oleh: zizi hashim
Diterbangkan khas ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan para peminat di Malaysia pada tanggal 29 November 2024 nanti, trio asal Jakarta yang menggelarkan diri mereka dengan nama TBA memilih pentas Zepp Kuala Lumpur untuk aksi perdana yang julung kali diadakan. TBA dipetik dari singkatan nama depan line-upnya iaitu Teuku Rizky, Bastian Steel dan Aldy Maldini. Dahulunya dikenali dengan nama Coboy Junior pada tahun 2011, kemudiannya menukar nama menjadi CJR pada tahun 2014 akibat pertukaran line-up. Nama TBA dengan rasminya digunapakai pada September 2022 pada penampilan comeback beraksi di festival muzik Bandung.
Berada dibawah gandingan usahasama Ikarl Project (Malaysia) dan EVB Group (Singapore) selaku penganjur, konsert istimewa 'TBA Live In Malaysia' ini turut mendapat sokongan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) dan Emina Cosmetic Malaysia pula bertindak sebagai Penaja. Konsert perdana TBA di Malaysia julung kalinya bakal memperdengarkan lagu-lagu hits mereka yang bergenre Pop seperti "U-Uh", "Kamu", "Eeaa", "Kenapa Mengapa", "Satu Senyuman" dan banyak lagi.
Berdasarkan populariti dan portfolio gemilang TBA di Indonesia, pihak penganjur meletakkan keyakinan tinggi terhadap sambutan yang bakal diberikan oleh peminat TBA di Malaysia disamping membayangkan sajian konsert dengan persembahan hebat, energetik dan dinamik dari TBA. Meski tampil dengan nama baru, TBA tetap kekal mempesona dengan irama pop segar yang menjadi signatur muzik mereka sejak penubuhan 13 tahun lalu.
"Pemilihan artis yang teliti sememangnya faktor utama yang kami titikberatkan untuk membawa mana-mana artis ke Malaysia. Kami percaya TBA adalah pilihan yang tepat berdasarkan kredibiliti dan kualiti persembahan hebat dan bermutu tinggi." ujar Ali Najib selaku Pengarah Urusan EVB Group ketika ditemui pada sidang media bertempat di Grand Barakah pada petang 17 Oktober 2024 baru-baru ini.
Menurutnya lagi, "TBA tentunya akan mempersembahkan koleksi lagu-lagu hits mereka serta beberapa lagu baru yang belum pernah didendangkan sebelum ini, menerusi konsert ini nanti. Peminat akan dihiburkan dengan persembahan memukau, menjadikan malam itu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan."
Lebih istimewa lagi pada sidang media petang itu adalah kehadiran Teuku Rizky yang diterbangkan khas dari Jakarta oleh penganjur untuk sesi ramah mesra dan temubual eksklusif bersama media Malaysia. Kiki (nama panggilan mesra Teuku Rizky) kelihatan teruja dan tidak sabar untuk bertemu peminat TBA di Malaysia berkata, "Tiada sebarang konflik antara TBA dengan Iqbal Ramadhan. Kami tetap menyokong kerjaya seni masing-masing dan masih bersahabat baik. Cuma halatuju muzikal kami sudah berbeza. Meski pada mulanya agak sukar untuk adaptasi dengan perubahan dari 4 orang kepada 3 orang line-up kerana kami bersama sejak kecil."
Mengakui berasa sedih dengan ketiadaan Iqbal, namun Kiki tetap berlapang dada dan menghormati keputusan Iqbal untuk memberi tumpuan kepada lakonan sejak 2016. "Tak mengapalah, kami teruskan juga tanpa dia." katanya sambil menyembunyikan rasa sebenar di sebalik senyuman. "Sejak zaman Coboy Junior hingga ke CJR dan kini TBA, kami belum pernah mengadakan sebarang persembahan di Malaysia. Ini pertama kali dan kami benar-benar bersemangat untuk bertemu peminat."
Selain TBA, peminat juga akan disajikan dengan opening act dari band UN1TY juga dari Indonesia dan artis tempatan serba boleh Syaffiq Sahli. UN1TY yang popular dengan lagu "Coba Cintaku", "Pangeran Tidur" dan "Terbunuh Sepi" turut menjanjikan persembahan menarik yang tak kurang hebatnya.
Menurut penganjur, pada awalnya mereka berhasrat membawa Amir Hariz yang popular dengan lagu "Peluang Kedua" menyertai konsert ini. Poster juga telah dikeluarkan namun terdapat insiden kekhilafan dia membuang anak kucing menerusi platform media sosial TikTok membuatkan dia menerima kecaman dari peminat dan Persatuan Pecinta Kucing. Kesan daripada kecaman ini turut terkena tempiasnya kepada TBA sehingga ada peminat mengecam mereka kerana memilih Amir Hariz. Justeru keputusan muktamad untuk menggugurkan Amir Hariz dibuat dan menggantikannya dengan Syaffiq Sahli.
Setelah sekian lama menunggu peluang untuk bertemu peminat di Malaysia, sudah pasti konsert TBA akan memenuhi impian ramai sekaligus menyuntik kepuasan dua hala antara TBA dan peminat. Maklumat mengenai pembelian tiket untuk menonton konsert 'TBA Live In Malaysia' boleh didapati di evb.ubertickets.asia