Spider Cetus Inspirasi Single 'Keluar Sarang' Usai Kejayaan Konsert

oleh: zizi hashim

Menggunakan tajuk yang sama dan akan dimuatkan dalam album kompilasi serta album penuh yang akan datang, Spider mengakui 'Keluar Sarang' adalah single terbaru yang dicetuskan dan terinspirasi dari kejayaan Konsert Solo Keluar Sarang pada 22 Jun 2024 yang lalu. Lagu ciptaan Tam manakala lirik oleh Keon menjadi taruhan Spider setelah hampir 8 tahun tidak menghasilkan apa-apa material terbaru. Terakhir adalah album ke-6 mereka iaitu 'Ankabut' pada tahun 2016, Spider lebih banyak menyepikan diri sehinggalah mereka nekad untuk 'keluar sarang' bagi berentap semula dalam era muzik masakini.

Selari dengan nawaitu untuk mengekalkan nama Spider sebagai kumpulan rock muzik Malaysia yang sentiasa evergreen di hati peminat setia mereka sejak album pertama "Ngam Ho" (1999) yang meledak dengan lagu-lagu popular seperti "Relaku Pujuk", "Aladdin" dan banyak lagi. Memang sudah tiba masanya Spider menghamburkan bisa dengan sesuatu yang segar dan bernafas baru.

Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment bakal menerbitkan album kompilasi dan album baru Spider yang merupakan projek selanjutnya dari mereka setelah usai Konsert solo 'Keluar Sarang' baru-baru ini. Single ini dirakamkan dengan menerapkan bunyian efek elektronik di dalam susunan lagu bagi mengikuti arus perubahan muzik perdana. 

Spider sendiri bertindak selaku Produser dan Penyusun Lagu, dimana Tam (vokal/gitar), Aie (dram), Pown (gitar) dan Is (bass) turut terlibat menyumbang dalam rakaman lagu di bahagian muzik. Namun Nafie (gitar) telah direhatkan sementara kerana berhadpan dengan masalah kesihatan, telah dikejarkan ke hospital baru-baru ini akibat serangan stroke. Update terkini tentang Nafie, beliau masih di hospital menjalani pembedahan otak. Didoakan semoga Nafie cepat sembuh dan kembali bersama Spider tidak lama lagi.

Terkini Spider dikhabarkan sedang sibuk berhempas-pulas memerah idea dan bertukang di dalam studio untuk menyiapkan lagu-lagu  hits terbaik bagi album baru yang memakan masa 8 tahun untuk kemunculan semula. Oleh itu, single 'Keluar Sarang' adalah klarifikasi pengenalan sebelum album sepenuhnya berada di pasaran dan menemui peminat setia mereka. Kesemua line-up Spider meletakkan harapan tinggi agar album baru mereka ini nanti dapat terus menangkap hati para peminat di luar sana yang sentiasa menantikan materi segar dari mereka.

Sepertimana lagu-lagu hits terdahulu mereka, Dato' M. Nasir akan kekal sebagai penasihat album Spider yang terbaru nanti. Masih setia bersama Luncai Emas, single 'Keluar Sarang' akan diedarkan secara digital oleh Sony Music Malaysia. Kini boleh didapati di platform YouTube dan penstriman digital. "Keluar sarang, jiwaku kental bagaikan hero!"