oleh: zizi hashim
"Cerita ini lahir dari pengalaman peribadi saya sendiri dan juga tangisan mereka yang pernah terpedaya. Saya ingin berkongsi realiti pahit dunia jenayah 'scam' ini," ujar Dato' Afdlin Shauki, yang bukan sahaja mengarah tetapi juga mencetuskan idea asal 'Din Tiger', sambil berkongsi pengalamannya sendiri sebagai mangsa penipuan. "Ketelitian dalam membentuk kisah ini disokong oleh pengalaman bekas anggota polis yang mendedahkan selok-belok operasi penipu dengan terperinci," jelas Afdlin lagi. "Setiap kata yang keluar dari mulut penipu dalam drama ini adalah berdasarkan dialog sebenar yang didokumentasikan oleh pihak polis - membuatkan setiap babak penipuan telefon terasa begitu realistik dan menggerunkan."
Din Tiger mengangkat kisah gelap dunia penipuan siber melalui lensa yang unik, menerusi mata seorang 'scammer' yang mahir, Din Tiger (Dato' Aaron Aziz). Drama thriller aksi arahan Dato' Afdlin Shauki ini membawa penonton menyelami realiti kejam operasi penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di Malaysia. Di sebalik kejayaannya sebagai pakar penipuan, Din Tiger menyimpan hasrat untuk berubah. Dia ingin meninggalkan kehidupan gelapnya demi membina masa depan yang lebih baik untuk anak dan isteri tercinta.
Usahanya bermula dengan membuka kedai gajet, satu langkah kecil ke arah kehidupan yang lebih jujur. Namun, perjalanan ke arah penebusan tidak semudah yang disangka. Konflik memuncak apabila Din terjerat dalam satu kes berat, pada masa yang sama terpaksa berhadapan dengan Boss Mario/Tan Sri Aliff (Dato' Afdlin Shauki) yang tidak rela melepaskan 'aset' berharganya begitu sahaja. Keadaan ini memaksa Din bergelut dengan pilihan sukar antara kehidupan baharu yang diimpikan dan bayang-bayang gelap masa lalunya.
Drama 8 episod ini terhasil dari gabungan pengalaman peribadi pengarahnya sendiri serta kisah-kisah mangsa penipuan yang lain. Untuk memastikan ketepatan dalam menggambarkan dunia penipuan siber, pihak produksi mendapat khidmat nasihat daripada 2 bekas pegawai polis bahagian jenayah komersil iaitu Tuan Rahmat Fitri Abdullah dan Tuan Kamal Affandi Hashim. Input mereka membantu memaparkan dengan terperinci bagaimana sindiket penipuan beroperasi dengan licik dan tersusun.
Gandingan pertama 2 nama besar industri, Dato' Aaron Aziz dan Dato' Afdlin Shauki menjanjikan persembahan yang memukau. Mereka disokong oleh barisan pelakon berkaliber seperti Josiah Hogan, Tony Eusoff, Datin Sri Nina Juren, Ako Mustapha, Mia Sara Shauki, dan Adam Corrie Lee, yang masing-masing membawa dimensi tersendiri kepada jalinan cerita yang kompleks ini.
"Kekuatan Din Tiger terletak pada kebijaksanaannya memanipulasi keadaan menggunakan kata-kata dan pemikiran strategik," kata Dato' Aaron Aziz tentang wataknya. "Bukan tumbukan atau tendangan yang menjadi senjata, tetapi kebijaksanaan memilih kata-kata dan keupayaan membaca situasi. Untuk membawakan watak sebegini, saya perlu menggali lebih dalam ke dalam aspek psikologi dan emosi, satu cabaran yang sangat berbeza dari watak-watak aksi yang pernah saya bawakan sebelum ini."
Dato' Aaron Aziz melihat 'Din Tiger' sebagai lambang transformasi industri drama tempatan. "Era digital telah membuka mata penonton kita kepada piawaian antarabangsa, terutamanya drama-drama Korea yang begitu halus mutu penceritaan dan produksinya. Cabaran ini bukan ancaman, tetapi peluang untuk kita membuktikan bahawa Malaysia juga mampu menghasilkan karya yang setanding. Kita tidak boleh lagi berkompromi dengan kualiti - ia adalah tanggungjawab kita untuk menghasilkan karya yang setanding dengan piawaian global." ujarnya lagi.
Lebih dari sekadar drama jenayah, 'Din Tiger' mengupas lapisan-lapisan kompleks psikologi manusia, bagaimana seseorang boleh terjebak dalam dunia penipuan, kesan traumatik terhadap mangsa, dan cabaran untuk memulakan kehidupan baharu. Drama ini juga menyentuh tema-tema universal seperti penebusan, ikatan keluarga, dan harga yang perlu dibayar untuk pilihan hidup seseorang. Hasil karya penulis skrip Norsyiella Annuar, Haris M.Nor, Amin Shakib, Lepat, dan Rahman Nayan ini menjanjikan kisah yang penuh dengan twist and turn yang akan mengekalkan ketegangan dari episod pertama hingga akhir. Setiap episod bukan sahaja menghiburkan tetapi turut memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penipuan siber yang semakin meruncing.
'Din Tiger' akan mula ditayangkan di DEGUP HD (Saluran 120) Unifi TV bermula 6 Januari 2025, setiap Isnin jam 11 malam. Penonton boleh menikmatinya secara percuma melalui aplikasi Unifi TV atau pilihan ulang tonton melalui "Catch Up". Drama ini merupakan satu lagi bukti komitmen Unifi TV dalam menghasilkan kandungan berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut membawa mesej penting kepada masyarakat.