oleh: zizi hashim
Cetusan inspirasi yang memberi ilham kepada penghasilan produksi filem berjudul 'Babah' oleh Nads Media Entertainment dipetik dari kemistri ikatan kasih sayang dan rasa cinta mendalam antara seorang ayah dan anak perempuannya. Sesuatu yang jarang sekali diangkat ke layar perak meski ramai mengetahui bagaimana sang ayah adalah cinta pertama yang hadir dalam hidup untuk menjaga dan melindungi puterinya seluruh jiwa raga. Begitu juga halnya bagi seorang ayah, puterinya itu adalah cinta mati kesayangan sampai bila-bila pun.
Terhasilnya filem ini bermula dari idea asal Nadia Nadzri selaku penerbit dimana beliau telah melihat sebuah klip video viral tentang seorang ayah membuat persembahan di majlis perkahwinan anak perempuannya. "Emosi seorang ayah yang menjaga anak perempuan kesayangannya dari kecil, kemudian melepaskan tanggungjawab kepada lelaki lain adalah amat mendalam. Dalam masa yang sama juga tergabung dengan sebuah lagi klip video tentang seorang perempuan yang bertarung nyawa menghidap sindrom 'Gullain-Barre' iaitu sejenis gangguan auto imun yang boleh melumpuhkan sistem saraf. Justeru gabungan video-video viral itu diolah menjadi sebuah jalan cerita yang menarik dan cukup dekat dengan kehidupan masyarakat bertujuan untuk memberi kesedaran." ujar Nadia membuka cerita.
Sementara itu, Wan Rafiq selaku penulis skrip berkata, "Filem Babah ini cukup istimewa kerana ia sangat dekat dengan penonton sehingga mewujudkan impak rasa penuh emosi. Kita banyak disajikan filem tentang rasa sedih. Berlainan dengan Babah, naskhah ini ingin menyerlahkan sisi kesedihan menerusi perasaan rindu. Rindu adalah sebuah perasaan yang lebih besar dan mendalam yang dialami oleh setiap orang. Campur aduk emosi di antara gembira, sedih dan sayu yang datang hanya dari momen itu sendiri. Bagi seorang ayah, diharap dapat mengenang semula perjalanan mereka dalam membesarkan anak perempuan sehingga masa untuk menyerahkan mereka ke tangan suami. Manakala bagi seorang anak perempuan, adalah peringatan tentang pengorbanan seorang ayah yang tidak pernah mengeluh dalam membesarkan mereka.”
Menurut Mohd Shah Ibrahim pula selaku sutradara filem 'Babah', "Saya tertarik untuk mengarahkan filem ini setelah membaca skrip yang diberikan kepada saya. Apa yang membuatkan filem 'Babah' menarik ialah kelainan dari segi penyampaiannya. Saya merasakan jalan ceritanya sangat dekat dengan diri saya. Selepas membaca skrip, saya terus beri kata putus setuju untuk mengarahkan filem 'Babah' ini. Penulis skrip juga adalah penerbit kepada filem ini dan saya merasakan penulisannya sangat peribadi dan itu membuatkan saya yakin ia adalah sebuah naskhah yang baik,” ungkapnya penuh yakin.
Menyentuh soal pemilihan pelakon, sutradara berkenaan memberitahu mereka telah membuat sesi uji bakat dan bersyukur kerana berjaya memilih barisan pelakon yang dapat menghayati watak masing-masing dengan cukup berkesan. Mohd Shah juga tidak menafikan penghasilan filem ini turut berdepan dengan cabaran yang tersendiri. “Filem berlatarbelakang tahun-tahun yang berbeza iaitu mulai tahun 1990 sehingga 2020, oleh itu kami perlu pastikan babak dipaparkan perlu sama dengan tahun berkenaan dan itu memerlukan penyediaan props yang tepat dan bersesuaian.“ ceritanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran filem 'Babah' pada 28 Oktober 2024 baru-baru ini bertempat di Menara Ken, Taman Tun Dr. Ismail.
"Ada banyak cabaran kepada pelakon untuk menjiwai karektor dan menyampaikan dialog kerana filem ini lebih kepada konsep cinema ‘verite’ iaitu penceritaan yang santai dan bersahaja untuk mendapatkan mood yang realistik.” tambahnya lagi. Sebagai pengarah, beliau meletakkan harapan tinggi agar penonton dapat menerima cerita ini dan dapat merasai apa yang ingin disampaikan. “Kita jarang disajikan dengan filem yang sebegini, maka saya rasa filem 'Babah' memberi peluang kepada penonton untuk menonton sebuah naskhah yang selain memberikan hiburan, turut menyentuh emosi dan perasaan.” jelasnya penuh harapan.
'Babah' meliputi kisah tentang pengorbanan seorang ayah bernama Isyak (Qi Razali) untuk anak perempuannya, Maya (Sweet Qismina). Tiada mana-mana lelaki yang dapat mengambil posisi seorang ayah. Isyak adalah lelaki pertama yang hadir dalam hidup Maya - dialah hero yang sentiasa melindungi dan menjaga Maya. Dan apabila dewasa Maya diuji musibah teruk, Isyak jugalah yang menjadi tempat dia bergantung harap. Filem 'Babah' mengisahkan harapan yang dirindukan. Ketika menghadapi ujian getir yang merupakan sebahagian daripada kehidupan, seorang ayah harus berusaha sehabis daya, sekuat tenaga dan berharap untuk merasa sisa kebahagiaan bersama anaknya sehingga ke penghujung nyawa.
Ketika Isyak dan anak perempuannya, Maya mengharungi pasang surut kehidupan seperti kehilangan pekerjaan, kehilangan pendengaran dan ketika Maya disahkan menghidap penyakit GBS setelah berkahwin, Isyak tepaksa menggalas semula tugas untuk menjaga Maya. Ikatan yang kuat di antara mereka menunjukkan ketulusan cinta kasih sayang dan kebersamaan keluarga dapat membawa mereka bersatu melalui masa-masa yang sukar. Selain teraju utama Qi Razali dan Sweet Qismina, filem 'Babah' turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat tanahair seperti Cristina Suzanne, Adam Lee, Kis Aisha, Dhia Arissa, Hazama, Arieff Yong dan ramai lagi.
Turut sama hadir menghiburkan para tetamu pada majlis pelancaran filem 'Babah' petang itu ialah Panji Sakti, seorang komposer berbakat luarbiasa berasal dari Bandung, Indonesia dengan persembahan akustik lengkap gitar, biola, seruling dan double bass bersama penampilan istimewa adik Kis Aisha (salah seorang pelakon cilik yang memegang watak Maya ketika berusia 7 tahun) berpadu vokal menerusi keindahan melodi "Lagu Cinta" yang diangkat menjadi runut bunyi bagi filem 'Babah'. Selain itu, lagu "Rahsia Tuhan" dendangan Noh Salleh juga turut terpilih sebagai runut bunyi filem hebat ini. Akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 5 Disember 2024. Pastikan anda tidak ketinggalan menonton filem 'Babah' ini!