oleh: zizi hashim
“Rock Warrior Music Festival adalah satu platform baru yang tersedia untuk memberi ruang kepada pemuzik-pemuzik yang sekian lama bertapak dalam industri, dan pada masa yang sama memberi peluang kepada pemuzik-pemuzik baru. Ini adalah platform yang kami rencanakan untuk dibuat pada setiap tahun. Dan, kami juga ingin memperagakan semua bakat-bakat baru yang kami rasa berkebolehan untuk diketengahkan. Disamping mencari talenta baru bagi mewarnai serta menjadi pelapis kepada yang senior." ucaptama Dato' Awie selaku penganjur konsert dibawah selenggaraan Rumah Produksi Merah yang diberi gelar Rock Warrior Music Festival (RWMF) pada sidang media khas bertempat di Ruang PJ baru-baru ini.
“Itulah platform Rock Warrior Music Festival. Sekarang kami sedang memilih band-band baru dan juga band-band lama yang ingin bangkit kembali, yang saling ada untuk sama-sama memeriahkan Rock Warrior.” sambungnya lagi. "Kelangsungan industri muzik perlu diteruskan dan penganjuran Rock Warrior Muzik Festival ini adalah salah satu usaha Rumah Produksi Merah untuk memeriahkan kembali suasana era kegemilangan muzik Rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik Rock."
Rock Warrior Music Festival akan berlangsung pada tanggal 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, menjanjikan pengalaman muzik yang tiada tandingan bagi semua penggemar genre muzik rock. Edisi perdananya akan membuka tirai dengan menampilkan barisan artis rock ternama tanahair dengan menampilkan dominasi nama-nama kuasa besar muzik Rock seperti Wings, Search (Kid & Din) dan XPDC Militia. Tidak ketinggalan turut serta adalah Spider, Pop Shuvit dan A.C.A.B. Kesemuanya akan membawakan lagu-lagu hits dari era kegemilangan rock sehingga era masakini.
Kehebatan nama-nama pemuzik legenda seperti Din dan Kid Search yang sinonim dengan gelaran 'Kid Din' sedikit pun tidak ditenggelamkan oleh kecanggihan teknologi silih berganti berikutan peredaran zaman. Begitu juga halnya dengan nama-nama besar lain seperti Wings, XPDC dan May yang masih kekal relevan dalam industri hiburan tanahair dan terus merajai hati peminat. Berikutan situasi itulah justeru memberi cetusan idea segar kepada Rumah Produksi Merah milik lagenda rock tanahair, Dato’ Awie bagi menganjurkan Rock Warrior Music Festival yang diklasifikasikan sebagai satu acara muzik epik yang akan menghimpunkan band rock tanahair dalam satu persembahan bertenaga dan penuh nostalgia.
Menurut Dato' Awie lagi, Rock Warrior Music Festival adalah platform terbaik buat band rock baharu untuk menonjolkan bakat sekali gus memperkenalkan lagu dan karya mereka. “Ini juga satu perkumpulan rock atau Rock United kerana kami panggil semua yang termampu ketika ini. Insya-Allah tahun depan kita akan besarkan lagi dan tambah lagi. Kita akan bawa dari Singapura, Indonesia dan mana-mana negara jiran untuk bersama-sama. Sekarang ini kita kumpulkan dari Malaysia dan Singapura dahulu. Insya-Allah tahun depan jika ada rezeki kita buat lebih baik. Saya percaya festival ini akan menjadi titik utama yang mencorakkan semangat kesatuan dikalangan peminat muzik, sama ada mereka adalah golongan terdahulu yang sudah lama menggemari genre rock atau golongan terkini yang baru bersuara dalam dunia muzik ini." katanya penuh teruja.
Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, mengkagumkan penonton, serta memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada dunia. “Dengan adanya penekanan yang diberikan oleh festival ini terhadap kepelbagaian bakat dikalangan penyampai lagu rock, ia memperlihatkan komitmen sebenar pihak penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan. Dalam Rock Warrior Music Festival, kita juga menyediakan pelbagai gerai-gerai jualan dan ada juga tarikan untuk kanak-kanak. Ini sebenarnya lebih kepada karnival tapi kami jadikan sebagai festival, sebagai tarikan kepada semua golongan masyarakat. Yang tua akan dapat kembalikan balik nostalgia mereka. Yang muda akan dapat pengalaman baru."
Vokalis kumpulan Wings ini juga menyatakan bahawa festival ini adalah satu penghargaan kepadapeminat setia muzik rock di Malaysia. Rock Warrior Music Festival bukan sahaja menjadi acara hiburan yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat-peminat muzik, tetapi juga menjadi tonggak penting yang mendokong perkembangan industri muzik rock di negara ini. “Diharapkan festival ini akan terus menjadi mercu tanda yang membawa kegemilangan kepada muzik rock, serta menjana inspirasi dan semangat yang berterusan dikalangan peminat muzik tanahair.” katanya. “Rock Warrior Music Festival adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir.”
Selain persembahan muzik penuh energetik, Rock Warrior Music Festival juga menawarkan aktiviti sampingan untuk menambah kemeriahan acara. Pelbagai vendor merangkumi gerai makanan dan minuman, serta produk gaya hidup rock seperti aksesori, barangan eksklusif dan lain-lain lagi turut disediakan. Tidak ketinggalan terdapat juga pengisian untuk hiburan keluarga. Tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke festival ini. Rock Warrior Music Festival turut memperkenalkan Pentas Rock Hero yang menampilkan 24 band dimana satu hari 12 band akan beraksi bermula dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam. Pentas Rock Hero terletak di dalam hangar KL Base. Persembahan pada malam pertama Rock Warrior Music Festival akan diisi oleh Wings, Search KidDin dan XPDC Militia manakala malam kedua menampilkan May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B. dan Ella Rockqueen.
Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/
Harga tiket untuk 2 hari iaitu Gold (seated) RM250, Silver (standing) RM200 dan Bronze (standing)RM150. Menariknya, pembeli tiket RM150 dibolehkan membawa kerusi healing/camping untuk menyaksikan persembahan artis. Band yang ingin menyertai Pentas Rock Hero boleh menghantar demo atau video melalui e-mel rpmerah@gmail.com atau WhatsApp ke 012 – 243 9856 / 019 – 372 1756.