Vanessa Reynauld Menenun Magis dengan 'Anyam Kayangan'

oleh: zizi hashim

Semakin murah dan meriah rezeki Vanessa Reynauld (bekas pemenang Anugerah Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2022) nampaknya. Tidak lama beberapa bulan terdahulu, melahirkan single terbaharunya berjudul "Erti Rindu", penyanyi bersuara emas itu kembali diberi penghormatan menenun magis lontaran vokalnya melalui runut bunyi "Anyam Kayangan"

Lagu bernuansa balada ciptaan khas oleh Bajai & Co dengan nukilan lirik dari Adrianna Cinta menjadi lagu tema dan runut bunyi asli (OST) sebuah siri fantasi seram terbaharu berjudul ‘Kayangan’ lakonan Zul Ariffin, Elisya Sandha, Hasnul Rahmat dan juga Siti Saleha. "Anyam Kayangan" telah disesuaikan konsepnya dengan siri drama tersebut.

Menurut Vanessa, lagu ini merupakan sesuatu yang agak baharu buat dirinya dan ini antara sebab mengapa dirinya teruja dengan tawaran tersebut. “Sebaik sahaja menerima demo lagu ini dan diberitahu ia adalah lagu tema untuk sebuah drama seram, saya terus bersetuju kerana ini merupakan sesuatu yang baharu buat saya. Lagipun saya memang ingin mencuba sesuatu yang berbeza dari apa yang sering saya persembahkan sebelum ini. Lagipun saya rasa saya boleh berikan warna yang berlainan pada karya ini dengan suara dan identiti khas tersendiri.” tutur Vanessam membuka bicara.

“Oleh kerana drama ini adalah sebuah drama seram, emosi yang dipaparkan dalam lagu ini juga berkaitan dengan tema tersebut. Liriknya ditulis oleh kawan saya sendiri, iaitu Adrianna Cinta yang juga rakan artis di Sony Music." sambungnya lagi.  Lagu ini mencerminkan kesukaran hidup yang berlawanan dengan harapan idealistik manusia secara umum. Ia menceritakan tentang kepedihan dan kesakitan yang disebabkan oleh tindak-tanduk manusia serta dosa masa lalu yang masih perlu ditanggung. Korus lagu ini pula memberi bayangan bahawa mereka yang hidup dengan niat tidak baik hanya memberikan janji palsu dan akibat yang buruk, sehingga menjadi perangkap yang abadi. Rangkap kedua pula memberikan gambaran tentang rahsia dan kebenaran yang disembunyikan selain sifat manusia yang mencetus sebuah kenyatan yang jauh lebih rumit.

Namun cabaran terbesar buat Vanessa dalam menyiapkan projek ini adalah tahap kesihatannya semasa proses rakaman. “Sewaktu kali pertama memasuki studio untuk proses rakaman saya berada dalam keadaan tidak sihat. Ketika itu saya selsema dan key asal lagu ini memang tinggi, jadi saya terpaksa tunggu sekitar seminggu selepas pulih sepenuhnya, kemudian baru dapat merakamkan lagu ini dengan lebih baik.” ceritanya lagi. Di samping itu, lagu ini membawa dirinya keluar daripada zon selesa yang sudah biasa dirinya lalui. 

“Saya dapat banyak idea untuk menyanyikan balada ini dengan bantuan penerbit vokal saya, abang Afif. Kami berjaya menemui cara terbaik untuk menyampaikan lagu ini. Semasa memasuki studio untuk sesi rakaman kedua selepas saya sembuh dari sakit dan selsema, saya berjaya meneroka kemampuan vokal serta bakat saya dengan lebih jauh berkat bantuannya. Cara nyanyian saya juga saya ubah untuk sesuaikan dengan tema serta suasana drama seram. Kami masuk dengan nuansa yang lebih cemas dan menggerunkan. Yang penting saya sudah berikan yang terbaik sambil menyahut cabaran yang diperlukan untuk lagu ini.” jelasnya panjang lebar. 

Proses rakaman lagu ini juga telah berjalan dengan lancar dan disambung dengan proses penggambaran video muzik.   “Penggambaran video muzik memakan waktu yang lama. Kami bermula sekitar jam 9 malam dan selesai lebih kurang pukul 4 pagi. Ia memang hari yang panjang namun saya berpuas hati dengan hasil lagu dan klip videonya.” ujar Vanessa sambil berharap lagu ini akan melengkapi siri drama tersebut.

“Saya belum menonton drama itu tapi saya harap ia memenuhi tujuan karya tersebut. Dan saya juga harap penonton drama akan menyukai lagu ini dan menjadikannya salah satu lagu pilihan dalam senarai lagu mereka. Semoga para peminat saya dapat menemui kelainan yang saya cuba tampilkan dalam lagu ini.” bingkas Vanessa menutup bicara dengan nada yang positif.

Telah dikeluarkan pada 18 Oktober 2024, "Anyam Kayangan" boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.