Showcase 'Misha Omar Back To Basic' Tunai Doa Dan Mimpi Peminat Setelah Hiatus 3 Tahun

oleh: zizi hashim

Saat mengumumkan persembahan solonya yang bakal diadakan pada hujung tahun 2024 ini, Misha Omar sebenarnya sedang menunaikan doa dan mimpi para peminat yang merindukannya. Setelah persembahan kali terakhir yang dilakukan di pentas berprestij, Istana Budaya pada 2021, Misha Omar selesa memegang status hiatus selama jangka waktu 3 tahun daripada konsert solo pertama tersebut dan Misha Omar tetap memilih sebuah panggung kecil namun dijangka akan penuh intim berbanding beraksi di pentas konsert nan megah.

“Sebagai penghibur yang sudah lebih 2 dekad berada dalam belantika muzik malah masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran." cetus Misha perlahan sambil mengukir senyum. “Ironi-nya, saya sendiri seorang penyanyi yang tidak terlalu mementingkan soal sudah berapa lama bergelumang dalam industri maka perlu bikin konsert tapi lebih memilih melakukan kerja secara berperingkat."

Justeru, showcase yang diberi gelar 'MISHA OMAR BACK TO BASIC', persembahan yang sekian lama dinantikan itu bakal berlangsung pada 21 DISEMBER 2024 di ODEUM AT JIOSPACE, PETALING JAYA bermula pukul 8.30 malam, bukan dalam skala besar, sebaliknya lebih berbentuk apresiasi buat peminat yang tidak pernah berpaling daripada mendukung 2 dekad kariernya. Malahan showcase 'MISHA OMAR BACK TO BASIC' juga akan menjadi ‘pemanas’ kepada sebuah konsert berskala besar yang menjadi impian emas seorang Misha Omar pada waktu mendatang.

“Mengapa 'MISHA OMAR BACK TO BASIC SHOWCASE' berskala kecil bukan sebuah konsert mega adalah kerana saya suka untuk memulakan sesuatu dengan langkah kecil sebelum mencetak sejarah yang lebih besar. Showcase ini juga saya adakan khas buat peminat yang sentiasa bertanya mengenai bila saya akan menghiburkan mereka secara langsung. Mana tahu bermula dengan showcase yang berskala kecil ini menjadi ‘pintu’ menuju konsert mega pada masa akan datang? Kita doa bersama.” ujar Misha Omar yang memiliki katalog lagu-lagu hits termasuk yang terkini, "Masihkah Ada Rasa Itu"

Menjelaskan lebih lanjut mengenai konsep showcase yang dianjurkan Double M Productions ini, Misha akan menghiburkan peminat selama 90 minit dengan iringan pemuzik yang berprofil tinggi. Bintang berusia 42 tahun yang menggunakan khidmat Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal meletakkan tanggungjawab pengarah muzik kepada Ayop Azril bersama sembilan pemuzik di bawah pimpinannya. Jennifer Thompson diberi kepercayaan selaku pengarah konsert sementara Simon Khoo menggalas tugas pengarah teknikal.

Pada malam nan indah itu, Misha hanya mahu ‘bersenang-senang’ bersama peminat dengan seleksi tembang yang akan mengejutkan. “Alasan di sebalik pemilihan nama 'MISHA OMAR BACK TO BASIC SHOWCASE' juga punya signifikan tersendiri dengan konsep persembahan malam tersebut. Ia seperti pulang kepada asas. Saya akan membawa peminat pulang ke saat seorang Misha Omar baru mahu mencetak nama sebagai penyanyi selepas pertama kali mengikat kontrak bersama syarikat rakaman besar pada tahun 2002. Bagaimana saya sangat menghargai momen menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan lagu-lagu cover milik penghibur lain yang telah memberi saya kepercayaan dan inspirasi untuk terus berkarya.

“Selebihnya saya senang merahsiakannya dahulu tetapi yang pasti kejutan luar biasa sudah saya siapkan buat peminat yang hadir ke ODEUM AT JIOSPACE, PETALING JAYA  pada 21 DISEMBER 2024.” jelas Misha penuh bersemangat dan penuh harapan.

Untuk itu, buat peminat yang telah lama berdoa dan bermimpi melihat Misha Omar kembali ke panggung menghiburkan khalayak dengan lunak merdu vokal dan ciri khasnya sebagai seorang penyanyi, MISHA OMAR BACK TO BASIC SHOWCASE  adalah momen yang ‘berdosa’ untuk dilepaskan.

Pastikan anda mendapatkan tiket-tiket dengan harga RM288 (CAT 2- free standing), RM338 (CAT 1- free standing), RM388 (Mezzanine- numbered seat), RM488 (VIP: Numbered seat ~ with Photo Session Pass)  di platform JIOTIX : https://www.jiotix.asia/ 

Tiket akan mula dijual pada 27 November 2024, pukul 10 pagi. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi +6011-51003111 (teks Whatsapp sahaja) dan emel ask@jiotix.asia.