oleh: zizi hashim
Icon Entertainment, penganjur konsert yang bakal berlangsung di Axiata Arena pada 3 Mei 2025 ini, melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sambutan luar biasa yang diterima. Tiket yang mula dijual pada pukul 11 pagi hari ini (20 Disember 2024) telah habis laris terjual tepat pada pukul 12 tengah hari, membuktikan kehebatan nama besar KRU dalam industri muzik Malaysia.
"Kami amat terharu dengan sambutan ini. Fenomena ini sudah dijangka kerana melihatkan populariti dan profil KRU yang merupakan salah satu ikon negara kita. Kita buka pembelian tiket pada pukul 11 pagi tadi dan kini habis dijual." kata Iman Tang, pengasas Icon Entertainment dengan nada penuh kebanggaan. Lebih mengejutkan, seramai 10,000 peminat tegar telah bersiap sedia seawal jam 8.30 pagi untuk memastikan mereka tidak terlepas peluang keemasan menyaksikan persembahan epik kumpulan legenda ini.
"Namun kami rasa lebih terharu dengan sambutan yang di luar jangkaan awal dan tiket sudah SOLD OUT! Saya kira ini merupakan satu penghargaan dan respons positif untuk artis tanah air kita." tambah Iman Tang dengan penuh rasa syukur.
Konsert yang akan berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur ini dijangka akan mempersembahkan produksi mega bertaraf antarabangsa. Peminat yang bernasib baik mendapatkan tiket akan dapat menyaksikan persembahan bertenaga GENKRU dalam suasana yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
"Kejayaan penjualan tiket ini membuktikan bahawa industri hiburan tanah air masih relevan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. KRU bukan sekadar nama besar, tetapi mereka adalah ikon yang telah membentuk landskap muzik Malaysia," ujar Iman Tang.
Berikutan permintaan yang sangat tinggi dan ribuan peminat yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket, Icon Entertainment telah mengambil langkah proaktif dengan merancang konsert hari kedua. Pengumuman rasmi dan butiran penjualan tiket untuk persembahan tambahan ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert hari kedua dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Icon Entertainment.