oleh: zizi hashim
“Kuala Lumpur mempunyai makna yang istimewa dan dekat di hati saya." ujar Sal Priadi berkongsi pengalaman berharga tentang kunjungan ke Kuala Lumpur setahun lalu. "Selepas mengadakan showcase album tahun lalu, saya teringin berkongsi pengalaman tersebut bersama peminat dalam bentuk skala konsert yang lebih besar. Justeru. ini adalah konsert kali pertama saya berskala besar di Malaysia dalam siri jelajah ‘Sal Priadi Zuzuzaza Tour 2024’ dan saya akan mempersembahkan lagu-lagu dari album kedua saya ‘Markers & Such Pens Flashdisks’ yang menceritakan tentang semangat kreativiti dan keyakinan untuk mencipta sesuatu yang bermakna.” katanya lagi penuh teruja.
Cukup dikenali dengan senikata lagu puitis dan melodi memikat hati, Sal Priadi direncanakan membawa penonton melalui sebuah perjalanan emosional yang memukau dalam sajian persembahan selama 2 jam dengan hampir 20 buah lagu yang dipetik dari kedua-dua album Sal Priadi. Para penonton juga akan turut disajikan dengan paparan audio visual kreatif yang direka khusus untuk menyerlahkan jalan cerita setiap lagu yang dinyanyikan oleh Sal Priadi lewat senikata lagunya yang diperakui lain dari yang lain. Pastinya ramai yang sudah tidak sabar dibuai emosi bersama Sal Priadi, kan?
Komposer berbakat besar asal dari Malang, Indonesia dengan nama sebenar Salmanto Ahrizky Priadi, bukan sahaja mencipta melodi malahan turut merupakan pelantun lagu popular 'Gala Bunga Matahari' ini lebih mesra dipanggil dengan nama samaran Sal Priadi, bakal menghiburkan fanatika kesayangannya di Malaysia pada 13 Oktober 2024 ini, bertempat di Zepp Kuala Lumpur bermula jam 8 malam. Kharisma Music bertindak sebagai penganjur konsert menyifatkan acara ini sebagai peluang luarbiasa bagi peminat untuk menyaksikan sendiri persembahan secara langsung dari salah seorang bintang muzik paling menonjol dalam industri muzik Indonesia.
Dikirim ke bumi untuk orang-orang unik yang meminati muzikaliti canggih seni pop alternatif bawaan seorang Sal Priadi, siapa yang tidak pernah dengan lagu viral "Dari Planet Lain" pastinya orang itu bukan asalnya dari planet bumi. Tidak sabar rasanya mahu berdansa samba bersama-sama Sal Priadi meski nanti tiada suara bongonya, semua peminat boleh ramai-ramai buat sendiri bunyi-bunyian yang akan dikarang sama-sama mengikut giliran pada malam konsert 13 Oktober nanti. Akan Sal Priadi usahakan setiap seorang peminat terhibur paling maksima meski tampak sederhana dari luar tapi kuat dan muat dengan nada-nada yang diracik begitu romantis penuh wangi-wangian. Mungkinkah kalian semua mampir 13 Oktober?
Menurut En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music ketika ditemui di sidang media eksklusif konsert Sal Priadi bertempat di Silverfox Cafe KL baru-baru ini, “Konsert ‘SAL PRIADI ZUZUZAZA LIVE IN KUALA LUMPUR’ merupakan inisiatif kami dalam menghadirkan hiburan ‘live’ buat peminat Sal yang ada di Malaysia dan seluruh rantau Asia. Kami teruja untuk membawa Sal ke Kuala Lumpur. Konsert ini akan menyediakan platform bagi Sal untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan peminatnya dan kami yakin ia akan menjadi malam yang penuh dengan keajaiban dan kenangan yang terindah." Tambahnya lagi, "Terima kasih buat syarikat penerbangan Citilink Indonesia kerana menaja penerbangan, termasuk rakan penaja lain Intan Gelombang dan Futurace, serta rakan radio rasmi, ERA bersama-sama rakan media rasmi, Gempak.com."
Peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket konsert ‘SAL PRIADI ZUZUZAZA LIVE IN KUALA LUMPUR’ dengan segera, kerana tempat adalah terhad. Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila lawati laman web www.ticket2u.com.my/sal-priadi
Harga-harga tiket adalah seperti berikut:
● Dari Planet Lain [VIP Standing] - RM258
● Gala Bunga Matahari [Standing] - RM158
● Amin Paling Serius [VIP Seated] - RM258
● Foto Kita Blur [Normal Seated] - RM188
● VVIP Box - RM4,000