Basah Kelopak Mata Dari Awal Hingga Akhir Menonton Filem “A Mother’s Touch”

oleh: zizi hashim 

“Mama, kamu nampak sangat cantik hari ini.” Pujian Satoshi memunculkan sedikit rona merah di pipi sang ibu. Terharu bercampur sayu, ibu menguntum senyum manis mendengar kata-kata ikhlas si anak tadi sambil bergenang airmata. Saya pun turut tersenyum. Kelopak mata basah dari mula hingga akhir cerita. Airmata mengalir tanpa disedari dan tidak mahu berhenti. Saya turut merasakan kuat kasih sayang pada seorang anak yang begitu innocent, tulus dan tidak mengerti apa-apa pada usia 9 tahun telah terpaksa kehilangan pancaindera penglihatannya.

Berpeluang menonton filem Jepun “A Mother’s Touch” tepat pada sambutan hari ibu 12 Mei yang lalu begitu memberi kesan mendalam. Tayangan istimewa filem yang dibawakan khas oleh kolaborasi Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Media Prima dan Golden Screen Cinema merupakan salah satu inisiatif oleh ‘The Weekend Japanese Film Show’. Filem yang diadaptasi dari kisah benar, mengangkat tema realiti jerih-perih kehidupan, ketabahan dan kecekalan seorang Professor buta dan pekak pertama di dunia, Satoshi Fukushima bersama ibunya yang sentiasa setia disisi.

Secara peribadi, saya sendiri tidak dapat menahan airmata dan menangis teresak-esak pada kebanyakan babak. Meski jalan cerita agak perlahan tetapi sangat mendebarkan. Saya sentiasa menanti-nanti apalagi bakal terjadi dan apalagi yang termampu dilakukan sehabis baik oleh sang ibu. Wujudnya kemistri terjalin dengan momen senyap luarbiasa dalam komunikasi dua beranak yang menggunakan bahasa isyarat ‘braille’ spontan untuk berbicara. Kalau sudah namanya ibu, pasti akan melakukan apa saja demi anaknya. 

Sebenarnya filem yang simple, yang tak perlu banyak rempah ratusnya, tetapi begitu powerful sehingga mampu menggoncang emosi, sedar tak sedar airmata mengalir di pipi. Penemuan teknik berkomunikasi kaedah sentuhan ‘braille’ yang cipta ibunya tanpa sengaja memberi sinar harapan baru kepada Satoshi untuk terus kuat dalam menempuh cabaran hidup yang dihadapinya. Begitulah kuatnya bonding di antara ibu dan anak.

Bermula dengan hilang deria penglihatan pada usia 9 tahun, Satoshi tetap membesar sebagai seorang kanak-kanak ceria kerana kasih sayang sepenuh hati yang dicurahkan oleh ibunya, Reiko. Namun keadaan jadi lebih memilukan apabila Satoshi melangkah ke sekolah tinggi, rakan-rakan dan ahli keluarga menyedari bahawa deria pendengarannya juga mulai hilang perlahan-lahan pada usia 18 tahun. Ini benar-benar memberi pukulan hebat ke atas dirinya dan sering tertanya-tanya “Kenapa selalu aku?” 

Filem penuh dramatik arahan sutradara Junpei Matsumoto berjaya mengusik level emosi yang paling terdalam. Memberi tumpuan khusus pada sang ibu yang harus kekal kuat demi anak kesayangannya walaupun hampir putus asa dan menyalahkan diri sendiri kerana kegagalan mengubati ‘penyakit’ Satoshi. Filem yang ditayangkan secara perdana di negara asalnya Jepun pada November 2022 ini mendapat sambutan luarbiasa dan akhirnya ditayangkan di Malaysia 2 tahun kemudian.

Dengan keazaman yang tinggi, Reiko mencuba pelbagai cara memastikan supaya anaknya terus cekal dalam meneruskan kehidupan. Ketika Satoshi memuji kecantikan ibunya, pada saat itulah dia benar-benar memerhati buat kali terakhirnya dan menyimpan memori wajah ibu dalam kotak ingatan kerana selepas itu dia tidak dapat ‘melihat’nya lagi. Begitu juga ketika mendengar buat kali terakhir suara ibunya, saya tidak dapat menipu diri untuk tidak menangis teresak-esak, ikut bersimpati dengan situasi ‘kali terakhir’ itu. Sinematografi yang sangat cantik bernuansakan bunga sakura, pantai dengan angin menderu memfokuskan realiti yang harus kita syukuri. Spontan anak lelaki saya berbisik di telinga saya, “Mama, I love you.” apabila melihat airmata saya tidak berhenti mengalir.

Kisah benar yang sangat menyentuh hati ini begitu dekat di hati saya. Perjuangan Satoshi tentang ‘makna hidup’ dan alasan atas kewujudannya di dunia ini memberi mesej kuat sebagai ‘manusia’ dan hubungan mendalam kekeluargaan, persahabatan dan kasih sayang. Keberanian seorang ibu dan anak yang mengharungi kepayahan hidup satu demi satu. Sentuhan sejati seorang ibu tentunya membawa ke syurga. Tepuk tangan yang kuat buat filem hebat “A Mother’s Touch”.