oleh: zizi hashim
Ke tepi, ke tepi, katanya kerana apa? Kerana kumpulan muzik gergasi KRU sudah kembali. Tidak ada di antara rakyat Malaysia yang tidak mengenali mereka. Dengan irama yang menakluk takhta, KRU tersenarai sebagai salah satu kumpulan muzik tempatan yang berjaya mengubah revolusi dunia muzik serantau. Dianggotai 3 adik-beradik ini pernah mencipta pelbagai fenomena sepanjang mereka berkarya di Malaysia dan luar negara. Mereka membina empayar tersendiri, tidak gentar dengan misi walaupun kontroversi dan laungan irama seni KRU takkan pernah mati. Terus bergema agresif dan efektif, KRU kembali berdentum rancak dan mahu semua merasakan kuasa tenaga muzik sebenar.
Dengan kombinasi muzik pop, hip-hop dan R&B, KRU yang ditubuhkan pada tahun 1992 bukan sahaja mencatat kejayaan dalam bidang muzik tetapi juga dalam produksi filem dan perniagaan media. Mereka cukup dikenali dengan catatan jualan album-album yang laris seperti "Generasi" dan "KRU" serta lagu-lagu popular seperti "Awas", "Ooh! La! La!", "Fanatik", "Terhangat Di Pasaran" dan banyak lagi. Kini, KRU merupakan salah satu nama terkemuka dalam industri muzik tempatan. Fenomena 3 beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim membentuk KRU dan telah mencipta pelbagai lagu hits yang menjadi ikonik di kalangan peminat. Mereka juga telah melahirkan ramai bakat-bakat baru yang bernaung di bawah syarikat mereka selain menghasilkan pelbagai lagu untuk ramai penyanyi serantau.
Setelah lebih dari 30 tahun berkecimpung di industri muzik tempatan, kini KRU kembali membuat kejutan saat mengumumkan kolaborasi bersama syarikat gergasi muzik dan rakaman dunia, Sony Music
Entertainment Malaysia. Kolaborasi pertembungan 2 gergasi ini merupakan inisiatif dari Sony Music Malaysia sendiri yang percaya akan kehebatan, komitmen dan kualiti kerja trio KRU yang telah bertahan lebih dari 30 tahun. Apatah lagi reputasi terbaik KRU yang telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, menjadikan mereka salah satu kumpulan yang paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia.
Secara tidak langsung, pengumuman ini juga menginformasikan kepada para peminat muzik Melayu serantau bahawa KRU kini bakal kembali dengan beberapa kejutan terbaru yang diiringi sokongan serta usahama dari Sony Music Malaysia. Kedua-dua pihak yakin bahawa kerjasama ini akan membuahkan pelbagai produk hiburan yang hebat dan luar biasa. Dengan komitmen terhadap inovasi dan kualiti, KRU juga berjanji untuk terus berusaha demi mencipta karya yang relevan dan menghiburkan.
Meski pernah mengumumkan pembubaran pada tahun 2018, selepas 7 tahun berlalu, trio ‘gergasi’ ini sudah bangun daripada lena yang panjang, mengumumkan persediaan untuk kembali menggegarkan industri muzik dengan album terbaru berjudul ‘Kaset’. Menyifatkan pembubaran itu disebabkan kesibukan komitmen masing-masing, KRU sebenarnya tidak pernah hilang dari persada muzik tanahair. Apabila pihak Sony Music menyuarakan hasrat untuk berkolaborasi dan menghasilkan sesuatu untuk peminat, KRU mengambil masa untuk berbincang sebelum setuju untuk kembali aktif.
"Kami rindukan perjalanan dan pengalaman untuk hasilkan sesuatu untuk peminat. Kemunculan semula ini bukan kerana wang atau mahu membuktikan apa-apa. Kami hanya mahu buat perkara yang kami suka tanpa menghampakan peminat. Tiada apa yang kami risaukan.” kata Edry ketika ditemui pada sidang media dan Majlis Menandatangani Kerjasama Sony Music dan KRU yang bertempat di Aloft Hotel pada 10 Oktober 2024 baru-baru ini. Sekembalinya KRU kali ini membawa hala tuju muzik dan kelainan berdasarkan pada formula signatur yang tidak ada pada kumpulan lain. "Jika anda pasang lagu kami, anda tahu ia milik KRU."
Menjanjikan album yang lebih baik dengan bunyi yang lebih matang dari album-album terdahulu, bakal terhidu pengaruh R&B dan Hip Hop daripada Norman, juga Pop daripada Yusry, KRU tidak menolak akan menari jika itu dapat mengembalikan nostalgia. Namun mereka tidak akan menari sepanjang masa kerana perlu menjaga nyanyian, pernafasan dan stamina di sepanjang persembahan. "Apa yang pasti, kami tidak hanya duduk di atas pentas dan menyanyi dengan iringan band sahaja kerana itu bukan KRU." ujar Yusry pula. "Seperkara lagi, kami tidak mengejar sesuatu yang viral, kami hanya mahu menghasilkan karya yang tulus. Andai diterima, alhamdulillah. Sekiranya tidak, kami hasilkan lagu lain pula."
Norman mengakui rindu untuk bersama adik-beradiknya seperti dulu dan bagi menambah keterujaan peminat, Norman memberitahu KRU bakal mengeluarkan single serta album dan bercadang mahu mengadakan beberapa siri konsert jelajah buat para peminat setia mereka. Kemunculan semula ini dibuat bagi mengubat rindu para peminat yang ternanti-nantikan karya mereka sejak era 1990-an. KRU juga akan mengekalkan elemen muzik yang dibawa semasa era kegemilangan mereka satu ketika dahulu. Namun, akan tetap menyelitkan elemen muzik yang sesuai dengan masa kini bagi menarik perhatian peminat baru, terutamanya golongan muda. Nantikan aneka perkembangan terbaru KRU yang bakal diumumkan tidak lama lagi.