Rebut Hadiah Bernilai RM1 Juta Dalam Pencarian Ikon Muzik 'A Million Voice'

oleh: zizi hashim

Dibawakan khas oleh Be.Life, dianjurkan bersama MasterPay Global Sdn Bhd dan diterbitkan bersama Stallion Networks Sdn Bhd, AMV adalah sebuah kandungan berjenama pertandingan realiti nyanyian yang diperkenalkan untuk mencari bakat baharu dalam industri muzik tempatan. Dengan hadiah utama bernilai RM1 juta, AMV menawarkan peluang keemasan kepada bakat-bakat baru untuk memulakan kerjaya nyanyian mereka serta bertapak dalam industri muzik tanah air. Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Marsha Milan telah diumumkan sebagai juri dalam usaha pencarian ikon muzik Malaysia yang baru iaitu A Million Voice (AMV).

Dihoskan oleh Joey Daud, AMV menjanjikan persembahan yang penuh bersemangat, persaingan sengit dan detik-detik yang pasti memukau para penonton. Lebih menarik lagi, para peserta akan bersaing merebut hadiah utama bernilai RM1juta termasuk kenderaan EV, kontrak untuk membuat album dan konsert roadshow selama 3 tahun, dan lain lain. Pemenang hadiah utama juga akan berpeluang merakam album EP-nya sendiri, satu batu loncatan penting bagi mana-mana artis yang mengimpikan kerjaya muzik yang gemilang.

AMV bukan sahaja mencari bakat vokal malahan turut mencari penghibur serba boleh yang berpotensi besar untuk menjadi seorang ikon muzik kepada Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Marsha. Membariskan panel juri tetap yang terdiri daripada tokoh muzik legenda Malaysia - Awie, Hattan dan Marsha, peserta dicabar untuk menyampaikan persembahan yang mempamerkan keunikan suara, kualiti seorang bintang serta aura mereka ketika beraksi di atas pentas. 

Pencarian ikon muzik Malaysia baharu bakal bermula tidak lama lagi. Calon penyanyi dijemput untuk menghantar video uji bakat melalui laman web rasmi AMV. Di samping itu, AMV akan memulakan jelajah ke seluruh negara dengan mengadakan sesi uji bakat secara langsung di pusat membeli-belah utama. Peserta yang terpilih dari uji bakat ini kemudiannya bakal berentap dalam AMV ShowStar, sebuah rancangan lapan (8) episod yang akan mempersembahkan peserta-peserta terbaik dari seluruh Malaysia.

Ditemui pada sidang media di Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2024, Husnaidy Bin Ibrahim selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Pemasaran dan Pengedaran produk Belife berkata, “Apa yang membezakan 'A Million Voice' daripada pertandingan lain ialah komitmen kami untuk mencari bukan sahaja bakat vokal yang hebat, tetapi penghibur yang berpotensi untuk menjadi ikon sebenar yang bakal menggantikan Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Marsha didalam industri muzik Malaysia. Barisan juri lagenda kami iaitu Awie, Hattan dan Marsha, masing-masing telah meninggalkan impak yang berkekalan dalam persada seni muzik Malaysia, membentuk industri dan memberi inspirasi kepada jutaan orang menerusi kegiatan seni mereka."

"Melalui platform ini, kami bukan sahaja mencari bintang baharu, tetapi penyambung bakat seorang ikon masa depan kepada mereka yang boleh meneruskan legasi penyanyi-penyanyi lagenda ini.” tambah Husnaidy lagi. Peserta akan dinilai berdasarkan merit, di mana persembahan mereka akan dinilai olehpanel juri tetap dan penonton. Pertandingan ini akan mengikut format kalah mati atau knockout, dengan peserta secara beransur-ansur disingkirkan berdasarkan kualiti persembahan dan sambutan penonton. Ia bagi memastikan hanya bakat paling cemerlang yang akan kekal berada di pentas. Peserta-peserta terbaik akan dipilih daripada proses ini dan bersaing dalam pertarungan akhir untuk merebut hadiah utama. Selepas pertandingan berakhir, sepuluh peserta terbaik AMV ini juga akan berpeluang menyertai jelajah mini konsert di seluruh Malaysia dalam memberikan mereka pendedahan yang berharga.

Jelajah ini akan memberi peluang kepada finalis untuk membina pangkalan peminat atau fan base, melebarkan sayap mereka dalam industri muzik, serta mengukuhkan perjalanan mereka sebagai bintang yang menyerlah. Untuk mengikuti perjalanan ikon muzik Malaysia yang baharu serta maklumat lanjut berkenaan pertandingan 'A Million Voice' ini, boleh didapati di laman sesawangwww.amv.belife.com.my. Ia juga boleh didapati melalui media sosial rasmi AMV iaitu www.tiktok.com/@smillionvoice,www.facebook.com/beAMillionVoice, youtube.com/@amillionvoiceofficial?feature=shared