Runut Bunyi 'Jika Takdir' Mutakhir Dari Marsha Milan

oleh: zizi hashim

Terbukti masih berbisa dengan cenderahati mutakhir 'Jika Takdir', sekali lagi penyanyi dan pelakon popular Marsha Milan berkolaborasi bersama Alternate Records dan Sony Music Entertainment Malaysia. Menggabungkan kekuatan dan pengalaman 2 nama besar dalam industri muzik, maka terhasillah sebuah lagu yang begitu mennyerlah daya tarik kreativitinya. Lagu yang terpilih menjadi runut bunyi (OST) bagi drama 'Mentua' yang bakal ditayangkan di slot Lestary TV3 ini memberikan pengalaman muzik yang mendalam dan turut meninggalkan impak kuat kepada para pendengar.

Seringkali digelar ratu OST (original sountrack), Marsha Milan menerima jolokan tersebut dengan senang hati, malahan merasa selesa kerana yang penting baginya ialah penerimaan pendengar dan kesetiaan mereka menanti karya-karya terbaru darinya pada masa mendatang. "Saya tak kisah kerana melihat dari sudut positif, gelaran itu hanya sekadar nama. Orang akan ingat saya setiapkali mendengar runut bunyi. Saya sangat menghargai sokongan serta kepercayaan yang diberi oleh Alternate Records dan Sony Music Entertainment Malaysia kerana terus pro-aktif menyediakan lagu-lagu yang memberi inspirasi dan menyentuh hati orang ramai.”

Berbesar hati dan bangga ditawarkan menyumbang suara sekali lagi untuk lagu tema TV iaitu drama 'Mentua', Marsha berkata, "Saya sudah menyanyikan beberapa lagu OST sebelum ini, dan memang benar bahawa lagu-lagu tersebut berjaya menangkap intipati emosi lirik dengan sempurna. Pada pertama kali saya mendengar melodi 'Jika Takdir', saya terus jatuh cinta dengan keindahan melodi lagu itu. Ia terus menangkap hati saya serta-merta. Saya suka dan pantas bersetuju untuk berkolaborasi kerana balada sedih ini sangat istimewa. Dengan keindahan lirik dan melodi yang memiliki 'jiwa', saya pasti ia akan menyentuh hati pendengar sama seperti ia menyentu hati saya sendiri.”

Single Marsha yang terdahulu berjudul "Hening Rindu" juga terpilih menjadi runut bunyi bagi drama 'Aku Bukan Ustazah" yang telah mencatat sehingga 758 ribu tontonan di YouTube sekaligus menjadikan lagu tersebut trending di YouTube Music pada tangga ke-25. Sehingga kini telah mendapat lebih 100 juta tontonan diaplikasi TikTok.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu ‘Jika Takdir’ nyanyian Marsha Milan yang telah mula berkumandang di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman dalam talian seperti Spotify dan YouTube Music. Nantikan juga drama ‘Mentua’ yang akan mula bersiaran pada 24 Ogos 2024, setiap hari Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam di TV3 dan strim juga melalui Tonton di www.tonton.com.my muatturun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.