Hael Husaini Ukir Sejarah, Angkat Martabat Muzik Malaysia Di Pentas Global

oleh: zizi hashim

Baru-baru ini, Hael Husaini telah mencatat sejarah gemilang dengan penyertaannya dalam 2 pentas berprestij iaitu 29th Asian Television Awards di Jakarta, Indonesia pada 29 dan 30 November 2024, kemudian Asian Academy Creative Awards 2024 (AACA 24) yang berlangsung di Singapura pada 4 Disember 2024. Kedua-dua platform ini merupakan pentas di mana bakat sejati dinilai dan diiktiraf. Satu pencapaian yang sangat membanggakan, Hael Husaini, penyanyi berbakat besar di bawah label Rocketfuel Entertainment, telah mengukir sejarah cemerlang dalam industri muzik Asia Pasifik. Melalui kemenangan spektakulernya di Asian Academy Creative Awards 2024 (AACA 24) yang diadakan di Singapura, Hael berjaya mengangkat martabat muzik Malaysia ke pentas global.

Kemenangan membanggakan itu adalah dalam kategori "Best Theme Song", menerusi lagu "Diam" yang merupakan tema muzik untuk drama Astro bertajuk "My Famous Ex-Boyfriend". Pencapaian ini amat signifikan kerana Hael berjaya menewaskan pesaing kukuh dari Jepun, iaitu lagu "Nothing's Impossible" yang dihasilkan untuk drama Netflix bertajuk "The Imaginary". Lagu "Diam" yang merupakan sebahagian daripada album debut Hael bertajuk "Antonim Part Ⅰ", telah berjaya menembus hati penonton dan juri profesional. Kemampuan Hael menghasilkan karya muzik yang mempunyai kedalaman emosi dan naratif kompleks telah mengangkat lagu tersebut ke tahap antarabangsa.

Dalam satu kenyataan penuh emosi, Hael meluahkan rasa syukur dan rasa terkejut dengan kemenangan ini. "Saya tidak menyangka 'Diam' akan menerima pengiktirafan sedemikian. Kemenangan ini adalah hasil usaha keras bersama Iqie Hugh dan didedikasikan kepada seluruh pasukan, pengurusan Rocketfuel, serta peminat yang tidak jemu memberikan sokongan." katanya terharu. Pencapaian ini bukan sekadar satu anugerah, malah ia merupakan bukti kukuh bahawa muzik Malaysia mempunyai potensi untuk bersaing di pentas global. Hael, yang telah pun memenangi pelbagai anugerah tempatan termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL), kini telah mengukuhkan kredibiliti sebagai penulis lagu bertaraf antarabangsa.

Lebih bermakna, kejayaan Hael ini akan menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam industri kreatif. Ia menunjukkan bahawa dengan bakat, dedikasi, dan keyakinan, seniman Malaysia mampu menembus sempadan antarabangsa dan diiktiraf di pentas global. Kemenangan di Asian Academy Creative Awards 2024 ini secara simbolik merungkai had dan memberikan perspektif baharu tentang potensi muzik Malaysia. Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi Hael Husaini, malah satu tonggak kejayaan untuk industri kreatif negara. Syabas Hael!