SYJ Perkasa Warisan, Sofea Teruskan Legasi Rock Pada 13 Julai 2024 dalam “Konsert Revolusi”

oleh: zizi hashim 

“Liku-liku perjalanan rintangan ku lalui, Merentas dengan ketabahan cekal dihati, Aku kini kembali menemuimu lagi, kerana Kau Mekar Di Hatiku Umpama Sekuntum Bunga Di Padang Pasir…” 

Begitulah petikan dari lirik lagu popular dari 2 legenda rock gergasi ini, memberi sekilas samar-samar teka-teki yang akhirnya terjawab di sidang media khas bertempat di 1 Shamelin Mall pada petang 4 Mei 2024 baru-baru ini. Sofea Legacy dan SYJ Pewaris bakal berkongsi pentas. Berita gempar ini dikongsi oleh Mentari Merah Entertainment selaku penganjur konsert yang berusaha gigih untuk menggabungkan buat pertama kalinya setelah sekian lama dengan line-up baru yang diperkenalkan. Dijangka bakal meletup dengan kehadiran rockers sejati, konsert tanpa henti selama 3 jam yang paling ditunggu-tunggu ini seharusnya ada dalam senarai konsert wajib hadir tahun 2024 ini.

Diberi gelar konsert “Revolusi – Sofea Legacy & SYJ Pewaris” direncanakan berlangsung pada 13 Julai selama 3 jam, memilih lokasi di Warisan Hall, Sijangkang, Telok Panglima Garang. Turut menampilkan sebuah band rock Bloodbrothers mengisi slot pembukaan konsert. Setiap band akan diberikan masa selama 45 minit untuk mengajak crowd  sama-sama hangguk kepala dengan mempersembahkan karya-karya klasik mereka yang penuh nostalgia dan mengimbau memori. Dalam masa yang sama akan turut memperdengarkan buat julung kalinya lagu-lagu baru bernafas segar ciptaan terkini dari kedua-dua band lagenda ini. 

Antisipasikan lebih dari 20 buah lagu-lagu seperti “Orang Timur”, “Bunga Padang Pasir”, “Hati Syaitan”, “Mata Sepet”, “Bungaku Kerinduan”, “Anak Liar”, “Hujan”, “Bersama Mimpi Dan Airmata”, “Gadis”, “Siksa Bayangan”, “Ini Nasib Kita” dan banyak lagi akan berkumandang kuat dan megah pada malam itu, jom beramai-ramai turun memeriahkan mosh-pit dalam pesta 2 legenda rock gergasi yang pastinya bikin huru-hara dan havoc tahap luar imaginasi. Bertemakan Rock 80an, rata-rata peminat yang hadir digalakkan mewujudkan nuansa kegemilangan muzik Rock pada era tersebut.

Ini kerana istimewanya pada tanggal konsert itu bakal berlangsung nanti, turut diadakan pertandingan “Pakaian Rockers Terbaik Terpaling Rock” dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti Kasut Aliph, Fung Keong, barangan elektrik dan banyak lagi. Jangan ketinggalan untuk turut serta memeriahkan hujung minggu anda dengan beramai-ramai mengembalikan zaman muzik rock berkuasa seperti era 80an dengan sporting bergaya ala Rockers sejati pada 13 Julai nanti. 

Selain Mentari Merah Entertainment, yang turut berusaha dalam mewujudkan acara rock semeriah ini, konsert Revolusi ini turut mendapat sokongan padu daripada beberapa pihak seperti SYJ Entertainment, Aliph, Kokoshka Popcorn, 1 Shamelin Mall, Uptown Bazaar dan Malaysia Music Scene selaku rakan media rasmi, begitu juga dengan Warisan Hall Studio selaku penaja lokasi rasmi.

Lebih menarik lagi pada petang sidang media tersebut, turut diadakan pelancaran album terbaru SYJ Pewaris yang berjudul “Kembalilah” telah habis dijual sebanyak 300 unit untuk cetakan pertama dan akan kembali diulang-cetak menjelang Konsert Revolusi nanti. Para peminat bolehlah mendapatkan cetakan kedua di tapak konsert dengan harga RM45.00 sahaja serta rebut peluang untuk mendapatkan tandatangan dari SYJ Pewaris sendiri.

“Album baru kami ini mengandungi 9 buah lagu baru, 7 darinya ciptaan saya sendiri manakala 2 lagi ciptaan gitaris kami, Jay.” kata Alang selaku vokalis dan ahli tetap paling lama bersama SYJ sejak 1989 membuka cerita. “Album ini telah dirakamkan di Brightone Production, memilih pendekatan konsep yang membawa semula era dan atmosfera Rock 80an yang menyatukan 2 band legenda ini untuk sama-sama beraksi. Satu pengalaman unik yang khusus buat peminat semua peminat Rock, itu janji kami.” tambah Alang lagi. 

Menjadi satu-satunya line up asal yang masih tinggal meneruskan legasi sebagai pewaris generasi akan datang, Alang (SYJ) dan Fancy (Sofea) memikul amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Tuan Syed Yusuf Jamalulail. Pengasas asal SYJ yang berasal dari Ipoh, Perak ini menggunakan singkatan namanya sendiri untuk menubuhkan band Rock seawal tahun 1979 lagi. 10 tahun kemudian, Alang telah menyertai SYJ dan dikatakan layak sebagai pewaris sah SYJ manakala Fancy telah mendapat keizinan hakmilik Sofea dari Man Rani untuk legasi Sofea setelah meninggalkan SYJ pada tahun 1987.

Sudah bersediakah anda semua? Untuk semua fans berat muzik Rock, kosongkan jadual anda pada tarikh 13 Julai, sesuatu yang anda tidak akan dapat 2x, jangan lepaskan peluang sekali seumur hidup ini. 1 pentas dikongsi 2 legenda gergasi. “Konsert ini bukan sekadar 1 acara, namun juga kami janjikan sebuah perayaan legasi yang lahir dari nama keutuhan dan kegemilangan SYJ dan Sofea sepanjang penglibatan kami dipersada muzik rock tanahair.” tutur Fancy penuh bersemangat. “Kami ingin penonton yang hadir merasai sendiri feel sebenar konsert Rock dalam semua aspek dengan menyaksikan sendiri perintis genre ini di atas 1 pentas – malam yang takkan terlupakan.” 

Elemen surprise bakal terwujud apabila kombinasi kedua-dua band ini bersatu di atas pentas menyanyikan sebuah lagu bersama-sama pada penghujung konsert. Rata-rata peminat yang hadir pada sidang media petang itu telah dapat merasakan sedikit sebanyak aura lain macam untuk konsert kali ini. Setiap ahli line up SYJ dan Sofea komited hadir pada petang itu demi menjanjikan yang terbaik menjelang 13 Julai nanti.

Pembelian tiket boleh dilakukan dengan menghubungi Mentari Merah (019-2407994) dan Chip Malaya (019-6947784) secara langsung. Tiket berharga RM90 sahaja (bagi 100 pembelian terawal akan mendapat poster) manakala Tiket Pakej VIP berharga RM180. Pakej termasuklah Tshirt, Tag Lanyard, Poster dan Makanan Ringan.  

Apa tunggu lagi? SYJ dan Sofea dah teruja dan tak sabar tu, korang bagaimana?