oleh: zizi hashim
"TRIAD adalah manifesto penyatuan dimana ia menyatukan bunyi, energi, jiwa dan semangat rock sebenar. Bukan sekadar konsert, tetapi satu malam yang akan mencipta sejarah dan semangat Rock akan terus menyala. Alhamdulillah, ianya akan berlangsung nanti. Saya teruja untuk bersama-sama para penyokong dan rakan-rakan lagenda yang lain di atas pentas yang luarbiasa ini.” kata Dato’ Awie dalam mukadimah bicaranya pada petang sidang media pengumuman konsert TRIAD di Maristar Bukit Bintang pada 17 Disember 2024 baru-baru ini. Pemilik kepada Rumah Produksi Merah yang juga merupakan penganjur konsert ini menemui formula unik ini sejak 'Perintah Kawalan Pergerakan' (PKP) sekitar tahun 2020 lagi.
"Saya sudah terfikir tentang TRIAD ini sewaktu sessi latihan bersama Search dalam persiapan konsert Apologia (2020), konsert Bikin Wilayah (2021) dan konsert Cinta Buatan Malaysia (2020) tetapi semua tak menjadi. Sewaktu dalam tempoh PKP itu, saya terfikir apa langkah seterusnya yang harus dibuat untuk mewarnai industri. Tercetus idea untuk mengambil kesempatan mengepalai 3 band yang saya pernah terlibat ini." sambung Dato' Awie yang pernah merakamkan sebuah album bersama Search pada tahun 1998 yang diberi judul 'Bikin Wilayah', berpuluh album bersama Wings dan sebuah album berjudul 'Rentap' yang diiringi oleh Dragon Malaya dengan lagu ikonik seperti "Kuda Tiga Kaki" dan "Bumi Kita Ada Naga". Dragon Malaya kini dianggotai oleh Lan Taro, Eddie DefGabC dan Pae.
Bakal bergema di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025 jam 8.30 malam, konsert TRIAD akan mencatat sejarah dalam The Malaysian Book of Records: dengan 1 penyanyi utama mengendalikan 3 kumpulan rock gergasi di atas pentas yang sama secara serentak buat julung kalinya. Dato' Awie bakal membawa peminat melakukan perjalanan nostalgik menerusi dentuman lagu yang kekal abadi di jiwa peminat setia band masing-masing. Konsert TRIAD ini adalah mimpi yang direalisasikan, menghimpunkan 3 band legenda dalam satu pentas bukanlah perkara yang mudah.
"Mungkin momen ini saya dapat kongsikan rezeki bersama-sama kumpulan yang pernah naik turun, suka duka dan pahit manis bersama dengan saya. Untuk menjadikan konsert TRIAD ini realiti, saya perlukan doa, fokus yang tajam, dedikasi dan komitmen untuk memastikan kesihatan serta stamina berada di tahap maksima. Semua ini perlu diperhatikan demi memberikan persembahan terbaik untuk para penyokong seni tanah air. Saya juga perlukan semangat dan sokongan dari sahabat-sahabat saya. Dengan izin Allah SWT, in shaa Allah. ART FOR ALL!” tambah Dato' Awie lagi.
Bercerita pula tentang konsep persembahan pada malam bersejarah itu nanti, Dato' Awie berkata, "Konsert akan dimulakan dengan band pertama saya dari dulu hingga kini, Wings. Diikuti dengan Dragon Malaya dan penutupnya bersama Search KidDin. Pada malam itu nanti, meski ada 3 band tetapi mahu menerapkan rasa kekeluargaan pada setiap band dengan menjadikan muhibah pada persembahan dimana tidak akan diperkenalkan setiap band kerana semua sudah sedia maklum."
"Muzik dari 3 band menjadi satu, berhenti hanya seketika untuk memberitahu lagu, bertujuan untuk mewujudkan rasa satu family dan untuk peminat menilai sendiri perbezaan 3 warna dan 3 rasa dalam konsert yang sama." Dalam nada penuh pengharapan Dato' Awie benar-benar meletakkan 100% komitmen untuk membuktikan keberkesanan idea dan formula yang dibawa oleh TRIAD. Target utama adalah generasi baru dalam usaha memperkenalkan sekaligus menarik minat mereka kepada muzik Rock supaya tidak lapuk dimakan zaman. Menjadi salah seorang antara hadirin yang melihat sejarah tercipta, dimana setakat hari ini tidak ada lagi bentuk persembahan konsert sebegini, adalah satu kemestian.
"Saya agak berdebar pada mulanya apabila diberitahu tentang idea ini oleh Dato' Awie. Saya rasa ini adalah sesuatu yang gila. 1 penyanyi, 3 band, tak pernah dibuat orang." ujar Din mewakili Search pada petang itu. "Saya harap kita ramai-ramai 'hentam' lah malam tu nanti. Ini juga adalah gantian kepada perancangan konsert yang tak menjadi sebelum ini. Sehingga sekarang saya masih berdebar sebenarnya, ini memang kerja gila. Malam itu nanti akan marathon 30 buah lagu, siapa yang terlepas memang rugi." tambah Din lagi disahut rasa teruja dari setiap yang hadir.
Komitmen yang terpaksa Dato' Awie bahagikan kepada 3 band ini dikhuatiri akan mengurangkan kasih sayang terhadap Wings dijawab oleh Eddie sebagai wakil dari Wings, "Kami sangat berbangga dengan kemampuan yang ada pada vokalis kami. Tidak pernah bimbang kasih beralih arah kerana dia adalah penyanyi kesayangan ramai, penyanyi Rock nombor satu di Malaysia. Bukan bodek tapi kenyataan. Kasih sayang yang tercurah kepada Wings adalah sepenuh jiwa raganya. Wings bangga kerana kami dapat berkongsi rezeki dengan rakan-rakan yang lain. Jom ramai-ramai turun padang ke konsert TRIAD ini, kami akan berikan the best of Wings pada malam itu nanti." kata-kata Eddie itu bersambut tepukan semangat dari semua.
Sementara itu, Eddie DefGabC yang mewakili Dragon Malaya juga senada dengan Din Search apabila menganggap konsert TRIAD ini adalah idea gila yang jika direalisasikan akan menjadi sesuatu yang luarbiasa. "Ketika saya, Pae dan Lan dapat tahu Dato' Awie merancang hendak buat konsert ini, kami terkejut. Idea gila tapi tidak mustahil. Bukan hanya kami 3 band ini tahu bagaimana kemampuan Dato' Awie, ramai yang sudah sedia maklum. Mengenali Dato' Awie seorang yang sangat komited, rajin berlatih, kalau boleh hari-hari hendak mengukuhkan kemantapan vokalnya, sehingga ke usia yang sebegini, tiada orang yang boleh buat seperti dia. Menyanyi dalam orginal key, itu paling mengkagumkan. Jadi saya harap semua peminat Wings, Search dan Dato' Awie sendiri dapat hadir menyokong konsert ini bagi merealisasikan impian gila ini." ujar Eddie DefGabC penuh teruja.
Dengan tagline 'ONE CONQUER ALL', konsert TRIAD ini adalah simbolik kepada kesatuan dan kehebatan muzik rock Malaysia. Gabungan unik ini bukan sahaja bakal menggegarkan malam anda tetapi juga menjadi momen penting dalam sejarah muzik tanah air. Tiket untuk konsert TRIAD sudah mula dijual 7 Disember lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rpm.ubertickets.asia/
Maklumat tiket: Kategori 1 (standing): RM258, Kategori 2 (standing): RM188, Kategori 3 (numbered seating): RM788, Kategori 4 (numbered seating): RM438, VIP BOX: RM10,000
Kelebihan bagi para pembeli tiket Kategori 3 akan mendapat Goodies manakala bagi pembeli VIP Box pula akan mendapat sesi Meet & Greet, hidangan F&B Buffet serta Goodies. Tiket adalah terhad dan dijangka akan habis terjual dalam masa yang singkat. Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket mereka seawal mungkin bagi memastikan tempat mereka di malam penuh magis dan bertenaga ini. Pastikan anda tidak ketinggalan!