Teater Kompilasi 'Kerana Percayakan Siti' Bakal Cetus Kontroversi?

oleh: zizi hashim

Sebuah pementasan teater kompilasi diberi judul 'Kerana Percayakan Siti' terbitan sebuah rumah produksi tempatan iaitu Storyteller Production, akan mula dipentaskan bertempat di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya pada 4 hingga 6 Oktober 2024 ini. Aktif menghasilkan kandungan kreatif untuk platform digital dan TV, Storyteller Production dengan penuh yakin membariskan para pelakon berbakat besar yang sememangnya lahir dari pentas teater dan berjaya memecah masuk serta mencipta nama di dalam industri seni dan hiburan tempatan.

Nama-nama besar seperti Nadia Brian, D’Boy Hamdan, Farah Ahmad, Shariah Sofia, Firdaus Karim, Swarna Naidu dan Anwar Rusdini diibaratkan ‘bagai sirih pulang ke gagang’ apabila diberi peluang menerusi pementasan ini dengan sekembalinya mereka mengisi semula pentas yang terpaling awal mempopularkan nama mereka. 'Kerana Percayakan Siti' merupakan kompilasi gabungan 3 buah cerita iaitu 'Perempuan Perang', 'Terang Malam' dan 'Sa-Balik Baju'. 

Pertama kali dipentaskan pada tahun 2016, 'Perempuan Perang' pernah mewakili Malaysia dalam “Program Teater 3 Negara” di Pahang pada tahun berikutnya. Mengangkat kisah tentang seorang wanita bernama Laila yang berhadapan dengan pelbagai konflik dan krisis setelah suaminya, Ibrahim ditangkap kerana kesalahan sodomi. Pada pementasan kali ini, Sharifah Sofia diberi kepercayaan untuk membawa watak Laila dan digandingkan dengan D'Boy Hamdan sebagai Ibrahim serta Firdaus Karim yang memegang watak Mukhtar. 

Cerita 'Terang Malam' pula akan dilakonkan oleh Nadia Brian dan Anwar Rusdini manakala 'Sa-Balik Baju' kali ini akan dibawakan oleh Farah Ahmad dan Swarna Naidu. Teater kompilasi ini merupakan naskhah tulisan dari sutradara muda, Afiza Asram yang pernah pertama kali memahatkan namanya sebagai seorang sutradara lewat film "Sa-Balik Baju" yang telah menduduki carta no. 1 tontonan tempatan selama 4 minggu berturut-turut di saluran Netflix. Tidak berhenti disitu, Afiza yang juga merupakan lulusan Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) di bidang teater (majoring acting). kemudiannya menulis dan mengarah beberapa drama lagi seperti 'Kau vs Aku' dan yang paling terkini untuk saluran Astro Gempak iaitu "Ke Kodiang With Love".

Menurut Azuwan Ahmad selaku Penerbit Eksekutif dari Storyteller Production, mengekspresikan rasa sangat bangga dengan barisan para pelakon yang sedia berpartisipasi dalam pementasan kali ini dan merasakannya adalah suatu rezeki tak terduga dapat bekerjasama dengan bintang teater yang memiliki pengalaman meluas. Pemilihan para pelakon yang tepat berdasarkan karektor dalam setiap cerita dan Storyteller yakin mereka mampu memikul peranan yang dipertanggungjawabkan. Azuwan juga turut berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kerana menyokong pementasan ini melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024.

Manakala Afiza Asram ketika ditemui pada sidang media bertempat di Sanggar Teater Fauziah Nawi pada 13 September 2024 yang lalu berkata, "Tiada niat untuk timbulkan sesuatu kontroversi dalam setiap naskah dan karya saya, sebaliknya hanya mengangkat martabat wanita yang sering menjadi isu dari dulu. Walaupun sebelum ini arahan filem ‘’Sa-Balik Baju’’ penuh dengan kontroversi namun niat saya untuk pementasan kali ini lebih membawa pengajaran kepada orang sekeliling. Bagi saya sebagai seorang pengarah ini merupakan inspirasi saya. Saya harap penonton yang datang boleh faham, kita sudah cukup dewasa sebab saya selalu ingatkan penonton yang hadir haruslah penonton yang matang dan kanak-kanak tidak digalakkan.’’ sambungnya lagi.

Tiket-tiket untuk pementasan “Kerana Percayakan Siti” masih boleh diperolehi melalui laman web www.cloudjoi.com pada harga serendah RM60 hingga RM100. Segala pertanyaan boleh diajukan di nombor 011-28536571 (Ahmad) dan segala maklumat terkini boleh dilayari dilaman Instagram storyteller_my