oleh: zizi hashim
Siapa yang tidak kenal pada 'all girls band' pertama di Malaysia (diiktiraf oleh Malaysia Book of Records) yang pernah bikin sensasi hampir 3 dekad yang lalu dengan kejayaan lagu mega hits "Akan Ku Tunggu" yang sehingga kini masih menjadi siulan segenap generasi, tak kira tua atau muda. Melodi catchy bernuansa Rock Alternatif yang sekaligus mempopularkan nama Candy, band asal Kuching, Sarawak yang dibarisi gadis-gadis muda dan cantik 'sedap mata memandang', lantas mencipta fenomena mereka tersendiri pada era 90an. Ketika muzik Rock tanahair didominasi oleh majoriti rockers lelaki, nama Candy sememangnya kecoh diperkatakan kerana memecah tradisi Rock yang pada ketika itu hanya ada ratu rock Ella seorang mewakili rockers wanita.
Rasanya sudah sekian lama Candy hiatus dan sunyi sepi tanpa sebarang material, sejak album terakhir CANDY HOT pada tahun 1998, meski masih aktif menjayakan persembahan di mini-mini gig, di kelab malam atau memenuhi jemputan festival muzik, program TV dan sebagainya. Candy kini buat kejutan dalam 'kemanisan gula-gula' terbaru mereka di beri judul "Setia2u" bakal memeriahkan kembali industri muzik tanahair. Lagu yang sangat ditunggu-tunggu sejak 27 tahun lamanya ini memperdengarkan ciptaan komposer hebat Edrie Hashim yang juga berperanan sebagai produser, dengan lirik puitis hasil tulisan Izuan Shah. Apa yang lebih menarik ialah proses rakaman "Setia2u" diproduksi di Studio Neo Gendang, menjanjikan kualiti audio yang mantap dan energetik.
Bernaung di bawah Neo Gendang Records, kini Candy tampil lebih segar dengan barisan line-up mantap yang terdiri dari Patricia Robert (gitar/vokal), Nancy Graggory Dullie (bass), Anis Kalisa (lead gitar), dan Bulan Terry (dram). Dua dari line-up asal sejak tertubuhnya Candy dengan menggunakan nama G-Saphia pada tahun 1996 ialah Pat dan Nancy yang masih cantik jelita, tidak sedikit pun dimakan usia. Pat dan Nancy sepakat bersatu meneruskan perjuangan muzik Candy yang masih dicari-cari peminat setia mereka. Pencarian line-up baru direkrut bersama oleh Pat dan Nancy, bersambut baik oleh Anis Kalisa yang diberi tanggungjawab menggalas posisi gitar utama.
Anis Kalisa memecahkan dominasi dalam dunia rock apabila majoritinya terdiri dari lelaki. Terlibat dalam penampilan istimewa Konsert 7 Vibrato Gitar bersama gitaris legenda Kid Search, Jo Branko dan Shah Slam, Anis mempamerkan bakat luar biasanya, membuktikan kehebatan sebagai salah seorang pemain gitar terkemuka Malaysia. Dikenali dengan riff yang menggetarkan dan kedalaman emosinya, dia kini membawa tenaga yang tidak dapat dihentikan ke dalam Candy. Dengan kecantikan, keghairahan dan kemahiran gitar 'membunuh', Anis bersedia untuk menggegarkan pentas dan rockin' bersama Candy.
Kekosongan di posisi dram memberi kesempatan kepada Pat dan Nancy untuk melamar si cantik manis, Bulan Terry yang begitu teruja berpeluang menjadi sebahagian dari perjalanan muzikal Candy. Bulan Terry pernah membintangi filem 'Rock 4' pada tahun 2020 sememangnya merupakan seorang pemain dram berbakat besar yang sangat sesuai mencipta kemistri baru bersama Candy. Kehadiran Bulan di dalam Candy memberi impak besar terutama dari kalangan peminat baru yang terpesona dengan karya Rock Alternatif Candy yang bervariasi dan tergabung dalam karektor khas masing-masing.
"Setia2u" membawakan kisah menyentuh hati tentang persahabatan, suka duka dan jatuh bangun bersama, serta mengingatkan akan sahabat lama yang hilang dek kesibukan komitmen masing-masing. Acah acah happy dan konon konon takde worry. Dengan susunan muzik Rock Alternatif yang tetap mempertahankan gaya signatur Candy, lagu ini pasti akan membangkitkan nostalgia dan menghidupkan kembali kenangan indah baik bagi penggemar lama mahupun yang baru. Pasti ramai rockers akan teruja dengan genre muzik yang sekian lama menjadi cerminan identiti Candy dikekalkan dalam comeback yang manis dan menyegarkan ini.
Bagaikan adik-beradik, Pat, Nancy, Anis dan Bulan bersama-sama sudah siap sedia memberi kejutan dan memukau pendengar dengan muzik yang lebih energetik dan penuh jiwa! Bagaimana dengan anda? Sudah siap-sedia untuk dilanda gelombang rock Candy yang paling terkini? Jom check it out muzik video ini...