oleh: zizi hashim
Masalah perihal 'ibu tumpang' di kalangan umat Islam sememangnya sangat jarang sekali dibicarakan, namun drama bersiri terbaru iQIYI berjudul 'Senyawa' dengan berani mengupas isu tabu pengorbanan terlarang tersebut, bermula tayangan pada 25 Oktober 2024 mendatang di aplikasi penstriman popular Asia iaitu iQIYI. Sekali lagi kembali menghadirkan sajian istimewa melalui barisan pelakon handalan tanahair seperti Trisha Ooi, Shahz Jaszle, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan, Heryanto Hassan dan ramai lagi, manakala arahan oleh sutradara berpengalaman, Eyra Rahman.
'Senyawa' bercerita tentang Zabrina (lakonan Trisha Ooi), seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya dan hidup dalam rumahtangga bahagia, namun Zabrina terpaksa berhadapan dengan pelbagai konflik disebalik kejayaannya. Zabrina mengalami keguguran setelah mendirikan rumahtangga dengan Iskandar (lakonan Shahz Jaszle) dan didiagnosis menghidap penyakit 'Cervical Insufficiency'. Tertekan dengan desakan ibu mertuanya, Dato' Asmida (lakonan Datin Nina Juren) yang teringin bercucu, Zabrina bertekad mendapatkan ibu tumpang kerana tidak sanggup bermadu. Pertemuan dengan Lutfiyah (lakonan Siti Hariesa), gadis desa yang berpewatakan mirip dirinya seolah membuat Zabrina merasa Lutfiyah adalah calon yang sesuai menjadi seorang ibu tumpang. Saksikan 'Senyawa' untuk mengetahui kesudahan cerita.
"Sangat banyak cabaran yang saya hadapi bagi membawakan watak Zabrina sehingga saya perlu membuat pelbagai persiapan demi menjayakan watak tersebut." ujar Trisha berkongsi cerita tentang watak Zabrina yang dibawakan. Menyifatkan ianya bukanlah sesuatu yang mudah, Trisha menyambung, "Mujurlah pengarah Eyra banyak memberi tunjuk ajar dan kami sering berbincang untuk membina dan mencipta watak seberat Zabrina. Bayangkan saya perlu bermain dengan emosi dari seorang yang dominan dan pada masa yang sama sangat rapuh hatinya. Berlaku pergolakan jiwa di situ. Namun, saya rasa puas dapat berikan yang terbaik dan berharap penonton turut merasainya."
Bagi Shahz Jaszle pula, dia sering melakonkan watak suami namun tidak pernah lagi apabila melibatkan isu ibu tumpang, “Saya perlu menyelami watak Iskandar yang terlalu menyayangi isterinya sehingga sanggup berkorban melakukan perkara yang dilarang dalam agama." Sambungnya lagi, “Sebagai khalifah dalam sebuah keluarga, saya nasihatkan agar para suami memimpin rumahtangga kerana kunci utamanya adalah agama, dan sebagai umat Islam kita harus mempertahankan yang halal dan menidakkan yang haram."
Sementara itu, Siti Hariesa yang membawakan watak Lutfiyah merasakan banyak mesej bermanfaat tersirat melalui dalam drama ini. “Selain lakonan ketiga-tiga watak yang mencabar, banyak pengajaran berguna saya pelajari. Dalam sesebuah perhubungan, harus ada ketelusan, transparency dan jangan terlalu banyak berahsia, terutamanyadengan pasangan kita. Beringatlah sebelum bertindak dan jangan terlalu ikutkan perasaan sehingga agama yang tergadai.
“Isu yang dikupas dalam drama ini sangat berat kerana ianya terkait dengan legitimasi hukum halal dan haram. 'Senyawa' adalah sebuah naskah di mana pendekatan yang diambil adalah menghalalkan hukum yang haram. Kerana desakan hidup, fikiran waras seseorang terpesong dengan memilih jalan mudah iaitu menghalalkan perkara yang haram seperti ibu tumpang. Semua ini berlaku di atas sifat kepentingan tanpa memikirkan keburukan yang mendatang." bicara sutradara Eyra ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang pada 16 Oktober baru-baru ini.
Jony Deng selaku Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura berkata, “Sebagaimana drama-drama bersiri keluaran iQIYI yang terdahulu, saya berharap agar drama ini turut mendapat sambutan daripada penonton dan menjadikan ia sebagai pengajaran kepada masyarakat Malaysia. Saya juga berharap agar penonton dapat berhibur dengan jalan ceritanya yang asli, barisan pelakon handalan dan pengajaran tentang hukum agama yang dapat dijadikan iktibar.”
Jangan lupa temujanji bersama drama 'Senyawa' bermula pada 25 Oktober 2024, jam 9 malam (setiap Jumaat & Sabtu) yang menjanjikan sebuah pengalaman menarik dengan aspek kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan. Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store di peranti digital anda sekarang, taipkan SENYAWA, kemudian klik ‘Pesan’ untuk menerima peringatan awal, dan tonton!