'Inilah Kita' Edisi Lagu Merdeka Dari Bintang Rocketfuel

oleh: zizi hashim

Hasil kolaborasi artis pelbagai bangsa, lahirlah sebuah lagu bertemakan patriotisme yang dilancarkan oleh Rocketfuel Entertainment dalam bentuk single terbaru berjudul "Inilah Kita". Bersempena hari kemerdekaan yang bakal menjelang 31 Ogos ini, artis-artis yang terlibat menjayakan rakaman lagu ini berasa sangat berbesar hati dapat bergabung suara dalam menyampaikan mesej kuat tentang kesedaran untuk bersatu-padu sebagai rakyat Malaysia dan terus berbangga dengan identiti negara kita. Lagu  berdurasi 3 minit ini kombinasi ciptaan komposer berbakat dan hebat iaitu komposer Shazee Ishak, Audi dan Balan Kash Mok telah dinyanyikan bersama oleh Hael Husaini, Wani Kayrie, Balan Kash, Daniel Fong, Roshini Balachandra dan Joey Leong.

"Lagu Inilah Kita adalah simbolik kepada keindahan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan agama namun tetap mengekalkan semangat bersatu-padu dibawah satu bendera." kata Wee Sher Leen, Ketua Rocketfuel Entertainment. "Harapan kami melalui melodi dan senikata lagu ini dapat menyentuh hati dan menggerakkan jiwa setiap rakyat Malaysia untuk terus konsisten mengekalkan perpaduan dan terus berbangga menjadi sebuah negara yang merdeka 67 tahun lamanya."

"Bukan sahaja sesuai bersempena sambutan Hari Kemerdekaan yang mendatang ini, namun lagu ini sekaligus turut memberi penghormatan kepada Hari Malaysia. Lagu ini mengingatkan kita bahawa semangat kebersamaan inilah yang menjadikan Malaysia unik dan istimewa." tambahnya lagi. "Dan semoga lagu ini sentiasa mencipta peringatan kepada kita semua bahawa Inilah Malaysia, Inilah Kita."

Mendalami senikata lagu mengiringi melodi indah yang memupuk semangat cintakan negara mewujudkan getar terharu pada laungan kita bina, kita impi, kita sabar, kita teguh dan kita bergerak serentak. Dalam degupan megah bersama, seharusnya kita bersyukur telah 67 tahun bebas dari cengkaman penjajah. Nilai murni yang dijiwai dalam lagu ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan generasi berhemah tinggi.

Justeru, Rocketfuel Entertainment berharap 'Inilah Kita' akan menjadi lagu kebanggaan rakyat Malaysia, khususnya ketika sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Bersama kita hayati erti sebenar perit mencapai kemerdekaan dengan berusaha mengekalkan kebebasan yang dikecapi sekian lama ini. 'Inilah Kita' boleh distrim secara langsung di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music. Juga boleh digunakan bagi menghasilkan konten pada video di Tiktok dan Instagram Reels.

Turut dilancarkan pada 18 Ogos 2024 ialah sebuah video muzik eksklusif yang telah ditayangkan secara perdana di program Gimme The Mic Malaysia di Astro Ria saluran 104. Jom kita raikan bersama-sama Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dengan semangat perpaduan dan tanda cinta kita kepada negara tercinta, Malaysia. 'Inilah Kita' - satu bangsa, satu negara, satu hati.