oleh: zizi hashim
Khabar gempita menyapa buat semua apabila 3 gitaris rock legenda, Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie, bakal merentas negara dan buat pentas meronta untuk julung kalinya pada tanggal 25 Januari 2025 dalam kemuncak Konsert ROXtheNATION. Bergabung tenaga dalam nyala rasa keutuhan muzik Rock bergelora bakal menggegar sebuah menara. Projek usahasama di antara Menara Kuala Lumpur, FAR Worldwide sebagai penganjur konsert dengan SU.RE Sihat KL (Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur) ini disifatkan sebagai impian jadi kenyataan. Ellie G selaku Pengerusi Projek berkata, impian ini sekian lama tertunda, namun akhirnya terlaksana menerusi kolaborasi 3 figura dari 2 negara serumpun iaitu Malaysia dan Indonesia, direncanakan bakal meledak energi membara yang luarbiasa.
"Gegaran ROXtheNATION bakal terdengar di kota, desa, hingga ke pelosok luar pada satu malam, satu irama dan satu semangat Rock membangkitkan jiwa-jiwa yang dahagakan kegemilangan muzik Rock dalam ertikata sebenar, terjemahan manifestasi penyatuan ikon legenda yang bergelumang dalam industri muzik selama 4 dekad." sambungnya lagi penuh ambisi ketika ditemui pada sidang media baru-baru ini. "Seleksi pemilihan Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie dibuat berdasarkan kriteria semulajadi yang terdapat pada 3 gitaris legenda ini dari segi sentuhan berbisa yang masih kekal sehingga kini, menjadikan integrasi unik ini cukup magikal." Kata-kata itu disambut senyuman oleh Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie yang diterbangkan khas dari Indonesia demi menghadiri sidang media petang itu.
Dalam pada itu, Man Keedal turut diberi tanggungjawab menggalas tugas penting sebagai Pengarah Konsert & Muzik dengan tujuan untuk memantapkan penganjuran, selain Samsul Kamal (Penolong Pengarah Projek), Jerry Hend (Pengarah Keatif), Mewah Event Management (Promosi) dan ilasso Tickets (Pengurusan Jualan Tiket). Berusia 61 tahun, Man Keedal cukup dikenali sebagai salah seorang peneraju muzik Rock tanahair yang mula mencipta nama bersama Lefthanded yang diasaskannya pada 1983. Manakala JoBranko, 55 tahun pula merupakan pemain gitar utama Wings sebelum menubuhkan Barbarik. Paling senior adalah Eet Sjahranie di usia 62, masih tampak energetik dan sangat antusias. Pemuzik kelahiran Bandung yang lebih dulu mencipta nama bersama band rock terkenal Indonesia, God Bless sebelum meneruskan perjuangan muziknya bersama band Edane.
“Baik individu, mahu pun berkumpulan, kolaborasi julung kali Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie ini memperlihatkan keunikan ROXtheNATION yang dijangka meraih kehadiran fizikal sehingga 3,000 peminat, sekali gus menjadi jenama ikonik bagi para pemuzik legenda.“ Kebetulan ketiga-tiga mereka juga adalah gitaris rock dan ia menyempurnakan lagi konsert ini.” kata Ellie G lagi sambil turut mengumumkan hadiah sebuah motosikal Harley Davidson menanti audiens bertuah ROXtheNATION. “Selain sebuah motorsikal Harley Davidson yang identik dengan genre muzik rock yang disediakan sebagai hadiah untuk audiens bertuah, ada acara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) akan disertai 3 ikon ROXtheNATION.“ CSR ini antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa melalui muzik, berkolaborasi antara 2 negara, semakin memperkuat persahabatan negara serumpun ini, iaitu Malaysia dan Indonesia.” tambahnya.
Majlis sidang media dan pengumuman Konsert ROXtheNATION dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan artis dari band yang mewakili 3 gitaris legenda itu iaitu Man Keedal bersama band Waris, Jo Branko bersama Barbarik dan Eet Sjahranie bersama Edane. Hadirin turut dihidangkan dengan persembahan bonus dari band Waris pada pembukaan majlis menerusi lagu "Semangat Lamina", penampilan istimewa Fuad Rahman di bahagian vokal. Seterusnya ketiga-tiga legendaris menakluk pentas dengan sessi jamming yang mempertontonkan kehebatan skill dan teknik gitar masing-masing yang luarbiasa hebat dan sempat membuat hadirin tercengang dan terpinga-pinga. Suasana hangat menyuntik aura tidak sabar menanti konsert yang bakal berlangsung pada 25 Januari 2025 itu nanti.
Justeru melihat persembahan berapi tersebut, Ellie G tidak menolak kemungkinan ROXtheNATION menjadi acara tahunan yang memanfaatkan industri, apatah lagi dengan edisi sulung ini yang telah direalisasikan oleh Menara Kuala Lumpur, sekaligus menyemarakkan lagi industri pelancongan negara. "Ramai yang tanya kenapa saya tak bawa Lefthanded ke konsert ini. Saya ada terfikir dan telah pun mengusulkan idea itu kepada Dato' Nash dan juga Ramli Sarip, sayangnya mereka berdua sudah terikat dengan komitmen lain pada tarikh konsert itu nanti." cerita Man Keedal menjawab persoalan yang bermain di fikiran peminat. "Oleh sebab itu, saya perkenalkan band Waris yang telah saya gilap selama 3 tahun sebagai pelapis generasi baharu untuk terus memartabatkan muzik Rock di persada industri. Paling saya terharu ialah apabila dapat berkongsi pentas dengan cucu saya sendiri, Adam berusia 14 tahun yang bermain dram untuk band Waris."
Sebagai menyokong usaha SU.RE Sihat KL yang kini dipimpin Presiden, Shameem Akhtar Mohd Ashraf, Ellie G juga mengumumkan bagi setiap tiket terjual, sebanyak 5% daripada hasilnya akan disumbangkan kepada persatuan berkenaan. Ditubuhkan pada Julai 2019, SU.RE Sihat KL bertujuan menggalakkan penduduk ibu kota, khasnya mengamalkan kehidupan yang lebih aktif dan kreatif dalam mencapai tahap kesihatan yang baik.
“Penajaan oleh Farmasi, iaitu sebuah jenama kecantikan yang dibangunkan di Turki, juga membolehkan peminat berhibur sambil beramal apabila 5% daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada persatuan, sama ada menerusi pembelian produk Farmasi Shield Man atau tiket konsert.” ujarnya lagi menutup bicara pada petang itu.
Tiket dijual pada harga RM188 (Silver), RM288 (Gold) dan RM388 (VIP), manakala hanyaRM30 ditawarkan bagi tontonan secara Live Streaming. Pra jualan tiket secara dalam talian dibuka mulai 26 November, manakala penjualan biasa bermula 15 Disember ini. Sila layari www.ilassotickets.com untuk pembelian tiket.
Foto Kredit: Pa Pa Din