Letupan Epik Berapi 'Blood Brothers: Bara Naga' Gegar Sinema Malaysia, Memang Next Level!

oleh: zizi hashim

Sejujurnya, ketika saya melangkah masuk ke pawagam, dengan berbekalkan ekspektasi yang sederhana, saya berulangkali memujuk hati sendiri, "Takkan lah biasa-biasa saja, ini filem Syafiq Yusof kot!". Sepertimana yang kita semua tahu, formula biasa filem aksi tempatan - gerakan yang kadang-kadang tampak janggal, plot yang boleh diteka, dan dialog yang kadangkala membuat mata berputar ke atas. Namun, apa yang saya saksikan selama durasi 2 jam 9 minit itu benar-benar mengubah persepsi saya secara total. Sungguh tak sangka saya akan 'tersedut masuk' sebegitu mendalam ke dalam naratif yang dihidangkan.

Saya masih boleh merasakan denyutan adrenalin ketika berakhirnya tayangan previu khas "Blood Brothers: Bara Naga" baru-baru ini. Filem aksi Malaysia terbaru arahan duo mantap Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof ini bukan sekadar hiburan penuh letupan, tetapi pengembaraan emosi yang mengejutkan saya dengan kedalaman naratifnya. Serius tak tipu, filem ini berada pada tahap yang jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan filem aksi tempatan! Dedikasi yang dicurahkan selama lengkap 2 tahun oleh pasukan produksi ini jelas terbukti dalam setiap bingkai filem.

Sebagai hasil kerjasama Skop Productions dengan Primeworks Studios selaku rakan pemasaran rasmi, "Blood Brothers: Bara Naga" menonjolkan diri sebagai karya PALING terbaik Skop Productions setakat ini. Saat menjadi salah seorang penonton di antara yang ramai pada tayangan perdana berlangsung di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada 7 April lalu, saya sedar bahawa industri perfileman Malaysia kini telah mencapai tahap kematangan baru. Dalam masa yang sama terbit rasa bangga dan meremang bulu roma! 

Cerita berpusat kepada Ariff (Syafiq Kyle) yang secara tiba-tiba dituduh mengkhianati majikannya, Dato Zul (pelakon veteran Wan Hanafi Su yang sentiasa konsisten) - seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merangkap sebagai ketua Mafia Naga. Untuk membersihkan namanya, Ariff terpaksa berpaling kepada abang kandungnya Jaki (Syazwan Zulkifly) yang sudah lama terpisah. Apa yang membuatkan kisah ini berbeza ialah kenyataan pahit bahawa dia kini diburu oleh sahabat karibnya sendiri yang dianggap seperti abang/darah daging sendiri, Ghaz (Sharnaaz Ahmad), yang merupakan ketua pasukan pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan Silent Guard.

Dimensi menarik di sini adalah konsep "Blood Brother" yang memperlihatkan Ariff dan Ghaz sebagai saudara angkat yang telah mengambil bai'ah setia kepada keluarga Mafia Naga. Konsep ini memberikan lapisan kompleksiti yang lebih mendalam kepada hubungan mereka - bukan sekadar rakan atau sahabat, tetapi ikatan persaudaraan yang diangkat sumpah. Ini menjadikan perbalahan dan pengkhianatan yang berlaku jauh lebih menusuk dan sangat terkesan di lubuk hati paling terdalam.

Sharnaaz Ahmad... dia adalah 'aset termahal' filem ini. Terpaling Bad Ass!!! Satu pilihan yang sangat tepat untuk filem ini, yang sememangnya ditulis khusus untuk seorang Sharnaaz Ahmad. Sering melihat dia memegang peranan romantik atau drama keluarga, tetapi sebagai Ghaz, dia membawa satu tahap intensiti yang saya belum pernah lihat sebelum ini, tetapi sudah nampak sejak dulu lagi ada dalam dirinya. Dan saya gembira akhirnya sisi itu terserlah! Ada satu babak konfrontasi antara Ghaz dan Ariff di sebuah gudang gelap yang masih terngiang-ngiang dalam fikiran saya - tahap ketegangan yang diciptakan hanya dengan pertukaran pandangan / sorotan mata antara kedua-dua pelakon ini benar-benar mencipta kagum. Sharnaaz sangat memukau dengan aura karisma yang kuat, secara auto mengikat penonton terpaku di kerusi tak bergerak dari awal hingga akhir. Saya sendiri bergelut menahan diri dari meninggalkan panggung semata-mata demi tidak mahu tertinggal walau satu babak sekalipun. Nuansa gelap dunia mafia yang dibawa Sharnaaz memang jarang dilihat dalam filem tempatan, dan ini memberikan dimensi baru kepada perjalanan kariernya. Gempak habis!

Syafiq Kyle... sangat over the top! Luar biasa! Dia memberikan lakonan paling terbaik dan cemerlang sepanjang kariernya, memainkan watak lelaki yang terperangkap dalam keadaan yang tidak diingininya dengan kepercayaan penuh. Penonton boleh merasakan konflik dalamannya, kesakitannya, dan tekadnya untuk membetulkan keadaan. Saya  sendiri mendapati diri saya menyokong perjalanannya dari permulaan hingga akhir, merasai setiap detik tegang dan cemas yang dialaminya. Kemistri antara Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly sebagai adik-beradik yang terpisah juga sangat meyakinkan, menghadirkan momen-momen yang emosional di tengah-tengah babak aksi yang mendebarkan. Satu lagi peranan yang penting dan bukan biasa-biasa. Eh, tapi kalau tanya saya semuanya penting dan tak boleh dipandang sebelah mata. Syazwan bawa elemen komedi yang sangat menjadi, saya terhibur dan suka pada karektor yang dibawakannya.

Barisan pelakon Gred A yang turut memberi 'nyawa' kepada 'Blood Brothers: Bara Naga' seperti Shukri Yahaya sebagai Fadlan, Amelia Henderson sebagai Sheila, Andy Teh sebagai Pablo, dan Irfan Zaini sebagai Malik turut memberikan prestasi yang solid, mengukuhkan lagi jalinan cerita yang kompleks. Saya perhatikan bagaimana setiap karektor dalam filem ini digarap dengan teliti, bukan sekadar watak sampingan untuk memenuhi ruang. Semuanya memberikan 300% dan tampak bermati-matian menjiwai tugasan yang diberikan sehinggakan semuanya tampak hidup dan realistik. Saya merasakan seperti sebuah kisah benar di mana ada satu dunia di luar pawagam, di luar sana, adanya watak-watak ini yang sedang memerhatikan kita dari jauh sedang menonton kisah tentang cerita hidup mereka. Sampai macam tu sekali!

Sepertimana saya kagum dengan kredibiliti Sharnaaz, saya tidak dapat nafikan kesemua pemilik nama bermula dari huruf 'S' ini mencipta fenomena sensasi dan sekaligus gemilang bagi membawa 'Blood Brothers: Bara Naga' ke satu level yang lebih tinggi. Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly dan Syafiq Yusof tentunya! Seperti kata anak saya, seorang antusias filem, "Come on lah Ma, Syafiq Yusof only makes BANGERS!" Dan sudah semestinya itu benar! Big Thumbs Up untuk Syafiq Yusof! Kalau pembaca semua boleh nampak sambil menulis reviu ini saya sedang berdiri bertepuk tangan paling gemuruh buat sang sutradara yang tidak pernah mengenal erti penat dalam menghasilkan mahakarya demi mahakarya terbaik untuk industri perfileman yang akan tenat sekiranya tidak ada nilai-nilai kualiti mengatasi kuantiti yang membanjiri pawagam.

Shukri Yahaya... paling tak sangka! Sangat menyerlah, hebatnya dia selama ini kenapa hanya diberi watak pecinta? Mujur cepat digilap sisi lain yang lebih mantap. Kami mahukan lebih lagi dari Shukri, please! Tidak boleh tidak saya wajib menyebut tentang aksi dalam filem ini. Defenderz Action Team telah melakukan kerja yang luar biasa. Koreografi pertarungan mereka bukan sahaja realistik tetapi juga dipersembahkan dengan stail yang tersendiri, memberikan identiti unik kepada setiap watak utama. Pertarungan tangan kosong di sebuah restoran yang saya tidak mahu spoil terlalu banyak, adalah antara babak aksi terbaik yang pernah saya saksikan dalam filem Malaysia. Ia kasar, raw dan penuh dengan ketegangan yang membuat jantung berdegup kencang. Setiap pukulan, tendangan, dan gerakan terasa begitu benar dan konsekuensinya nyata.

Sinematografi filem ini juga memukau. Lokasi-lokasi di sekitar Kuala Lumpur diberikan sentuhan yang gelap dan berbahaya, mencerminkan dunia bergelora yang didiami oleh watak-watak ini. Warna-warna neon dan bayangan yang tajam mencipta suasana noir moden yang memberikan filem ini identiti visual yang kuat. Ini memang betul-betul karya terbaik Skop Productions setakat ini - prestasi sinematografi dan visual yang betul-betul membuktikan bahawa industri filem Malaysia mampu mencipta karya bertaraf antarabangsa. Seperti yang Syafiq Yusof sendiri ungkapkan semasa sidang media, "Dua tahun penuh dedikasi telah kami curahkan untuk menghasilkan Blood Brothers: Bara Naga. Setiap peringkat, bermula daripada perancangan, penulisan, penggambaran, hingga pascaproduksi, menyaksikan usaha gigih daripada seluruh kru dan pelakon." Dedikasi ini jelas terpancar dalam setiap aspek filem, dari skrip yang tajam hingga ke suntingan akhir yang teliti.

Yang paling merangsangkan saya adalah bagaimana filem aksi ini berjaya menjalin tema persaudaraan dan pengkhianatan dengan begitu mendalam. Terdapat adegan antara Ariff dan Jaki di mana mereka membincangkan masa lampau mereka yang menyentuh hati, sesuatu yang tidak pernah dijangka dari filem yang dipasarkan sebagai thriller aksi! Tapi disitulah letaknya keunikan 'Blood Brothers' - ia menyematkan tema kepercayaan, pengorbanan, dan nilai persaudaraan dalam dunia yang sarat dengan tipu daya. Permainan emosi ini diperkuatkan lagi dengan tagline filem iaitu "Dulu Ditindas, Sekarang Di Atas!" yang menggambarkan perjalanan transformasi watak-watak utama dengan sempurna. Abhilash Chandra sebagai sutradara bersama berkongsi bahawa setiap babak ada impak dan tujuan tersendiri, dan saya memang dapat merasakan hubungan emosional dengan jalan cerita yang dibawakan.

'Blood Brothers: Bara Naga' adalah WAJIB TONTON yang akan menjadi pengalaman hebat sebaik sahaja anda duduk di kerusi pawagam, percaya lah cakap saya. Ia membuktikan bahawa industri filem Malaysia mampu menghasilkan filem aksi yang bukan sahaja memuaskan keperluan adegan pertarungan, tetapi juga menyentuh hati dengan kisah yang dipaparkan. Sejujurnya, sudah lama saya tidak merasakan getaran sebegini dengan filem tempatan - standard telah diangkat ke paras yang lebih tinggi! 

Oh ya, dah dengar soundtrack? Kalau anda belum dengar "Bara Jiwa" oleh Azlan Typewriter dan Muzza, anda perlu dengar segera! Lagu tema filem ini mempunyai petikan gitar yang menghanyutkan dengan lirik yang menekankan persaudaraan, kesatuan, dan janji untuk terus berdiri walaupun menghadapi dugaan. Malah, metafora "Bara Naga" dalam lagu itu betul-betul menggambarkan api semangat yang berkobar dalam jiwa watak-watak utama. Persembahan lagu ini semasa tayangan perdana menambah lagi dimensi emosional kepada pengalaman keseluruhan filem ini.

Malam tayangan perdana yang diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, YBhg. Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengasas Skop Productions, Datuk Hans Isaac, Pengerusi FINAS, dan Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, menunjukkan betapa signifikannya filem ini dalam landskap perfileman Malaysia.

Apabila filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 10 April 2025 nanti, saya pasti akan berada di barisan hadapan untuk menontonnya sekali lagi. Tak puas rasanya menonton tempoh hari, kali ini saya plan nak bawa suami pula menonton bersama. Dan saya mengesyorkan anda juga melakukan perkara yang sama. Durasi 2 jam 9 minit terasa singkat, sepanjang adegan bertarung saya rasa tak boleh bernafas, saya terasa berada di lokasi pertarungan bersembunyi di sebalik apa-apa saja, mengintai konflik lara ini dari jauh. "Blood Brothers: Bara Naga" bukan sekadar filem aksi - ia adalah kisah tentang ikatan yang kita bina dan harga yang kadangkala terpaksa kita bayar untuk mempertahankannya.

Tandakan kalendar anda, sediakan tisu, dan bersedialah untuk pengalaman sinematik yang tidak akan anda lupakan! Tayangan awal filem ini akan bermula pada 8 April 2025 di 146 lokasi pawagam terpilih seluruh Malaysia, jadi anda yang tidak sabar boleh menonton lebih awal. Apabila pertarungan melibatkan darah sendiri, siapakah yang akan terus bertahan? Hanya ada satu cara untuk mencari jawapannya - saksikan sendiri karya terbaik Skop Productions ini!