oleh: zizi hashim
Satu langkah bersejarah bagi Astro Shaw apabila diberi peluang menyertai salah satu acara terbesar negara buat julung kalinya. Penampilan istimewa 2 karektor dari karya hiburan popular Malaysia iaitu 'Keluang Man' dan juga tidak ketinggalan Kahar dari siri fenomena Project High Council dalam acara sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 benar-benar memberikan sensasi luarbiasa.
Dengan penyertaan yang menjadi lambang sokongan kepada industri kreatif tempatan, selain dari objektif memeriahkan sambutan Hari Merdeka turut mencipta sejarah yang tersendiri. Astro Shaw meletakkan harapan tinggi dengan kemunculan bintang-bintang utama filem terbitan mereka, dapat membawa semangat baru bersempena sambutan Hari Merdeka, disamping merapatkan lagi hubungan di antara seni, hiburan dan masyarakat.
Penampakan jelas watak 'Keluang Man' lakonan Nas Muammar Zar untuk tatapan umum dengan sut rasmi adalah pertama kalinya di hadapan khalayak ramai. Begitu segak bergaya dalam sut berona merah hati memperlihatkan mutu gaya dan keunggulan lagaknya seorang adiwira sebenar yang bakal menyelamatkan bumi. Turut serta berada di sampingnya ialah Amir Ahnaf yang sinonim dengan karektor Kahar. Amir ditemani watak-watak lain dari filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi iaitu Kahar: Kapla High Council. Mereka ialah Aedy Ashraf memegang watak Beja, Sky Iskandar (Megat), Thompson Goh (Li), Khenobu (Jojo), Fazziq Muqris (Zahrin) dan Fadhli Masoot (Hakeem).
Barisan bintang-bintang ini mengikuti perarakan Hari Kebangsaan dengan berada di atas bas KL Hop-On Hop-Off yang memaparkan karektor 'Keluang Man' dan watak-watak dari Kahar: Kapla High Council di badan bas tersebut. Selain para pelakon, turut bersama di atas bas tersebut ialah 10 pemenang bertuah peraduan Lesen High Council dari gempak.com.
Sebaik sahaja usai sessi perarakan, barisan pelakon telah meluangkan masa untuk bertemu peminat di 'booth Astro Shaw yang berada di lokasi berhampiran. Ikuti perkembangan terbaru mengenai filem 'Keluang Man' dan Kahar: High Council di platform media sosial Astro Shaw.