oleh: zizi hashim
Tidak hanya sekadar berkolaborasi, 'Berbagi Hati' adalah pertemuan 2 suara, 2 perspektif dan 2 perjalanan merangkumi satu melodi di antara Khai Bahar dan Wany Hasrita apabila membuat kejutan dengan single terkini yang terpilih menjadi runut bunyi drama "Berbagi Suami". Dari segi konsep, lagu ini menampakkan kematangan kedua-dua artis yang telah lama berkecimpung dalam industri muzik. Sejak kemunculan mereka sekitar tahun 2016, Khai dan Wany telah membina identiti muzik tersendiri, dan kolaborasi kali ini memperlihatkan kemahiran mereka dalam menyatukan suara.
Komposer berpengalaman Amylea, yang turut terlibat dalam penghasilan lagu, telah memberi sentuhan profesional dalam susunatur muzik. 'Berbagi Hati' merupakan wahana untuk menceritakan kisah drama "Berbagi Suami" menerusi medium muzik serta naratif yang menyelami kompleksiti hubungan manusia. Dari segi teknikal pula, gabungan suara Khai yang bertenaga dengan Wany yang lembut berjaya menghasilkan satu perpaduan vokal yang menarik. Refleksi dinamika hubungan baik persahabatan rakan artis sebumbung Sony Music mencetus kemistri terbaik. Sony Music sekali lagi menunjukkan keupayaan mereka dalam membangunkan bakat tempatan, memberi platform kepada artis muda untuk terus berkembang.
Khai, pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35, dan Wany yang kini bergerak solo, membawa kematangan tersendiri. Setiap potongan ayat yang dilagukan terasa seperti autobiografi 2 insan yang berkongsi perjalanan muzik yang sama. “Ini merupakan kali kedua saya bergandingan dengan Wany Hasrita secara ‘rasmi’ dalam sebuah single. Sebelum ini pun, saya sering berduet dengan Wany dalam pelbagai acara pentas sama ada di Malaysia mahupun Singapura.” kongsi Khai.
Menurut Wany pula, pelawaan dari pihak Sony Music Malaysia untuk berduet bersama Khai merupakan sebuah penghargaan besar. “Sejujurnya saya sangat berterima kasih buat Sony Music kerana sudi bekerjasama dengan saya untuk menghasilkan single ini. Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk menyanyikan karya ciptaan insan-insan hebat, ditambah pula dapat berkolaborasi dengan rakan seni yang mempunyai nama besar seperti Khai Bahar dalam industri muzik kita. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kami ‘berbagi hati’ di tahun 2024 ini."
Hadir sebagai kisah emosi yang terpatri dalam melodi balada, 'Berbagi Hati' mengajak pendengar meneroka kompleksiti percintaan melalui penyampaian vokal Khai Bahar dan Wany Hasrita. Lagu ini mengutarakan perjalanan pasangan yang dibentuk oleh kenangan silam, namun masih bertekad mencari kebahagiaan baharu. Setiap nota bagaikan cerita tersembunyi: pergolakan antara masa lalu dan harapan yang ingin dibina semula.
Kekuatan kolaborasi Khai dan Wany terserlah dalam keserasian suara dan kedalaman interpretasi mereka, menjelmakan persoalan: Bolehkah cinta dibina semula selepas kecundang? Amylea sebagai kompser berjaya menggarap tema sensitif ini dalam balutan muzik yang lembut namun mencabar. Setiap senikata lagu mempersoalkan hadirnya harapan dalam hubungan yang kompleks. Sebagai runut bunyi drama 'Berbagi Suami', lagu ini membawa naratif yang merentasi medium muzik dan televisyen.
Kini lagu 'Berbagi Hati' sudah berada di kesemua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox dan Spotify. Manakala video muzik single ini telah dilancarkan pada tarikh 29 November 2024 secara eksklusif di YouTube sonymusicMYVEVO.