Raih 1 Billion Tontonan: Lagu "Chentaku" Nyanyian Zizan Razak Dan Sonaone Meletup

Selepas tujuh tahun dikeluarkan, lagu "Chentaku" nyanyian Zizan Razak bersama SonaOne terbitan label terkemuka tanahair iaitu Rocketfuel Entertainment telah berjaya meraih 1 billion tontonan di TikTok. Lagu yang turut mendapat sentuhan Joe Flizzow ini juga telah tular sehingga menjadi trending pada laman media sosial tersebut.

Menerusi perkongsian di laman sosial instagram Rocketfuel Entertainment, Zizan menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana lagu ini berjaya menambat hati peminat tanpa mengira latar belakang dan golongan biarpun sudah beberapa tahun dilancarkan. 

“Walaupun dah bertahun-tahun lamanya, lagu Chentaku masih lagi relevan dan ianya diterima tak kira umur dan golongan."

Selain itu, Zizan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menghasilkan kandungan dengan menggunakan lagu "Chentaku" sehingga berjaya meraih 1 Billion tontonan.

“Saya nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang buat content dengan menggunakan lagu Chentaku. Hasil daripada content-content yang dibuat tu, lagu itu berjaya mencecah 1 Billion (tontonan) yang merupakan satu angka yang sangat besar.” kata Zizan penuh teruja.

Disamping itu, menerusi laman Instagram, Rocketfuel Entertainment turut berkongsi potongan klip video TikTok para influencer dan selebriti yang turut menggunakan lagu "Chentaku" dalam video mereka. Antara yang menggunakan lagu tersebut ialah MimiLana, Syafiq Kyle, Merqeen, Leona, Imranbard, Sherry Alhadad, Nabila Razali malah Alan Walker dan ramai lagi. Dalam masa yang sama, video lirik lagu ini juga sudah menghampiri 10 juta tontonan pada saluran YouTube Rocketfuel Network selepas 7 tahun dilancarkan.

Chentaku dilancarkan pada tahun 2017 dan ianya mengisahkan seorang jejaka yang telah jatuh cinta pandang pertama dan berusaha untuk mendekati gadis tersebut. Bagaimanapun, cinta itu hanya dari jauh dan rasa malu menyelubungi diri masing-masing tatkala pertama kali bertemu.

Lagu ini telah dicipta oleh SonaOne dan Joe Flizzow bertindak sebagai penerbit eksekutif. Lirik lagu ini pula telah ditulis sendiri oleh Zizan Razak bersama Joe Flizzow. Anda boleh terus strim lagu Chentaku di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta terus menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels.