oleh: zizi hashim
Apa perancangan anda menjelang malam tahun baru 2025 nanti? Pastinya pelbagai aktiviti menarik akan disusun-atur bagi menyambut permulaan tahun yang baru, dialu-alukan dengan jiwa dan minda positif, sudah tentu salah satu darinya melalui hiburan muzikal yang menggembirakan. Kebiasaannya ramai akan berkumpul bersama rakan-rakan atau ahli keluarga untuk mengira detik tengah malam 1 Januari. Itulah konsep yang ingin diketengahkan oleh penganjur konsert TGJ Entertainment dimana konsep kekeluargaan yang bukan sahaja melibatkan anak-anak muda, bahkan juga seluruh lapisan masyarakat tidak mengira peringkat usia.
Kalau belum ada apa-apa rencana, jom ramai-ramai ke 'Konsert Rentas Masa; Satu Evolusi Muzik' yang julung kali diadakan pada detik bersejarah malam tahun baru 31 Disember 2024 bertempat di Zepp Kuala Lumpur sempena perayaan wajib yang diraikan setahun sekali itu. Tutup tirai akhir tahun dengan perjalanan muzik transformatif sepanjang zaman bersama konsert komprehensif yang mengasyikkan dianjurkan khas untuk menghayati kembara merentas masa yang kaya dengan sejarah muzikal.
Dibarisi nama-nama legenda yang tidak asing lagi seperti Datuk JefryDin (era 60an), Datuk DJ Dave (era 70an), Dato' Awie (era 80an), Ziana Zain (era 90an) dan Ara Johari (era Millenium), Konsert Rentas Masa: Satu Evolusi Muzik menawarkan penerokaan susun-atur evolusi muzik, membawa hadirin ke dalam pelayaran yang menawan melalui pelbagai era dan genre. Daripada melodi yang mempesonakan zaman 60an kepada bunyi revolusi era romantis 70an, daripada irama jazz R&B berayun kepada rentak muzik rock rancak yang memicu adrenalin, kembali lagi ke irama kontemporari menggembirakan, memberi pemahaman bagaimana muzik telah berkembang dari masa ke semasa.
"Secara ringkasnya, konsert hiburan santai kekeluargaan ini dipilih bersesuaian dengan matlamat kami untuk membawa menonton menelusuri kembali dan menghayati evolusi muzik secara berperingkat meliputi irama setiap dekad dari segi gaya, genre, instrument dan teknologi yang mempengaruhi cara seni muzik dihasilkan dan dinikmati." kata Pengarah Kreatif Konsert yang juga wakil dari MM Entertainment, Mr. Ovie ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert pada 7 November 2024 bertempat di Padi House, BBCC Hub Lalaport baru-baru ini.
"Pemilihan artis dibuat berdasarkan era kegemilangan muzik, kredibiliti dan populariti mereka selaras dengan usaha untuk menggabungkan 5 figura tersohor ini buat pertama kalinya dalam konsert berskala besar yang pastinya akan menggegarkan malam tahun baru anda nanti." tambahnya lagi. "Sebenarnya tanpa kita sedari, lagu adalah tirai latar kita dalam perjalanan sebuah kehidupan. Itulah sebabnya apabila kita mendengar lagu-lagu lama yang relevan dengan diri kita, ianya terus membawa kita mengenal diri kita dan dari mana asal kita sewaktu lagu itu dimainkan. Kita boleh mengimbau kembali segala kenangan zaman remaja, zaman kanak-kanak, sehingga dewasa dan terkini, pada era itu berkumandang."
Konsert Rentas Masa: Satu Evolusi Muzik juga mengajak semua untuk menyelami karya-karya malar segar dari komposer berpengaruh serta membongkar rahsia disebalik gubahan muzik ikonik di samping menemui konteks budaya dan sejarah yang membentuk evolusi muzik yang digemari hari ini. Apresiasi tinggi dan lebih mendalam wajar diberikan kepada figura seni yang terlebih dahulu menimba pengalaman dalam industri hiburan tanahair, dalam masa yang sama menawarkan pendekatan dinamik dan interaktif untuk meluaskan ufuk muzik anda. Evolusi Rentas Masa memberi ruang kepada melodi masa lalu dalam menginspirasikan perjalanan muzik masakini.
Sempat dihiburkan dengan persembahan akustik dari Ara Johari menerusi nyanyian 2 buah lagu iaitu "Sudah" dan "Menjaga Jodoh Orang Lain", Ara menyifatkan dirinya sangat beruntung dan terharu turut tersenarai bersama nama-nama besar yang menjayakan Konsert Rentas Masa ini. Juga ditemui pada petang itu ialah Datuk DJ Dave yang sentiasa tersenyum dengan penampilan segak, tampak begitu teruja untuk menanti tibanya tarikh menjelang konsert itu nanti. "Saya sering menanamkan unsur perpaduan dalam setiap persembahan saya dari dulu hingga kini. Itu prinsip saya. Ini dapat didengari dari lagu pertama saya berjudul "Maafkanlah" yang berentak cina tapi bernuansa hindustan dalam lirik melayu. Negara kita Malaysia sentiasa menekankan tentang perpaduan dan malam konsert itu nanti saya akan nyanyikan lagu-lagu untuk perpaduan. Tidak sabar untuk berkongsi pentas kembali bersama rakan-rakan artis yang lain." tuturnya.
Harga tiket yang ditawarkan bermula dari RM237 sehingga RM8,888.00 terbahagi kepada 5 kategori iaitu VIP Grand Seating, Free Standing, VIP Premium Seating, VIP Seating dan VVIP Box. Jualan akan dibuka di laman web www.ilassotickets.com bermula pada 11 November 2024 dimana harga istimewa untuk pembeli Early Bird akan berlangsung selama 2 minggu. Terdapat tawaran menarik menanti penonton yang membeli tiket iaitu Diari Konsert Edisi Terhad, Poster Kalendar dan Wristband atau Gelang Edisi Khas Konsert Rentas Masa. Sebagai penaja rasmi sajian, Padi House akan memberi potongan harga 15% selama 2 hari bermula dari 31 Disember 2024 dan berakhir pada 1 Januari 2025. Padi House akan melanjutkan waktu operasi perniagaan sehingga jam 2 pagi pada hari konsert tersebut.
"Sebagai Penganjur, kami menjanjikan Konsert Rentas Masa ini sebagai hiburan terbaik bersesuaian dengan tema Satu Evolusi Muzik. Nantikan pengumuman lanjut untuk kejutan-kejutan yang bakal ditawarkan kepada semua penonton yang hadir nanti di media sosial rasmi kami." ujar Mr. Ovie mewakili TGJ Entertainment menutup bicara pada sessi sidang media petang itu. Konsert Rentas Masa: Satu Evolusi Muzik dilihat akan menjadi simbolik keharmonian dalam menyatu-padukan pelbagai lapisan masyarakat dengan keunikan muzik dari setiap era. Jom berhibur bersama Datuk JefryDin, Datuk DJ Dave, Dato' Awie, Ziana Zain dan Ara Johari sambil meraikan permulaan tahun baru yang gemilang.