KRU Lakar Sejarah Baru, Umum Tambah Konsert Hari Ke-3, 10 Mei 2025

oleh: zizi hashim

"3 Hari Konsert bagi meraikan 33 tahun KRU dalam industri." kata-kata Edry disahut tepukan gemuruh dan jerit sorai antusias yang sangat teruja.

Tahun 2025 bermula dengan pencapaian gemilang buat industri muzik tanah air apabila KRU (Kumpulan Rap Unggul) mencipta sejarah dengan penganjuran konsert arena 3 hari, satu penanda aras baharu untuk artis tempatan. Konsert GENKRU yang pada awalnya dirancang untuk 1 malam, kini berkembang menjadi 3 malam persembahan di Axiata Arena, membuktikan pengaruh besar trio legenda gergasi ini yang masih kukuh sejak penubuhannya pada 1992. 

Fenomena ini bermula dengan sambutan luar biasa terhadap jualan tiket konsert hari pertama yang dijadualkan pada 3 Mei 2025. Dalam masa hanya 1 jam, kesemua tiket telah habis dijual. Penganjuran hari ke-2 pada 4 Mei 2025 mendapat sambutan lebih menggalakkan apabila tiket habis dalam masa 45 minit sahaja. Permintaan yang masih membara dari peminat yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket mendorong penambahan satu lagi tarikh persembahan.

"Berdasarkan penilaian menyeluruh dan persetujuan mutlak daripada KRU, tarikh 10 MEI 2025 telah dipilih untuk pelaksanaan KONSERT GENKRU hari ke-3, melengkapi siri persembahan yang bermula dengan 2 konsert pada 3 dan 4 MEI 2025." jelas Iman Tang, Pengasas Icon Entertainment ketika ditemui pada sidang media pengumuman tambahan hari ke-3 bertempat di Mandarin Oriental Kuala Lumpur pada 3 Januari 2025 baru-baru ini.

"Keputusan untuk menganjurkan konsert hari ke-3 didorong oleh sambutan luar biasa dan permintaan tinggi daripada peminat yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket untuk dua hari pertama. Penambahan hari pada 10 MEI 2025 bukanlah keputusan yang berasaskan keuntungan semata-mata. Sebaliknya, ia mencerminkan komitmen KRU untuk memenuhi harapan peminat setia mereka. Pada masa yang sama, ini adalah bukti kukuh bahawa artis tempatan memiliki pengaruh besar dalam industri muzik kita. Kejayaan mengadakan konsert arena selama tiga malam bukan sahaja satu pencapaian untuk KRU, tetapi juga mengangkat martabat seluruh industri muzik tempatan." tambahnya dalam nada teruja.

Iman turut menjelaskan bahawa jarak antara konsert ke-2 dan ke-3 adalah pertimbangan yang diperlukan. "Terdapat pelbagai aspek teknikal yang perlu diambil kira, di samping komitmen KRU yang telah dirancang sebelum ini. Kenapa tarikh 10 MEI 2025 dipilih? Kerana ia adalah masa yang paling sesuai untuk semua pihak yang terlibat," ujar beliau. "Keputusan ini bukan bersifat oportunis tetapi refleksi kuasa industri muzik tempatan. Ini adalah bukti artis Malaysia mampu mencapai standard antarabangsa."

Konsert GENKRU menandakan kemunculan semula KRU di pentas konsert selepas hampir 6 tahun menjadi 'Bathroom Singer'. Konsert ini menjanjikan persembahan yang epik dengan set lengkap yang menampilkan hits legenda kumpulan ini sepanjang 3 dekad kerjaya mereka dalam industri. Penggunaan teknologi canggih dan produksi bertaraf antarabangsa dijanjikan akan memberikan pengalaman konsert yang tidak dilupakan.

Pemegang kad Maybank akan mendapat keistimewaan membeli tiket terlebih dahulu melalui pra-jualan eksklusif pada 7 Januari 2025, bermula jam 11 pagi. Jualan umum pula akan dibuka pada 8 Januari 2025, jam 3 petang. Semua tiket boleh dibeli melalui platform dalam talian di www.ticket2u.com.my/kru3.

Peminat yang berminat untuk menyaksikan konsert GENKRU dinasihatkan untuk bersedia lebih awal memandangkan corak jualan tiket untuk 2 tarikh pertama yang sangat pantas. Dengan tambahan hari ke-3 ini, lebih ramai peminat berpeluang untuk menyaksikan persembahan comeback KRU yang dinanti-nantikan.

Tiket konsert ditawarkan dalam 6 kategori dengan harga yang berpatutan:

  • reKRUed: RM258
  • Canggih: RM358
  • Relax: RM478
  • Kaset: RM508
  • KRUjaan: RM548
  • KRUnisme: RM588

OK, 'perang' bermula sekarang!