Mira Filzah Sebagai Elina Selami Dilema Seorang Isteri Dalam 'Curang Tanpa Niat'

oleh: zizi hashim

Astro Ria membuka tirai 2025 dengan drama legit yang mengusik emosi dan menggegarkan sanubari penonton. 'Curang Tanpa Niat' (The Office Wife) hadir dengan 32 episod yang menjanjikan perjalanan emosi mendalam, menggabungkan power trio Shukri Yahaya, Mira Filzah dan Sharifah Sakinah di bawah arahan teliti Eyra Rahman. Mula disiarkan pada 23 Disember 2024 yang lalu, drama ini diproduksikan oleh I Fabulous Art Media & Event Sdn. Bhd.

Dalam drama ini, Mira Filzah menghidupkan watak Elina, seorang wanita yang percaya pada kesucian cinta sejati. Dengan penuh kehalusan, Mira membawakan karektor seorang isteri dan ibu yang sanggup mengorbankan kerjaya profesional demi keluarga. Watak Elina digarap dengan teliti, dari penampilannya yang sederhana hingga ke rutin hariannya yang sentiasa tergesa-gesa, energi mak-mak yang sangat relatable, mencerminkan realiti kehidupan seorang ibu di zaman moden.

“Watak Mira sebagai Elina ini merupakan seorang wanita yang sangat simple dan suri rumahtangga sepenuh masa. Elina seorang yang relaks dan tidak bersiap. Elina memang diberikan ‘look’ mak-mak yang sentiasa rushing. Dalam pada masa yang sama ada cerita yang melibatkan suami Elina, kena tonton untuk tahu penceritaan selanjutnya.” ujar Mira Filzah yang merasakan drama ini datang tepat dengan kesuaian masanya.

Bercakap mengenai isu curang, Mira tidak berani memberikan komentar. “Dengar tajuk drama ini pun sudah menakutkan. Boleh ke curang dilakukan tanpa niat? Secara umumnya, saya tidak pernah berada dalam kedudukan atau situasi itu tetapi perkara ini melibatkan dua belah pihak. Takutlah nak komen.” ujarnya lagi. Persoalan ini menjadi teras kepada drama yang meneroka kompleksiti perhubungan manusia. 

'Curang Tanpa Niat' mengisahkan perkahwinan Eshaal dan Elina yang mula bergoncang apabila Astrid muncul dalam kehidupan mereka. Hubungan yang bermula sebagai 'suami pejabat' berkembang menjadi pengkhianatan yang mengubah kehidupan semua pihak. Apabila rahsia Astrid terbongkar, Eshaal kembali memohon pengampunan, tetapi hati yang telah terluka sukar untuk sembuh sepenuhnya. Mira Filzah menghidupkan watak Elina dengan penuh penghayatan. Setiap adegan membawa penonton merasai pergolakan emosi seorang isteri yang berhadapan dengan pembohongan dan betrayal. Dari ekspresi wajah hingga ke bahasa tubuh, Mira berjaya menggambarkan perjalanan Elina dari rasa sakit dikhianati ke perjuangan untuk tetap kuat dan tabah.

Drama ini turut diserikan dengan kehadiran pelakon-pelakon hebat seperti Hasnul Rahmat, Fadhlan Hazim, Nafiez Zaidi, Zarina Anjoulie, Fauzi Nawawi, Shiela Mambo, Kaza Saisi, Evertt Gomes (Hero Remaja 2024) dan Aqza Aziz (Dewi Remaja 2024). Setiap watak membawa dimensi tersendiri kepada penceritaan yang kompleks ini.

Ditulis oleh penulis terkenal Indonesia, Oka Aurora yang telah menghasilkan karya-karya hebat seperti "Layangan Putus", "Ipar Adalah Maut" dan "Layang-Layang Perkahwinan". Di bawah arahan pengarah award-winning Eyra Rahman, drama ini juga merupakan gandingan pertama antara 3 pelakon utamanya. Bagi peminat Mira Filzah, drama ini menandakan kemunculan semulanya di slot megadrama selepas sekian lama. Penampilan ini membuktikan kematangan lakonannya dalam membawakan watak yang mencabar.

Drama ini meneroka tema-tema universal yang relevan dengan masyarakat moden:

  • Pengorbanan seorang isteri yang sanggup mengetepikan kerjaya
  • Dilema antara tanggungjawab dan impian peribadi
  • Kepercayaan dan pengkhianatan dalam perkahwinan
  • Kekuatan untuk memaafkan dan memberi peluang kedua
  • Cabaran membina semula kepercayaan yang telah hancur

'Curang Tanpa Niat' bukan sekadar drama biasa, ia adalah cerminan realiti masyarakat moden. Setiap episod membawa penonton meneroka persoalan moral dan etika dalam perhubungan, sambil mengingatkan kita tentang kerapuhan hubungan manusia. Drama yang mengajar kita tentang erti pengorbanan, pengampunan, dan kekuatan untuk bangkit semula. 

Saksikan di Astro Ria setiap hari jam 10 malam, kisah yang akan mengubah perspektif anda tentang perhubungan dan pengkhianatan.