Semangat “Rock Never Dies” Beri Inspirasi Hasilkan Album Kompilasi

oleh: zizi hashim 

Apabila muzik Rock terus menjadi inspirasi yang takkan pernah mati, semangat membara kekal tebal dijiwa, maka terlahirlah sebuah album kompilasi. Bukanlah sesuatu yang mudah, maka wajar diberi sekalung tahniah buat FGI Entertainment dan Melissa Records di atas usaha tak kenal lelah sehingga terhasilnya kompilasi lagu berpaksikan Rock sejumlah 20 buah. Gabungan 2 generasi, lama dan terkini, menampilkan barisan musisi yang terdiri dari Melissa Band, Roots N Boots, The Alif Ft Marionexxes, Bahtera, Sons of Adam, The Voltage, Senna, X-Ternal, Zubira, Korokodel, Crossover, Bumantra, Flow, Burntara, Exit, Spit It Out Time, Manusia, Lemon T, Xnergy dan Meditasi.

Ketara tampil dengan membawakan vibes kegemilangan muzik Rock yang begitu menyerlah dari segi hasil karya, lenggok kata dan nada, ritma bahasa serta seni irama antara sebab album kompilasi ini berada dalam aberasi kelas Rock yang tersendiri. Sejak awal bulan Jun lagi, setiap band telah mengambil langkah-langkah promosi dan inisiatif berdikari menjual sendiri, telah mencapai lebih sasaran awal dan terjual lebih dari 800 unit CD (beserta pendrive) sehingga kini. Naskhah unik ini gigih diusahakan penuh strategik oleh Ajak Melissa dan Puzi Aisunam dalam memastikan band-band ikonik terus giat menghasilkan muzik.

Satu majlis sidang media telah berlangsung pada malam 30 Jun 2024, bertempat di Restoran Asam Pedas London, Bandar Baru Selayang (penaja lokasi dan hidangan) bagi mengumumkan kelahiran album kompilasi ROCK NEVER DIES yang telah pun berada dalam genggaman para pecinta muzik Rock tanahair. Kehadiran vokalis tersohor Dato’ Awie datang untuk merasmi benar-benar dihargai dan menjadi penambah seri. Wakil pemimpin DUN Taman Templer Selayang juga tidak ketinggalan menghadirkan diri tanda sokongan padu diberi.

“Saya berasa gembira dapat bersama semua pada malam ini untuk merealisasikan impian saudara Ajak membuat kompilasi ROCK NEVER DIES ini. Saya melihat dari awal semangat saudara Ajak yang tak putus-putus untuk bergerak dalam industri. Oleh itu, saya ucapkan tahniah dan teruskan berjuang. Saya juga doakan Melissa cepat dapat seorang penyanyi yang baik, yang boleh sama-sama membawa nama Melissa ke persada yang lebih besar lagi.” ujar Dato’ Awie pada ucapan perasmiannya malam itu. Berasa terharu dapat bersama Abg Rom ROTTW dan Abg Lord Lokman serta yang lain-lain, Dato’ Awie juga sempat menitip pesan nasihat buat pelapis baru agar sentiasa fokus kepada matlamat dan berkarya secara sihat. 

“Sekarang sudah bergelar artis, jangan sekadar 1 lagu ini sahaja. Fikirkan langkah seterusnya yang perlu diambil untuk menjadi seorang pemuzik dan penghibur yang bagus. Mesti rajin usaha dan rajin prektis! Jangan syok sendiri.” tambahnya lagi. “Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, dengan ini saya merasmikan ROCK NEVER DIES!” kata-kata itu disambut tepukan dan sorakan dari semua yang hadir. Kesemua 20 line-up band yang terlibat, termasuk dari negara jiran Singapura berkumpul muafakat. Meriah dengan 200 tetamu yang lain hadir terdiri dari jemputan khas media dan influencer yang sama-sama memperjuangkan muzik Rock tanahair.

Nama-nama seperti Sons of Adam, Melissa Band, Lemon T dan Meditasi adalah antara band otai yang masih aktif dipersada seni. Manakala The Flow dan Korokodel mewakili Singapura sebagai tanda muzik Rock juga popular dan diminati di sana. Ada juga band yang lahir dari pecahan band lama seperti Exit yang wujud sejak 1985, Bahtera yang pernah kontroversi album kena gam di suatu ketika dan pembentukan band baru X-Ternal terhasil dari pecahan dan gabungan semula Lee Viper. Selain itu, nama-nama baru seperti Bumantra, Crossover, Xnergy, The Voltage, Zubira, Senna dan Burntara juga tidak kurang hebat. Spit It Out Time mewakili genre Punk Rock sementara Roots N Boots pula dikenali dengan genre Street Rock pernah popular dikalangan pecinta muzik Oi dan skinhead. Tak lupa juga band indie seperti The Alif ft Marionexxes yang kreatif dan ekspresif.

Setiap satu lagu yang tersenarai dalam album kompilasi ini menawarkan mood segar nuansa Rock dalam melodi baru yang catchy, mudah faham dan hadam serta sing-along. Meletakkan harapan tinggi terhadap album ROCK NEVER DIES, Ajak Melissa menekankan bahawa beliau tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik yang berubah mengikut zaman. Sesuatu harus dilakukan bagi memastikan muzik Rock kekal relevan dan tidak terus mati.

Yakin dengan ciri khas muzikaliti dan karya lagu-lagu terkini dalam album kompilasi ini, jom kita sama-sama dengar dan hayati sediri lagu-lagu seperti “Politik”, “Halal”, “Hey Bro”, “Si Bunga Kota”, “Aku Lelaki”, “Serahan Jiwa”, “Sendiri Aku Di Sini”, “Terus Lah Lantak Lah Buat Lah”, “Jiwa Rock Kapak” dan banyak lagi. Terdapat juga sebuah lagu instrumental “Taufan Ganas” dari Manusia. Cd dan pendrive berharga RM50 sedang diulang cetakan kedua, boleh dibeli secara langsung dari Puzi Aisunam pada talian 0 19-6564842 atau hubungi mukabuku Rock Never Dies di www.facebook.com/rockneverdies.my

Turut diumumkan pada malam itu tentang Konsert ROCK NEVER DIES yang direncanakan bakal diadakan pada tanggal 10 Ogos 2024 bertempat di Warisan Hall Studio. Tiket akan dijual pada harga RM50. Tempahan tiket sudah boleh dibuat menerusi band-band yang bakal beraksi dipentas konsert itu nanti. Terhad untuk 300 penonton sahaja.

foto kredit: pa pa din