Sinergi Kreatif Kolaborasi 2 Jenama Ikonik Perkenal Sut Terbaru Keluang Man

oleh: zizi hashim

Transformasi paling signifikan dalam sejarah karektor Keluang Man telah diperkenalkan dalam rekaan terbaru sut rasmi pada majlis pelancaran baru-baru ini pada 23 Ogos 2024. Introduksi yang menyaksikan perubahan dari sudut warna dan rekabentuk topeng sekaligus memberi nafas baru pada ketrampilan terbesar sejak watak penuh fenomena itu diperkenalkan. Sememangnya sejak Astro Shaw mengumumkan tentang filem Keluang Man, antara yang menjadi tanda tanya terbesar di kalangan peminat adiwira adalah sut Keluang Man itu sendiri.

Lebih menarik lagi, sut rasmi yang diperkenal bagi versi filem itu akan membuat penampilan umum buat pertama kali bersama Keluang Man pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos nanti. Filem Keluang Man mempunyai kekuatannya tersendiri dimana naskhah tersebut membuka ruang untuk tampil dengan pelbagai aktiviti dan kolaborasi menarik. Pada majlis yang sama, Astro Shaw dengan bangga turut mengumumkan 'Wonda Kopi Edisi Kluang'; satu kolaborasi yang memberi pengalaman berbeza kepada penonton filem. Dalam masa yang sama menjadi penanda permulaan dalam usaha menjadikan filem tempatan sebagai platform terbaik untuk kolaborasi penjenamaan yang lebih kreatif dan berinovasi.

Gabungan 2 jenama ikonik tempatan ini bersatu dalam kolaborasi yang membangkitkan teruja. Astro Shaw bersama salah satu jenama kopi sedia diminum (RTD) terkemuka di Malaysia, Wonda Coffee dengan bangga telah melancarkan edisi terkini yang boleh didapati di seluruh negara. Usahasama ini turut meraikan rasa kaya pecinta kopi yang digemari oleh rakyat Malaysia. Keluang Man bukan sekadar superhero animasi legenda, tetapi dalam masa yang sama turut membawa lambang budaya. Begitu juga dengan Wonda Coffee yang terkenal dengan rasa asli Malaysia dan sangat dekat di hati masyarakat.

Secara tak langsung, identiti Malaysia diraikan dengan kombinasi 2 jenama simbolik ini dan kedua-duanya berhasrat dapat mencipta lebih banyak momen yang mengujakan kepada penonton. Pada majlis pelancaran tersebut, ditampilkan juga video komersial eksklusif 'Wonda Kopi Edisi Kluang' yang berdurasi selama 30 saat dibawah arahan sutradara berbakat besar, Ezrie Gazali. Video tersebut boleh ditonton di platform media sosial Gempak serta TV komersial.

Kerjasama strategik bersama Wonda Coffee bertujuan memberi pengalaman menyeronokkan dan menyemarakkan lagi keterujaan peminat terhadap filem ini yang direncanakan tayangan pada 2025 nanti. 'Wonda Kopi Edisi Kluang' menampilkan watak Keluang Man di tin minuman dan juga menawarkan rasa kopi susu dengan Tongkat Ali yang pastinya memikat selera penggemar minuman kopi tempatan. Edisi ini adalah penghormatan kepada budaya kopi Kluang yang terkenal, menawarkan rasa yang mencerminkan tradisi kopi bersejarah di daerah tersebut.

Sangat dikenali dengan keharuman aromatik yang mendalam, kopi gaya Kluang telah menjadi tunjang kehidupan setempat dan perhimpuan komuniti selama beberapa generasi. Disuntik dengan khasiat bertenaga Tongkat Ali, kopi ini melambangkan kekuatan superhero Malaysia, mendorong peminat kopi mempunyai semangat wira dalam diri mereka.

Filem aksi superhero ikonik Malaysia yang paling dinanti-nantikan, Keluang Man terbitan Astro Shaw telah memulakan penggambaran secara rasmi mulai 4 Mei lalu dan baru sahaja usai sessi penggambaran dan kini dalam fasa post produksi. Penggambaran dijalankan di sekitar Lembah Klang serta lokasi yang amat sinonim dengan animasi Keluang Man iaitu Kluang, Johor.

Sementara menantikan filem Keluang Man ditayangkan, peminat setia serta penonton generasi baru boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga. Keluang Man menjalin kerjasama strategik pemasaran bersama WONDA Coffee, nantikan filem adiwira ikonik Malaysia yang akan menemui penonton di pawagam pada tahun 2025.