Hasrat Amir Jahari 'Kembali' Terlaksana

oleh: zizi hashim

Memilih judul 'Kembali' sebagai mukadimah introduksi album ke-3, penyanyi yang juga sekaligus komposer lagu serta penulis lirik 'award winning' yang sentiasa membumi, Amir Jahari meneroka kepelbagaian genre dengan kombinasi sentuhan Pop-Rock-Folk yang banyak dipengaruhi nafas Nusantara. Cuba lari dari tema dalam album-album terdahulu, eksplorasi seni Amir kali ini dilihat cenderung mengangkat tema kemanusiaan serta kerohanian. 

Setelah beberapa kali berhadapan dengan penangguhan, akhirnya album ke-3 Amir Jahari ini berjaya dilahirkan. Dengan menampilkan total 15 buah lagu termasuk 12 buah lagu baru dan rakaman ulangan 3 lagu termasuk rakaman ulangan "Hasrat" lagu yang dinobatkan Juara Lagu ke-38, dengan susunan muzik yang lebih berhantu, diolah khas untuk malam bersejarah itu.

"Album 'Kembali' ini sangat istimewa bagi saya kerana terdapat pelbagai perasaan yang dirakam dan diraikan dalam album ini. Asalnya saya bercadang hanya menerbitkan 13 buah lagu sahaja, tetapi di saat akhir, saya menambah lagi 2 lagu khas untuk menghargai mereka yang menyokong karya-karya saya." ujar Amir Jahari ketika ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran Album 'Kembali' yang bertempat di Flint Cafe & Roastery pada 21 Ogos 2024 yang lalu.

Mendapat sentuhan magis dari beberapa orang produser serta komposer hebat termasuk AG Coco (Hujan), Amir mengharapkan 'Kembali' bakal menjadi satu titik permulaan yang baru untuk Amir dan seluruh pasukan muzikalnya untuk melangkah lebih jauh ke hadapan di dalam industri muzik yang penuh persaingan sengit. "Saya target nak buat 10 album, ini baru yang ke-3, doakan saya terus kekal konsisten dan relevan dalam industri seni tanahair." kata Amir.

Pemilik nama asal Mohamad Amirullah Jahari ini bertindak sepenuhnya ke atas album ini sebagai komposer lagu, penulis lirik dan produser album, menjalani proses rakaman di Kamar Seni Studio dengan bantuan jurutera bunyi Hanis Azman. Terdahulu Amir pernah muncul dengan album pertama berjudul "Bintang Jalanan" (2013) diikuti dengan album ke-2 berjudul "Siang Dan Malam" (2018). Evolusi muzik Amir dilihat berkembang setiap 5 tahun berikutnya, meski sentiasa cergas mencipta lagu demi lagu, namun fokus yang teliti harus diberi tumpuan demi menghasilkan yang berkualiti.

Seawal usia 21 tahun, talenta hebat kelahiran Kuching Sarawak ini tidak pernah berputus asa berusaha menempatkan diri dalam industri meski pelbagai onak duri ditempuhi. Pernah muncul dengan single "Ingga" yang diklasifikasikan unik kerana menjadikan bahasa melayu Sarawak sebagai senikata lagu sepenuhnya, sering diputarkan di semua radio arus perdana Malaysia dan telah menjadi lagu pilihan persembahan Amir ketika mewakili Malaysia di ABU TV Song Festival 2021.

Amir & Friends yang terdiri daripada Syahir (gitar), Haziq (bass) dan AKZ (dram) telah mempersembahkan 3 buah lagu secara akustik pada majlis pelancaran itu berjudul "Ingin Pulang", "Aku Rindu" dan "Belasungkawa". Tayangan khas video muzik "Kenangan" juga turut dimainkan pada petang itu, dengan konsep kreatif dan arahan penuh ekspresif yang mampu membuat mata berkaca. Saya secara peribadi sangat sukakan lagu "Aku Rindu" dan "Kenangan", dalam masa yang sama sangat mengkagumi mersik lunak suara Amir Jahari yang terdengar nyaman bak air yang mengalir tenang. Signatur Amir yang tidak ada pada mana-mana penyanyi lain, tidak perlu nada tinggi, begitu merdu menyapa mesra halwa telinga.

Antara lagu lain yang turut memberi kesan mendalam dengan hanya sekali dengar ialah "Sampai Ke Bulan" (lagu asal Faizul Sany, dicipta pada 2013), "Muka Depan", "Percayalah Padaku", "Dongak", "Baginda" feat AG Coco, "Cin-Ta", "Terima Kasih", "Aku Jalan Dulu" dan "Tanpamu Re-Imagine" feat Nana Sheme. Setiap senikata menceritakan tentang luahan rasa Amir pada kehidupan cekal yang dilaluinya dan ucapan terima kasih kepada setiap entiti yang sentiasa berada di belakangnya walau apa pun pilihan hidup seorang Amir Jahari.

'Kembali' merupakan kolaborasi usahasama antara Sekalo Music (syarikat milik Amir Jahari bersama isterinya, Kartini Sulaiman sejak 2018) dan Sony Music Entertainment, telah pun berada di semua platform penstriman sejak 16 Ogos 2024. Album yang telah terpendam sekian lama ini, menceritakan tentang hidup untuk memberi dan kembali kepada asal usul. Single terbaru "Kenangan" telahpun dikeluarkan terlebih dahulu pada 31 Mei 2024 di semua platform penstriman, manakala video muzik rasmi sudah boleh ditonton di YouTube sejak 21 Ogos jam 9 malam.