Dato’ Aishah Rekod Semula Lagu Melayu Klasik ‘Di Pinggir Kayangan’

oleh: zizi hashim 

Sila lah kau kenang, Kenangilah hamba… Kenangkan adinda, Kenangilah sayang… Bayang membayang… Kan ku hidangi segala santapan bersulam sulaman, yang enak dan nyaman sang buluh perindu… menghibur merdu…”

Terdahulu, lagu klasik melayu lama ciptaan komposer Raja Kobat berjudul ‘Di Pinggir Kayangan’ adalah dendangan merdu Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Lagu yang dipetik dari album “Takkan Melayu Hilang Di Dunia” ini dicipta pada tahun 1972, namun tidak ramai yang tahu tentang keindahan melodi lagu ini terutama sekali anak-anak muda generasi masakini. Merasakan perlu untuk memperkenalkan semula lagu-lagu lama supaya tidak lapuk ditelan zaman, Dato’ Aishah telah mengambil inisiatif untuk merekod semula lagu ‘Di Pinggir Kayangan’ yang diberi nafas baru demi menghargai karya-karya emas ini.

“Dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini, saya berasa teruja apabila Sony Music Malaysia bersetuju memberi peluang kepada saya untuk rekod semula lagu klasik ini dengan nafas baru dan cara nyanyian saya yang tersendiri. Bayangkan lagu ni dah berusia 52 tahun lamanya.” bicara Dato’ Aishah ketika ditemui pada 18 Julai 2024 sempena Majlis Pelancaran Single Terbaharu bertempat di Restoran Rebung Chef Ismail baru-baru ini. 

Tampil manis serba hitam, Dato’ Aishah berkata, “Sudah tentu saya sangat meminati suara Datuk Sharifah Aini yang lemak merdu. Saya pernah berpeluang berkongsi pentas bersamanya. Kami berbual mesra dan Allahyarham sempat memuji vokal saya mirip seperti Whitney Houston. Saya terkesima dan gementar mendengarnya. Allahyarham beritahu lagi lagu ‘Janji Manismu’ sangat sedap melodinya. Itulah keperibadian Allahyarham yang sangat baik dan sentiasa memberi sokongan kepada penyanyi lain.”

“Saya sudah lama pendam hasrat untuk rekod semula lagu ‘Di Pinggir Kayangan’ ini. Ada sentimental value tersendiri buat saya. Sebuah lagu cinta yang mempunyai melodi indah dan senikata yang kuat, terselit aura semangat positif dan ceria, serta lenggok kemelayuan yang sangat merdu.” Wajah yang tidak lekang senyuman ini menyambung lagi, “Dalam masa yang sama, saya mahu anak-anak muda sekarang mendengar lagu-lagu lama yang bagus dan berkualiti. Sayang jika dibiarkan tenggelam begitu saja.” 

Single nyanyian semula yang diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi dan kekuatan pada setiap pendengarnya, dipersembahkan dalam bentuk pesan nasihat, motivasi diri dan jauhi anxiety. Pastinya terdapat perbezaan ketara dari rakaman semula, bukan untuk membandingkan vokal siapa lebih hebat, nawaitu tulus adalah untuk memberi tribute hormat. Harus diakui Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Dato’ Aishah masing-masing memiliki level kredibiliti tinggi dan kemantapan vokal yang tiada terbanding.

Siapa tidak kenal Dato’ Aishah yang cukup dikenali dengan vokal luarbiasa, yang masih maintain sehingga hari ini. Pernah menggegarkan nama Malaysia dengan menembusi pasaran antarbangsa di zaman mudanya bersama kumpulan The Fan Club. Kekal relevan dalam industri, Dato’ Aishah sentiasa dedikasi dan menjaga kualiti dalam setiap persembahan-nya yang sofistikated, bersopan-santun dan berperibadi. 

“Akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah pasti suara saya juga tidak sama dengan suara penyanyi asal. Apatah lagi lagu ini saya rakam dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan yang asal. Dengan perbezaan yang puspawarna ini, ianya lebih memberi seri kepada industri.” ujar Dato’ Aishah lagi. Pada petang itu, Dato’ Aishah berbesar hati melantunkan 3 buah lagu, antaranya ialah “Janji Manismu” dan “Di Pinggir Kayangan.” 

“Harapan saya, semoga lagu-lagu klasik melayu lama seperti ‘Di Pinggir Kayangan’ ini akan mendapat tempat di hati para pendengar muda, dan juga yang lebih senior tentunya. Jangan lupakan lagu-lagu lama kerana di situlah letaknya inspirasi untuk merekacipta karya-karya lagu terbaru yang lebih maju.” bisik Dato’ Aishah menutup bicara. 

Kesempatan turut direbut oleh pihak Sony Music Malaysia untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Aishah di atas kejayaan pencapaian 17x Platinum dari hasil penjualan keseluruhan kombinasi album fizikal dan digital melalui lagu-lagu beliau yang pernah bernaung dibawah lembayung Sony Music Malaysia.

‘Di Pinggir Kayangan’ versi Dato’ Aishah dengan susunan baru oleh Mas Dewangga boleh dimuat turun di iTunes dan boleh dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan Youtube Music bermula pada tanggal 19 Julai 2024.