Rahang Tajam Macam 'Aiman Tino' Buat Wani Kayrie Kurang Tidur

oleh: zizi hashim

Hilang dari radar selama setahun bukanlah bermakna tidak produktif malahan tempoh hiatus itu mempersiapkan Wani Kayrie dengan tampilan single terbaru yang kembali bergema dalam nuansa 'comel' yang menerjah halwa telinga lewat lagu "Aiman Tino" dalam rentak terpaling catchy. Disesuaikan dengan trend pop global, turut diselitkan elemen kemelayuan sentuhan unik komposer Ezra Kong, hasil kerjasama erat yang terjalin di antara Rocketfuel Entertainment bersama Ezra Kong sekian lama. Membuktikan kematangan sebagai artis serba boleh, Wani Kayrie bercerita tentang naratif tema universal melalui perasaan suka atau crush terhadap seseorang yang mirip 'Aiman Tino' sebagai sekadar metafora yang dipadankan dengan melodi ceria.

"Ramai yang mungkin membayangkan lagu ini sebagai dedikasi kepada penyanyi lelaki popular dengan nama yang sama itu, namun perlu saya jelaskan bahawa 'Aiman Tino' di dalam lagu ini hanyalah sekadar simbolik cerminan imej lelaki yang bersih dan kemas. Sejenis 'boy-next-door' dalam konteks inspirasi visual dan emosi, lebih ke arah itu, bukan tentang seseorang secara spesifik." jelas Wani apabila ramai yang keliru tentang penggunaan nama artis tersebut sehingga ada yang beranggapan mungkin lagu duet Wani Kayrie bersama Aiman Tino, namun ternyata bukan. 

Sejak 27 September 2024 lalu, klip sedutan berdurasi 1 minit dari lagu "Aiman Tino" yang dilancarkan di TikTok menuai variasi beragam dan reaksi positif dari para pendengar. "Asalnya lagu santai suka-suka yang bercerita tentang perasaan suka atau crush terhadap seorang lelaki dengan imej comel yang mengingatkan kepada penyanyi Aiman Tino. Gabungan emosi memendam rasa dipadukan dengan elemen flirt yang menjadikan lagu ini lain dari yang lain." cerita Wani lagi ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu baru-baru ini. Ezra Kong memberi nyala rasa kepada lagu ini dengan memadankan rentak pop kontemporari dan usikan humor ringan serta menyuntik elemen kemelayuan di bahagian bridge lagu sekaligus membentuk identiti lagu yang tersendiri.

Petang itu, Wani Kayrie mempersembahkan "Aiman Tino" dengan energetik dan penuh rasa ceria dalam koreografi dansa catchy yang memberi refleksi matching sesuai dengan penyampaian lagu. Dalam nada vokal versatile yang fleksibel, Wani juga tampak comel dalam busana denim putih memperlihatkan imej nakal seorang gadis dalam usaha memberanikan diri untuk mengakui rasa suka pada seseorang dengan cara bercanda. Karya terbaru ini dilihat mampu menembusi pasaran lebih luas dengan penggunaan teknologi Dolby Atmos di Apple Music dimana pendengar dapat menikmati pengalaman audio yang lebih imersif.

Turut diselitkan aktiviti permainan interaktif 'mencari Aiman Tino' yang memperagakan 4 orang jejaka yang juga merupakan talenta seni naungan Rocketfuel untuk memeriahkan lagi suasana. Wani Kayrie dikehendaki memilih salah seorang dari mereka yang menepati kriteria rahang tajam, senyuman manis dan mampu buat kurang tidur. Terma yang dipetik dari senikata  lagu "Aiman Tino" itu menjadi referensi suka-suka yang mengisi acara pada petang di majlis pelancaran lagu itu. Wani kemudiannya menandatangani plak khas sempena pelancaran itu dan kemudiannya sesi fotografi berlangsung.

Cukup berpotensi untuk hits, video muzik rasmi "Aiman Tino" telah ditayangkan di saluran YouTube Wani Kayrie TV bermula pada jam 8 malam tanggal 25 November 2024. Jom check it out