allahyarham Datuk S.Atan dengan sentuhan kontemporari Belle Fatah.
Bagai permata yang menunggu untuk digilap, bakat Soma telah bersemi sejak usia 13 tahun. Dari pentas ke pentas, suaranya mengalun mencari makna, berkembang mekar hingga akhirnya meraih kejayaan sebagai Naib Juara Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009 dan kemudiannya dimahkotakan Juara Bintang Klasik RTM 2010. Pengalaman Soma turut diperkaya melalui penyertaan dalam Akademi Fantasia dan Sinaran Passport Kegemilangan.
Kisah bermula dengan pertemuan pertama bersama Allahyarham Datuk S.Atan di radio Klasik RTM. Namun, takdir menyimpan rencana dan memainkan peranan yang lebih indah apabila Tuan Haji Mohamed Saleh mempertemukan mereka semula di Konsert Malam Amal Legends, Dewan Perdana Felda. Pertemuan dengan Belle Fatah telah membuka pintu kepada dimensi baharu. Di sinilah, melodi-melodi yang telah lama terlena mula bangkit dari tidur panjang. Satu pertemuan yang membuka pintu kepada kolaborasi kreatif yang menghasilkan album 'Perjalanan'.
Diperkenalkan kepada lagu-lagu yang belum sempat dirakamkan, termasuk warisan terakhir Allahyarham Datuk S.Atan yang kini mendapat kehidupan baharu melalui gemersik lunak suara Soma. "Setiap pertandingan yang saya sertai membentuk jati diri saya sebagai penyanyi," kata Soma, mengimbau perjalanannya yang bermula dari pertandingan peringkat daerah hingga ke pentas nasional. "Siapa sangka rezeki datang pada masanya." sambungnya lagi ketika di temui pada majlis pra-pelancaran album 'Perjalanan' pada petang 26 Disember 2024 di Hotel Seri Pasific Kuala Lumpur baru-baru ini.
Album "Perjalanan" membawa misi istimewa dengan menghidupkan semula lagu "Curahan" dan "Dugaan" yang tertangguh sejak 1996. Di bawah sentuhan Belle Fatah, kedua-dua lagu ini kini hadir dengan nafas baharu. "Bagi lagu berjudul Curahan dan Dugaan, ia pernah dirakamkan pada tahun 1996 namun terhenti atas sebab tertentu. Namun kini, setelah melalui proses penggubahan semula dan mengikut susunan arus muzik oleh Belle Fatah, maka terhasil-lah album 'Perjalanan' yang menggabungkan karya komposer 2 beradik ini." cerita Soma dalam nada gembira.
Lebih bermakna lagi, album ini turut merakamkan lagu raya berjudul "Kerlipan Langit Lebaran" dan "Bisikkanlah Kekasih", warisan terakhir Allahyarham Datuk S.Atan yang akhirnya menemui suaranya. "Album ini bukan sahaja hadiah untuk diri saya, tetapi juga buah tangan untuk seluruh rakyat Malaysia." Setiap lagu dalam album ini telah dipilih dan digarap dengan teliti untuk memproduksi kualiti yang tiada kompromi, menggabungkan kepakaran teknikal dengan sensitiviti artistik.
'Perjalanan' membawa impak signifikan kepada industri muzik Malaysia. Ia bukan sekadar mendokumentasi dan memelihara warisan, tetapi turut membawa pembaharuan dalam cara karya klasik diadaptasi untuk generasi baharu. Album ini menjadi jambatan yang menghubungkan pendengar muda dan lama, mencipta apresiasi silang generasi terhadap muzik Malaysia.
Visi album ini melampaui sekadar hiburan. Ia meletakkan asas untuk pengekalan warisan muzik Malaysia, pembangunan bakat baharu dan evolusi muzik tradisional. Setiap nota dalam album ini telah melalui perjalanan yang panjang. Dari studio ke studio, setiap melodi digilap dengan teliti, menggabungkan roh klasik dengan nafas kontemporari di bawah naungan Belle Fatah. Soma berharap 'Perjalanan' akan menjadi inspirasi kepada artis muda sambil mengekalkan warisan muzik yang tidak ternilai.
Foto Kredit: ZamanKini / Fendi Ghafar