Konsert Penuh Jiwa 'Aku Stacy Menggegar Kota U' Bakal Gegar Kota Kinabalu 21 Jun 2025

oleh: zizi hashim

Langit senja yang indah di pinggir laut Sabah menjadi saksi kepada detik bersejarah buat anak jati negeri itu, Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, yang secara rasmi mengumumkan konsert solo mega pertamanya di tanah kelahiran. Bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), sidang media eksklusif yang berlangsung pada 10 April 2025 membuka tirai kepada sebuah perjalanan penuh makna dalam hidup seni Stacy.

Acara yang bermula jam 3 petang itu menjadi lebih bermakna apabila Stacy muncul dalam persalinan putih berseri, membawa semangat yang tulus dan penuh cinta buat Sabah. Dalam suasana santai berlatarkan lautan dan mentari terbenam, Stacy menyanyikan 3 lagu secara akustik iaitu “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat” di kawasan terbuka SICC yang berlatarbelakangkan laut dan matahari terbenam, menjadikan momen ini antara paling magis dan peribadi buat semua yang hadir.

Sebuah Konsert, Sebuah Penghormatan
Lebih daripada sekadar persembahan, konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” yang bakal berlangsung pada 21 Jun 2025 nanti adalah surat cinta Stacy kepada Sabah. Setiap elemen dalam konsert ini – dari rekaan pentas, koreografi, susunan muzik hinggalah pemilihan penari – ditentukan sendiri oleh Stacy. “Saya bukan nak buat konsert sekadar nak menghibur, tapi saya nak cipta satu kenangan yang orang Sabah akan ingat sampai bila-bila. Saya gabungkan tenaga kreatif dari seluruh negara – Semenanjung dan Sabah – supaya semangat konsert ini kekal tulen dan meriah,” ujar Stacy penuh semangat.

Akim & Stacy – Cinta di Pentas
Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa ialah kemunculan pasangan romantis yang amat disayangi ramai – Stacy dan Akim Ahmad – dalam sebuah segmen duet eksklusif. Hubungan mereka bukan sahaja mewarnai dunia hiburan Malaysia, tetapi juga menghidupkan pentas dengan keserasian dan cinta yang terpancar secara semula jadi. Akim, yang turut hadir di sidang media, sempat bergurau tentang cuaca yang baik pada hari tersebut. “Alhamdulillah, cuaca sangat menyebelahi kita hari ini. Kami memang bimbang kalau hujan turun sebab sidang media ni kat luar. Tapi nampaknya langit Sabah pun restu konsert ini,” katanya sambil tersenyum.

Dibesarkan di Sabah, Kini Kembali
Dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan khas oleh U Mobile, konsert ini bukan sekadar hiburan — ia adalah ruang untuk Stacy menyampaikan rasa terima kasih kepada negeri yang membesarkannya. Dengan penuh rendah hati, Stacy berkongsi betapa sokongan U Mobile menjadi kunci untuk menjadikan impian ini realiti. “Ini projek paling personal saya setakat ini. U Mobile beri saya peluang untuk cipta sesuatu yang saya percaya, dari hati saya untuk Sabah,” jelas Stacy.

Kisah Muzik Stacy, Dari “Aku Stacy” ke “Menyala”
Konsert ini turut membawa penonton menyelami semula perjalanan muzik Stacy yang telah lebih satu dekad mencorakkan industri tanah air. Setiap lagu yang bakal dipersembahkan mempunyai kisah tersendiri – dari lagu ikonik “Aku Stacy” hingga ke “Menyala”, penonton akan dihidangkan dengan susunan muzik segar dan pentas berkonsep antarabangsa. “Saya nak orang rasa apa yang saya rasa bila saya menyanyi. Saya nak mereka balik dengan hati yang gembira, berinspirasi, dan lebih sayang pada muzik tempatan,” tambah Stacy penuh harapan.

Tiket & Kategori
Tiket konsert sudah mula dijual sejak 10 April lalu dan boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com. Berikut adalah kategori tiket:

  • Not For Sale (Seating) – RM6,000
  • Aku Stacy (Seating) – RM399
  • Pelangi Senja (Free Standing) – RM257
  • Gilalah (Free Standing) – RM197
  • Jahat (Free Standing) – RM137

Para peminat boleh mengikuti perkembangan konsert ini melalui media sosial rasmi Stacy dan U Mobile untuk mendapatkan konten-konten eksklusif di belakang tabir serta kejutan-kejutan istimewa menjelang hari konsert.

Konsert ini bukan sekadar muzik, ia adalah momen penyatuan, penghargaan, dan semangat pulang ke akar. Pada 21 Jun nanti, SICC bakal menyaksikan satu malam yang akan dikenang, bukan hanya oleh Stacy, tetapi seluruh warga Sabah yang bangga akan pencapaiannya.